SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah sah melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri tetapi krisis politik negara masih berdepan dengan cabaran apabila tiada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti yang jelas untuk membentuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah sah melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri tetapi krisis politik negara masih berdepan dengan cabaran apabila tiada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti yang jelas untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.

Untuk menubuhkan sebuah kerajaan, seorang ahli Parlimen yang bakal dilantik sebagai perdana menteri dan menubuhkan kerajaan mestilah mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya 111 ahli Parlimen.

Dewan Rakyat kini mempunyai 220 orang wakil. Jumlah sepatutnya ialah 222 tetapi dua wakil yang meninggal dunia tidak diisi dengan wakil baharu kerana masalah pandemik Covid-19.

Jika Perikatan Nasional (PN) masih bergerak sebagai satu pasukan, maka mereka mempunyai seramai 100 ahli Parlimen yang menyokong gabungan tersebut.

Pada masa ini, PN terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai seramai 31 ahli Parlimen, Pas (18), Gabungan Parti Sarawak (18), MCA (2), MIC (1), Bebas (4), PBRS (2), Star (1), PBS (1) dan UMNO yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pro-PN (23).

Terdapat laporan yang mengatakan Ismail Sabri yang mengetuai ahli Parlimen yang pro kepada Muhyiddin dan PN sedang giat untuk mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Muka depan Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, terdapat 15 ahli Parlimen UMNO lagi yang menolak Muhyiddin dan PN dan setia bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi belum menyatakan keputusan bagi menyokong mana-mana pihak untuk menjadi perdana menteri.

Beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memberikan amaran bahawa tiada mana-mana pihak boleh membuat keputusan untuk menentukan calon perdana menteri.

Difahamkan, Biro Politik dan MKT UMNO telah pun bermesyuarat pada Isnin untuk menentukan calon pilihan mereka.

Khabar angin mengatakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah merupakan salah seorang calon yang dipertimbangkan oleh UMNO.

Bagaimanapun, timbul persoalan dengan siapakah parti itu akan membuat jajaran politik baharu kerana mereka sendiri tidak berupaya membentuk kerajaan.

Muhyiddin bercakap semasa sidang akhbar pada hari terakhir beliau sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai seramai 88 ahli Parlimen yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (35), DAP (42) dan Parti Amanah Negara (11).

Sekiranya PH mahu membentuk kerajaan mereka perlu mendapatkan sokongan daripada Parti Warisan Sabah (8), Parti Sarawak Bersatu (2), Parti Kinabalu Progresif Bersatu (1) dan Bebas (2) bagi menjadikan jumlah sokongan bertambah kepada 101, namun jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.

Parti Pejuang Tanah Air yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula mempunyai seramai empat orang ahli Parlimen dan sudah menyatakan pendirian bahawa mereka enggan menyertai perlumbaan mencari calon perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin.

Sebaliknya, mereka bertegas untuk membentuk sebuah badan ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dikenali sebagai Majlis Pemulihan Negara.

Ia merupakan ilham Dr Mahathir yang sudah pun menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.

Dengan kedudukan politik semasa, menunjukkan bahawa semua pihak secara sendirian tidak mampu membentuk kerajaan melainkan mereka membentuk jajaran baharu.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan pihak Istana Negara sedang bersiap sedia untuk mula memanggil wakil-wakil parti politik menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 2 petang hari ini dalam usaha membentuk kerajaan baru.

Sinar Harian dimaklumkan proses tersebut akan berlangsung sehingga Tuanku berpuas hati satu jajaran baharu telah dibentuk dengan majoriti yang mencukupi untuk seorang ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah secepat mungkin sebagai perdana menteri kesembilan.

Klik di sini untuk terus membaca