SHAH ALAM - Perdana Menteri baharu yang bakal menggantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melakukan tugas jauh lebih baik dalam menangani tri krisis akibat pandemik Covid-19.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri baharu pastinya berhadapan cabaran besar dalam menangani tri krisis meliputi krisis kesihatan, ekonomi dan politik, terutama demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat yang terjejas teruk.
Jelas beliau, selama 17 bulan berkuasa, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri sementara diakui ada berusaha tetapi tidak mampu menangani tri krisis yang melanda negara ketika ini.
"DAP menghargai Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengambil langkah berlandaskan perlembagaan yang betul berikutan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri setelah kehilangan sokongan majoriti.
"Selama 17 bulan berkuasa, Muhyiddin ada berusaha tetapi tidak mampu menangani tri krisis pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik.
"Justeru, Perdana Menteri baharu menghadapi cabaran besar dan perlu melakukan tugas jauh lebih baik dalam menangani tri krisis berkenaan," katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan peletakan jawatan Muhyiddin yang disahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu secara rasmi pada Isnin.
Beliau berkata, keputusan itu diambil susulan dirinya telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Muhyiddin sebelum telah mempengerusikan satu mesyuarat Kabinet khas di bangunan Putra Perdana, Putrajaya sebelum hadir menhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Susulan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah pada Isnin berkenan menerima warkah peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.
Seri Paduka Baginda juga bertitah supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri ‘caretaker’ atau sementara sehingga Perdana Menteri baru dilantik.
Sementara itu, Guan Eng turut menggesa Perdana Menteri baharu yang bakal dilantik supaya mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) demi memastikan negara mencapai tahap imuniti berkelompok.
Selain itu, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan pelan 'reset' Covid-19 perlu dilancarkan untuk beralih daripada usaha pembendungan Covid-19 kepada mitigasi untuk hidup dengan Covid-19 di sekeliling rakyat.
"Selain itu, Pelan Normalisasi Ekonomi perlu dilaksanakan bagi meletakkan Malaysia kembali ke landasan pemulihan dengan penekanan kepada kerajaan, pembukaan semula ekonomi dan bantuan kewangan berkala kepada sektor perniagaan dan rakyat menganggur," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca