HARI Antarabangsa Orang Asal Sedunia disambut pada 9 Ogos setiap tahun. Di Malaysia, orang asal mewakili 0.6 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat dengan Senoi, Melayu Proto dan Negrito adalah tiga suku utama.
Orang asal merupakan masyarakat minoriti yang masih mengamalkan cara hidup tradisional yang banyak dipengaruhi oleh alam sekitar dan amalan lama tinggalan nenek moyang mereka.
Malah, sebilangan daripada komuniti ini masih menjalankan aktiviti pertanian secara sistem sara diri seperti memburu binatang, menangkap ikan, bercucuk tanam dan memungut hasil hutan menyebabkan sumber semula jadi seperti hutan sangat penting dalam kehidupan masyarakat ini.
Rentetan itu, Jadual Keenam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) membenarkan orang asal memburu 10 jenis haiwan sebagai sumber makanan mereka, termasuk babi hutan, rusa dan pelanduk.
Justeru, orang asal juga dikenali sebagai ‘orang hutan’ disebabkan sifat mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hutan untuk kelangsungan hidup.
Naluri kehidupan orang asal begitu dekat dengan alam sekitar. Hubungan langsung dan kebergantungan orang asal terhadap alam sekitar adalah disebabkan terdapatnya pelbagai khazanah semula jadi berharga yang menjadi punca rezeki dan kehidupan mereka.
Sejak berkurun lagi, sumber alam sekitar adalah medium utama untuk membina kediaman, berburu dan tanahnya menjadi kawasan pertanian pindah.
Maka, manusia dianggap tidak berasingan daripada hidupan alam semula jadi dan tidak mempunyai tempat yang istimewa atau dominan dalamnya, malah manusia mempunyai tanggungjawab untuk menghormati haiwan, tumbuhan dan objek tidak bernyawa lain.
Entiti alam sekitar utama iaitu hutan, sungai dan haiwan juga tidak boleh dijadikan milik perseorangan tetapi merupakan hak pemilikan bersama.
Uniknya, sikap menghormati alam sekitar menyebabkan mereka tidak memburu haiwan terancam, malah akan mempertahankan hidupan ini sebagai satu produk pelancongan unik di kawasan mereka.
Orang asal juga mempercayai kewujudan semangat jahat dalam persekitaran mereka, maka wujud pantang larang tertentu yang diturunkan daripada generasi sebelumnya bagi menjaga keharmonian antara alam dengan manusia, antaranya tidak boleh menebang pokok dan membuang sampah sesuka hati atau memburu haiwan melebihi keperluan, tidak boleh mendera dan mengurungnya.
Pantang
Pengamalan pantang larang ini dilihat sebagai salah satu tingkah laku positif dalam penjagaan berterusan alam sekitar. Hal ini menunjukkan orang asal amat menekankan hubungan mesra dengan alam semesta.
Lantaran itu, UNESCO mengiktiraf ilmu orang asli sebagai elemen utama untuk pendidikan lestari. Justeru, kita perlu menghormati mereka kerana banyak yang kita boleh belajar dari mereka berkaitan penjagaan alam sekitar.
Memelihara alam semula jadi adalah penting untuk masa depan orang asal dengan menjamin kesinambungan kepelbagaian semula jadi yang menyokong kehidupan mereka walaupun telah memasuki dunia moden.
Hakikatnya, kawasan perlindungan yang ditadbir urus, direka bentuk dan diurus dengan baik adalah kaedah paling berkesan untuk memelihara alam semula jadi, serta dapat memberikan pelbagai manfaat dari segi ekologi, sosioekonomi, kebudayaan dan rohani kepada golongan rentan ini.
Sebarang pengolahan atau perubahan ketara alam sekitar akibat pembangunan secara tidak langsung menyebabkan berlakunya perubahan kepada persekitaran masyarakat orang asal. Hal ini kerana, hutan adalah rumah bagi masyarakat orang asal.
Justeru, ekosistem kemerosotan hutan menyebabkan mereka tidak boleh hidup lagi di situ bukan sahaja akibat kehilangan sumber pencarian ekonomi, tetapi juga kebudayaan, kraftangan, identiti serta warisan masyarakat orang asal kerana segala punca budaya orang asal seperti bersewang, pembuatan alat muzik dan sumpit, kesemua bahannya didapati daripada hutan.
Hakikatnya, apabila persekitaran berubah, masyarakat orang asli juga turut terkesan oleh persekitaran tersebut. Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Hak Orang Asal menjelaskan, orang asal tidak boleh dipindahkan secara paksa daripada tanah atau wilayah mereka.
Orang asal adalah sebahagian daripada kehidupan kita sebagai manusia yang memiliki hak untuk meneruskan kehidupan adat resam, kepercayaan, pantang larang, budaya dan nilai hidup mereka. Kehidupan masyarakat ini perlu dikekalkan tradisinya supaya menjadi khazanah warisan.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca