SHAH ALAM - Seorang menteri Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengesahkan agenda mesyuarat Kabinet khas yang berlangsung di bangunan Putra Perdana, Putrajaya pada pagi Isni, adalah agenda terakhir mesyuarat kerajaan Perikatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang menteri Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengesahkan agenda mesyuarat Kabinet khas yang berlangsung di bangunan Putra Perdana, Putrajaya pada pagi Isni, adalah agenda terakhir mesyuarat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman dalam satu ciapan Twitternya memaklumkan perkara itu dan menjelaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya bergerak ke Istana Negara bagi tujuan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Kehadiran Muhyiddin ke Istana Negara juga dipercayai bagi menyelesaikan urusan penyerahan surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri kerajaan PN kepada Seri Paduka Baginda.

"Alhamdulillah. Selesai mesyuarat Kabinet terakhir kerajaan PN pagi ini.

"YAB Perdana Menteri akan bergerak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong. Tawakal kepada Allah SWT selepas bertekad seusai mesyuarat," ciapnya melalui laman Twitter rasmi beliau pada Isnin.

Sejak Sabtu, spekulasi peletakan jawatan Muhyiddin sudah menjadi buah mulut rakyat susulan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akhirnya mengesahkan beliau sudah tidak mempunyai sokongan majoriti 220 ahli Parlimen.

Senario itu berlaku susulan 15 ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak menarik sokongan terhadap Muhyiddin bermula 3 Ogos lalu.

Spekulasi peletakan jawatan Muhyiddin juga turut disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Ahad.

Ketika ini, nama-nama seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disebut-sebut antara berpotensi dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Pada Ahad, media tempatan melaporkan terdapat satu pertemuan di antara Ismail Sabri dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.

Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan cadangan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Muhyiddin dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dijangka akan diberikan kepada Bersatu.

Pada saat ini, perlumbaan penentuan siapa bakal menjadi calon Perdana Menteri kesembilan masih lagi sama susulan tiada parti atau koalisi yang disahkan mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Klik di sini untuk terus membaca