SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik. Melalui... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Melalui kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah membuat keputusan berkenaan selepas menerima peletakan jawatan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan seluruh jemaah menteri dengan serta merta berkuat kuasa pada Isnin.

"Susulan daripada peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

"Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri bahari untuk mempengerusikan Jemaah Menteri,” katanya pada Isnin.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan seluruh jemaah menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac tahun lalu, khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19.

"Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundingan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa sehingga 10 Ogos, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan atau 79 peratus adalah zon merah Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

"Justeru pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik Covid-19,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca