SHAH ALAM - Selepas dua minggu tsunami politik negara, Perdana Menteri Tan sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri seperti yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan. Muhyiddin dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas dua minggu tsunami politik negara, Perdana Menteri Tan sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri seperti yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin dalam perutusan khas sebentar tadi memaklumkan beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh jemaah menteri selepas kehilangan majoriti ahli Dewan Rayat.

"Disebabkan saya hilang majoriti, ini bermakna saya dan seluruh ahli jemaah menteri telah meletakkan jawatan.

"Walaupun saya pada awalnya mencadangkan keabsahan saya ditentukan di Parlimen tetapi apabila 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada saya dan cadangan kerjasama rentas parti ditolak parti pembangkang, jelaslah bahawa saya telah kehilangan sokongan majoriti.

"Maka tidak perlu lagi keabsahan saya ditentukan Parlimen. Maka hari ini saya meletakkan jawatan sebagai PM dan jemaah menteri sebagai mana ditetap Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan," kata Muhyiddin dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung.

Dalam ucapan terakhir yang menyentuh hati ramai rakyat itu, Ahli Parlimen Pagoh tersebut berkata, walaupun jutaan rakyat merayu agar beliau tidak meletakkan jawatan dan meneruskan tugas, tetapi beliau tidak dapat menyambut permintaan berkenaan.

"Ini kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh.

"Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk selamatkan kerajaan Perikatan Nasional, setidak-tidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, vaksinasi dan pemulihan ekonomi. Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil sebab ada pihak rakus merebut kuasa daripada mengutaman nyawa saudara saudari sekalian.

"Apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya. Enam tahun lalu saya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata saya pertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

Muhyiddin dalam perutusan khas pada petang ini.

"Tetapi ditakdir hari ini hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri. Saya reda dengan ketentuan Ilahi. Sesunguhnya jawatan yang saya pikul bukan satu kemegahan. Ia datang dengan bebanan tanggungjawab yang sangat berat," kata Muhyiddin.

Katanya lagi, beliau boleh mengambil jalan mudah dalam politik untuk mengekalkan jawatan namun itu bukanlah pilihannya.

"Saya tidak akan sesekali bersekongkol dengan kumpulan kleptrokrat. Saya tidak akan ganggu badan kehakiman apatah lagi membelakangi Perlembangan Persekutuan semata-mata untuk terus berkuasa.

"Saya ambil kesempatan ini untuk mohon keampunan di atas kekhilafan sepanjang saya menjadi Perdana Menteri. Saya dan jemaah menteri sudah melakukan yang terbaik," katanya.

Muhyiddin berharap kerajaan baharu dapat dibentuk segera agar pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa selepas beliau secara rasmi meletak jawatan pada Isnin.

Ini kerana katanya, tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober depan.

Klik di sini untuk terus membaca