SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong boleh menasihati Perdana Menteri sementara untuk mengadakan satu sidang Parlimen khas dalam masa terdekat bagi membolehkan 220 ahli Parlimen menentukan calon Perdana Menteri baharu. Pandangan itu diutarakan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong boleh menasihati Perdana Menteri sementara untuk mengadakan satu sidang Parlimen khas dalam masa terdekat bagi membolehkan 220 ahli Parlimen menentukan calon Perdana Menteri baharu.

Pandangan itu diutarakan pakar undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang memandangkan Yang di-Pertuan Agong sudah melantik kembali Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sementara walaupun telah meletakkan jawatan pada Isnin.

Jelas beliau, kaedah penentuan calon Perdana Menteri baharu melalui sidang Dewan Rakyat juga memastikan Yang di-Pertuan Agong akan dilihat tidak mempunyai kepentingan politik di samping memastikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan amalan demokrasi berparlimen terpelihara.

Dr Salleh Buang

"Memandangkan Yang di-Pertuan Agong telah melantik semula Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Seri Paduka Baginda menentukan calon Perdana Menteri baharu.

"Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan Perdana Menteri sementara untuk mengadakan sidang Parlimen dalam masa terdekat serta meminta 220 ahli Parlimen membuat pilihan siapa calon Perdana Menteri pilihan mereka.

"Melalui kaedah ini, Seri Paduka Baginda akan dilihat bersikap adil dan saksama. Bagi setiap ahli Parlimen cukup masa, lepas itu Seri Paduka Baginda boleh lantik calon yang mempunyai sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri baharu," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin berkenan menerima warkah peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.

Susulan itu, Seri Paduka Baginda juga bertitah supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri ‘caretaker’ atau sementara sehingga Perdana Menteri baru dilantik.

Mengulas lanjut, Salleh yang juga bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara menegaskan Yang di-Pertuan Agong boleh mempertimbangkan mana-mana calon yang mendapat undian terbesar dalam usul pengundian khas di Parlimen bagi menerajui kerajaan perpaduan.

Jelas beliau, keadaan ini boleh berlaku sekiranya tiada seorang pun calon Perdana Menteri yang dikemukakan oleh setiap ketua parti atau koalisi parti memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen.

Sementara itu, pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood turut bersetuju dengan pandangan Salleh.

Nik Ahmad Kamal

Beliau menegaskan kaedah itu boleh dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong selain konvensyen pemilihan Perdana Menteri baharu yang dilaksanakan sewaktu peristiwa Langkah Sheraton.

Tanpa menidakkan keabsahan konvensyen pemilihan berkenaan, Nik Ahmad Kamal sebaliknya berpandangan kaedah pemilihan calon Perdana Menteri di luar Dewan Rakyat dibimbangi akan mengundang kesangsian kepada rakyat dan masyarakat umum, sebagaimana terjadi pada bulan Februari tahun lalu.

"Jika lihat kembali kaedah pemilihan Perdana Menteri melalui peristiwa Langkah Sheraton, kaedah pemilihan di luar Parlimen itu tidak bermasalah untuk diulangi Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan krisis pembentukan kerajaan baharu ketika ini.

"Namun, kita dapat lihat pada tahun lalu di mana kaedah itu menimbulkan kesangsian kepada rakyat sehingga disensasikan media antarabangsa, seolah-olah institusi Istana Negara tidak berlaku adil kepada calon-calon yang dicadangkan setiap ketua parti.

"Selain itu, pembentukan sebuah kerajaan baharu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak begitu stabil dan akhirnya dijatuhkan hari ini (Isnin)," katanya.

Bagaimanapun, Nik Ahmad Kamal mengakui terdapat persoalan sama ada seorang Perdana Menteri sementara mempunyai bidang kuasa yang sama dengan Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan kaedah penentuan calon Perdana Menteri baharu ditentukan di Parlimen.

Jelasnya, sekiranya peruntukan 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan dibaca keseluruhannya, bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar melantik Perdana Menteri baharu semata-mata, sebaliknya Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa budi bicara untuk menentukan proses pembentukan kerajaan baharu.

"Berikutan itu, saya berpandangan seorang Perdana Menteri sementara masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan satu sidang Parlimen bagi menentukan calon Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti.

"Soal sama ada sidang Parlimen berkenaan akan mengikut takwim asal persidangan Parlimen ditetapkan kerajaan PN pada 7 September hadapan atau diadakan lebih awal, bergantung kepada budi bicara Seri Paduka Baginda.

"Bagaimanapun, perkara terbaik adalah kita menyerahkan kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah untuk menentukan kaedah terbaik bagi memilih siapa calon Perdana Menteri baharu yang bersesuaian pada hemat baginda," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca