TAWARAN kerjasama rentas parti oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu bukan saja dibuat pada masa yang kurang sesuai, malah sudah terlambat.
Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tawaran kerjasama yang dibuat Muhyiddin itu sangat baik namun bergantung kepada pembangkang sama ada mahu menerimanya atau tidak.
Dalam keadaan ini, katanya, pembangkang dan sebilangan pemimpin UMNO tidak boleh dipaksa untuk menerimanya bulat-bulat.
"Sekarang ini kita sedang memburu masa, begitu juga ahli-ahli Parlimen untuk menantikan undi percaya yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 September ini.
"Apa yang sepatutnya dibuat ialah kita tunggu sehingga 7 September untuk menentukan kedudukan Muhyiddin. Namun dalam keadaan sekarang, saya berpandangan undi percaya itu jika diadakan sudah tentu akan berpihak kepada Muhyiddin.
"Ini kerana kita dapat lihat beberapa ahli Parlimen secara terbuka memberikan sokongan kepadanya untuk membolehkan beliau dan kerajaan PN bertahan sehingga pilihan raya umum nanti,” jelasnya.
Tambah Ahmad Atory, ketika ini bukanlah masa sesuai sekiranya berlaku situasi ‘Parlimen tergantung’ jika Perdana Menteri diberhentikan atau meletakkan jawatan.
Beliau berkata, sementara pandemik Covid-19 reda, pilihan yang lebih baik adalah mengekalkan kerajaan sedia ada.
Menurutnya, sekiranya kerajaan baharu sekali pun, belum tentu mereka akan dapat menyelesaikan pandemik berkenaan dalam masa singkat.
"Saya rasa, mereka akan menolak kerjasama ini dan akan tetap mendesak dan memberikan tekanan kepada Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan kerana tidak mahu sehingga undi percaya itu dibentangkan.
"Namun, mereka perlu ingat bahawa keputusan untuk Muhyiddin boleh terus kekal menjadi Perdana Menteri atau tidak adalah melalui undi di Parlimen dan bukannya orang lain.
"Ia bukan terletak kepada parti pembangkang dan bukan surat akuan yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca