SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan ahli-ahli parti itu agar berusaha mengekalkan suasana kedamaian rakyat dan jangan sesekali menimbulkan episod kegawatan yang boleh mengundang ancaman kepada negara.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan ahli-ahli parti itu agar berusaha mengekalkan suasana kedamaian rakyat dan jangan sesekali menimbulkan episod kegawatan yang boleh mengundang ancaman kepada negara.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, segala perkara yang berlaku ketika ini, termasuk keadaan politik negara yang tidak tentu sudah dijadikan aturan oleh ALLAH SWT dengan semua ahli parti itu diminta untuk bertenang ketika ini.

Jelas beliau, Pas bersama kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebenarnya sudah melakukan yang terbaik dalam memastikan negara keluar daripada kemelut krisis pandemik Covid-19 yang membelenggu negara ketika ini.

"Apa yang penting, kekalkan suasana kedamaian. Jangan timbulkan suasana gawat dalam kalangan rakyat. Pas bersama rakan-rakan parti lain dalam kerajaan PN akan uruskan situasi politik tidak menentu ini dengan sebaiknya.

"Sebenarnya pimpinan Pas dan PN sudah melakukan perkara yang terbaik sepanjang menguruskan pentadbiran negara.

"Semoga kemelut politik negara ketika ini dapat diselesaikan," katanya melalui satu rakaman siaran langsung di dalam Facebook rasminya pada Isnin.

Beliau berkata demikian di tengah-tengah spekulasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal meletak jawatan setelah dijangka hadir menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada tengahari Isnin.

Sejak Sabtu, spekulasi peletakan jawatan Muhyiddin sudah menjadi buah mulut rakyat susulan Pengerusi PN itu akhirnya mengesahkan beliau sudah tidak mempunyai sokongan majoriti 220 ahli Parlimen.

Senario itu berlaku susulan 15 ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak menarik sokongan terhadap Muhyiddin bermula 3 Ogos lalu.

Spekulasi peletakan jawatan Muhyiddin juga turut disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ahad.

Mohd Redzuan berkata, Muhyiddin dijangka akan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Istana Negara selepas mempengerusikan satu mesyuarat Kabinet khas di Perdana Putra, Putrajaya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menyeru semua ahli Pas meneruskan doa dan munajat kepada ALLAH SWT agar memberi petunjuk untuk membantu parti itu dan seluruh rakyat Malaysia mengharungi kemelut politik yang berlaku ketika ini.

Beliau turut meminta semua ahli parti agar mendapat maklumat daripada sumber parti dan media yang berintegriti agar tidak termakan dengan cerita fitnah dan sengaja direka-reka bagi menjejaskan Pas.

Klik di sini untuk terus membaca