KEJADIAN di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM, Kota Semarahan, Sarawak merupakan satu tragedi yang menggemparkan negara.
Seorang anggota telah menembak mati tiga rakan sekerja beliau di balai pengawal sebelum menembak dirinya.
Kehilangan empat nyawa anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini merupakan satu kerugian besar kepada negara memandangkan kos latihan yang telah diberi, kepakaran dimiliki mereka serta sumbangan yang sepatutnya mampu diberikan kepada negara.
Kes amukan seorang prebet dari Tentera Darat di Kuala Lumpur pada 1987 seharusnya menjadi iktibar mengenai bahaya penyakit tidak berjangkit, iaitu penyakit psikiatri atau mental dalam kalangan pegawai dan anggota tentera.
Tentunya pihak polis dan TUDM sedang menjalankan siasatan mengenai punca atau sebab kenapa amukan di kem TUDM terjadi.
Sehingga siasatan dilengkapkan, adalah tidak adil untuk menuding jari pada mana-mana pihak namun kejadian amukan oleh anggota atau pegawai tentera di kem mereka bertugas bukanlah sesuatu yang baru.
Pada 2014, seorang anggota tentera Korea Selatan menembak mati lima anggota pasukannya sendiri.
Tahun 2015, seorang anggota tentera Tunisia telah mengamuk dan menembak mati tujuh anggota termasuk seorang kolonel.
Seorang anggota tentera Thailand pada 2020 telah menembak mati beberapa anggota di kem dan kemudian meneruskan amukan di pusat membeli-belah sehingga mengakibatkan 29 individu terbunuh.
Pada Januari tahun ini di Uganda, seorang anggota tentera mengamuk dan menembak mati empat individu.
Penyakit mental merujuk kepada keadaan kesihatan yang terganggu dengan perubahan pada emosi, pemikiran dan tingkah laku.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit mental merupakan salah satu daripada lima penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya untuk menyumbang sebagai individu produktif di tempat kerja.
Kenyataan ini selaras dengan laporan Penyelidikan Sistem Kesihatan Malaysia dikeluarkan pada tahun 2016 yang menyatakan bahawa penyakit mental adalah penyebab utama kerugian bagi individu, keluarga, majikan, sistem kesihatan dan kebangsaan.
Di negara ini, mereka yang menghadapi masalah penyakit mental kerap tidak diberi perhatian serius oleh masyarakat, sehinggalah gejala menjadi bertambah teruk dan sukar dipulihkan. Ini mungkin kerana stigma umum melabelkan pesakit mental sebagai ‘orang gila’ yang akan disisih oleh masyarakat.
Penyakit mental sukar dikesan kerana beliau tidak akan menunjukkan kesan fizikal nyata pada permulaannya. Stigma panggilan orang gila juga menyebabkan pesakit akan cuba menyembunyikan masalahnya daripada diketahui ramai dan tidak mendapat rawatan profesional.
Di Sarawak, di mana kejadian amukan di kem TUDM berlaku terdapat tiga hospital yang mempunyai unit psikiatri, selain ATM mempunyai pakar psikiatrinya tersendiri. Malangnya ramai menganggap penyakit mental tidak merbahaya seperti penyakit tidak berjangkit lain.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mempunyai program khusus dalam usaha membendung penularan penyakit mental. Antaranya adalah program Kospen (Komuniti Sihat Perwira Negara).
Selain anggota dan pegawai, isteri atau suami mereka perlu diberi informasi atau penerangan mengenai bagaimana mengenal pasti simptom atau mengesan gejala awal penyakit mental.
Kegagalan untuk mengesan dan merawat individu yang mempamerkan simptom penyakit mental di peringkat awal oleh mereka yang paling dekat berkemungkinan menyebabkan kejadian lebih buruk berlaku.
Stigma penyakit mental dalam kalangan masyarakat umum di negara ini juga memerlukan satu anjakan paradigma.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca