SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar percaya Yang di-Pertuan Agong tidak akan memilih ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu walaupun individu itu memiliki sokongan majoriti.
Ini kerana menurut Mahfuz, legasi PN adalah sebuah legasi yang gagal serta legasi yang bertanggungjawab memporak-perandakan politik negara sejak Februari tahun lalu.
Jadi tegasnya, individu yang layak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri dan bukannya dari legasi kegagalan PN adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya percaya dan mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong akan memilih sesiapa sahaya, yang memiliki sokongan majoriti dan sudah tentu Yang di-Pertuan Agong tidak wajar memilih mereka dari legasi PN.
"Sebabnya legasi ini adalah legasi yang bersama-sama bertanggungjawab memporak-perandakan politik negara kita. Legasi ini adalah legasi yang gagal. Jadi tidak boleh lagi legasi ini yang dipilih untuk menjadi Perdana Menteri.
"Sebab itu saya percaya Anwar adalah pilihan yang terbaik kerana beliau bukan daripada legasi kegagalan PN,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Melalui kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah membuat keputusan berkenaan selepas menerima peletakan jawatan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan seluruh jemaah menteri dengan serta merta berkuat kuasa pada Isnin.
Muhyiddin dalam Perutusan Khasnya pada petang Isnin memaklumkan, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan susulan dirinya telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Muhyiddin hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri selepas 15 ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap PN dan dirinya pada 3 Ogos lalu.
Klik di sini untuk terus membaca