ENAM tahun lalu, karier politik Tan Sri Muhyiddin Yassin hampir ternoktah apabila dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.
Sejak itu, karier politik beliau sedikit sebanyak dibayangi Tun Dr Mahathir Mohamad apabila mereka bersama-sama menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bersama Pakatan Harapan (PH) Muhyiddin memperoleh ‘nafas baharu’ apabila kapal besar Barisan Nasional (BN) yang lebih 60 tahun mengemudi Malaysia berjaya ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Namun, situasi politik Malaysia yang tidak menentu akibat percaturan baharu menyaksikan PH hanya bertahan 22 bulan.
Gabungan parti Bersatu, UMNO/BN, Pas, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti lain akhirnya menumbangkan kerajaan PH pada Februari tahun lalu.
Di atas kertas dalam perancangan tersebut, Dr Mahathir sepatutnya kekal menggalas tugas Perdana Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, apabila Dr Mahathir enggan bekerjasama dengan UMNO, gabungan PN perlu mencari nakhoda baharu untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri.
Sudah tersurat takdir Ilahi, Muhyiddin iaitu pemimpin yang sering dilihat sebagai ‘underdog’ itu diletakkan ke kerusi nombor satu Putrajaya.
Ia adalah satu kisah hebat bagaimana seorang pemimpin yang dipecat, bangun semula dan kemudian menjadi PM ke-8.
Bagaimanapun, ternyata kisah kejayaan itu tidak bertahan lama apabila Muhyiddin diduga sekali lagi. Dugaan kali ini sangat hebat, kerana selepas 17 bulan berpegang pada dahan yang rapuh, Ahli Parlimen Pagoh itu terpaksa menerima hakikat apabila beliau tidak lagi mempunyai majoriti mencukupi untuk kekal sebagai Perdana Menteri.
"Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk selamatkan kerajaan PN, setidak-tidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, vaksinasi dan pemulihan ekonomi. Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil sebab ada pihak rakus merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa saudara saudari sekalian.
"Pada hari ini saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh kabinet sebagaimana yang dikehendaki Perlembagaan. Apa yang berlaku ini adalah ketentuan ALLAH yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya.
"Tetapi ditakdir hari ini hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri. Saya reda dengan ketentuan Ilahi,” kata Muhyiddin dalam Perutusan Khas pada Isnin.
Perjuangan Covid-19
Mengimbau detik pelantikan Muhyiddin pada penghujung Februari tahun lalu, beliau menjadi PM ke-8 dengan melalui pelbagai ranjau dan onak berduri di depannya.
Beliau mewarisi kerajaan ketika dunia dan Malaysia buat pertama kalinya dalam sejarah mendengar perkataan koronavirus dan Covid-19. Virus pembunuh itu menimbulkan huru-hara dan ketakutan di Wuhan, China sebelum melarat ke satu demi satu negara tidak terkecuali Malaysia.
Tragisnya buat Muhyiddin, lebih kurang dua minggu selepas kabinet PN dibentuk, Muhyiddin terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac iaitu satu tindakan ‘mengurung’ rakyat di rumah dan sekali gus ‘membekukan’ segala aktiviti ekonomi dengan kerugian hampir RM2.4 bilion sehari.
Biarpun begitu, Muhyiddin atau mesra digelar Abah tetap tidak mengabaikan 32 juta rakyat Malaysia apabila memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin dengan angka keseluruhan RM250 bilion. Ia satu angka suntikan yang dianggap luar biasa ketika kerajaan sebelum itu mengatakan negara sudah tidak ada duit.
Mendengar keluh kesah rakyat, Muhyiddin juga memperkenalkan bantuan antaranya moratorium secara automatik selain membenarkan pengeluaran wang daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selepas merekodkan kes harian pada angka sifar pada bulan Julai 2020, bagaimanapun angka positif Covid-19 meningkat selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu.
Negara sekali lagi berdepan dengan PKP fasa 2 pada Mac 2021 dan seterusnya PKP fasa 3, namun masih lagi tidak berjaya sehingga pada satu ketika negara merekodkan lebih 21,000 jangkitan harian. Angka jangkitan setakat hari ini sudah melebihi 1.4 juta.
Ia menjadi antara penyebab reputasi dan graf sokongan rakyat kepada kerajaan PN sedikit menurun.
Cahaya di hujung terowong
Biarpun begitu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika ini menunjukkan kejayaan apabila sebanyak 32.9 peratus atau 10.7 juta populasi negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat Ahad.
Kejayaan itu juga membuatkan negara mula menampakkan cahaya di hujung terowong setelah hampir setahun negara bergelut dengan Covid-19.
Seorang pakar anestesiologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Hana Hadzrami beberapa hari lalu, meluahkan rasa syukur apabila Jabatan Kecemasan HKL sudah tidak lagi kelihatan bungkusan mayat mangsa Covid-19.
Malah katanya, kes rujukan dari Jabatan Kecemasan kepada Unit Rawatan Rapi) untuk pesakit Covid-19 kritikal semakin berkurang.
Sudah tentu perkembangan positif itu disebabkan peningkatan vaksinasi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Namun ketika Hana melihat cahaya di hujung terowong dalam perjuangan Covid-19, namun perjuangan politik Muhyiddin ibarat terowong yang semakin kelam.
Begitulah nasib yang menimpa Muhyiddin selepas berdepan dengan kemelut dalaman PN terutamanya melibatkan UMNO.
Muhyiddin terpaksa akur dengan apa yang berlaku terhadap dirinya lantas beliau dan ahli jemaah menteri mengambil keputusan mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Isnin.
Selama 17 bulan mentadbir negara dalam tempoh pandemik ini pasti akan dikenang oleh 32 juta rakyat Malaysia.
Biarpun digelar sebagai kerajaan ‘tebuk atap’ oleh pembangkang, namun Muhyiddin sudah membuktikan kemampuannya berdepan dengan cabaran Covid-19 sehingga memenangi hati rakyat yang menggelarkan dirinya sebagai Abah.
Tugas Abah mungkin selesai pada hari ini, namun Perdana Menteri baharu berdepan perlu menyambung legasi dan tugas ditinggalkan Abah.
Klik di sini untuk terus membaca