PRESIDEN Afghanistan, Ashraf Ghani sebelum ini merupakan seorang pakar akademik dan ekonomi yang akan membantu pentadbiran negara-negara lemah sehingga diklasifikasikan sebagai negara gagal. Bagaimanapun ironinya, Ghani, 72, yang dipilih... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Afghanistan, Ashraf Ghani sebelum ini merupakan seorang pakar akademik dan ekonomi yang akan membantu pentadbiran negara-negara lemah sehingga diklasifikasikan sebagai negara gagal.

Bagaimanapun ironinya, Ghani, 72, yang dipilih buat penggal pertama kalinya sebagai Presiden Afghanistan pada tahun 2014 bagi menggantikan Hamid Karzai, akhirnya menyaksikan pentadbirannya tumbang pada Ahad lalu.

Beliau yang sekali lagi dipilih menjadi Presiden negara itu pada tahun 2019 terpaksa melarikan diri dari Istana Negara iaitu tempat kediamannya sebagai pemimpin Afghanistan di Kabul pada Ahad lalu ekoran kemaraan Taliban menuju ke bandar raya itu.

Sebahagian penduduk di Kabul dikatakan panik apabila Taliban menawan Kabul sehingga mereka pergi ke sebuah lapangan terbang di ibu kota tersebut untuk melarikan diri dengan meninggalkan negara berkenaan.

Taliban pernah melaksanakan pemerintahan undang-undang Islam ketika menawan negara itu dari tahun 1996 hingga 2001.

Peta menunjukkan situasi Afghanistan yang kini dikuasai Taliban.

Ketika zaman mudannya, Ghani mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bernama Rula yang dikenalinya semasa belajar jurusan antropologi di Universiti Amerika di Beirut, Lubnan dan kini mempunyai dua orang anak.

Ketika itu, universiti tersebut dikenali sebagai antara pusat pembelajaran yang terkenal di dunia.

Beliau kemudian kembali semula ke Afghanistan untuk mengajar di Universiti Kabul dan kemudian berjaya memperoleh biasiswa untuk menyambung pengajian sarjana di Universiti Columbia, New York, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1977.

Semasa zaman universitinya, Kesatuan Soviet yang kini Rusia menceroboh Afghanistan dan ramai keluarganya di negara itu dipenjarakan menyebabkan Ghani terus tinggal di AS dan menyambung pengajian sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran.

Selepas menamatkan pengajian, beliau mengajar di universiti-universiti sekitar AS selain bekerja dengan Perbadanan Penyiaran British (BBC) dan Unit Dari.

Selepas AS menceroboh negaranya pada tahun 2001 dan menyingkirkan Taliban, Ghani pulang semula ke Afghanistan dan berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran sementara Hamid selain pernah menjadi Canselor Universiti Kabul.

Beliau juga merupakan pengasas bersama Institut Untuk Keberkesanan Negara dan bersama Clare Lockhart yang pernah menjadi penasihat kepada kerajaan Afghanistan untuk menghasilkan sebuah buku berjudul 'The Framework: Fixing Failed States' atau dalam bahasa Melayu Kerangka Kerja: Memperbaiki Negara-Negara Gagal dan diterbitkan pada tahun 2008 oleh Oxford University Press.

Ghani juga pernah bekerja untuk Bank Dunia pada tahun 1990-an dan menjadi pakar industri arang batu Rusia sebelum kembali ke tanah air untuk menjadi seorang penasihat kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Taliban disingkirkan dari Kabul pada lewat tahun 2001.

Sejumlah penduduk Afghanistan berkumpul di sebuah landasan lapangan terbang di Kabul dengn harapan untuk meninggalkan negara itu ketika Taliban menguasai ibu kota itu baru-baru ini. - Foto AFP

Beliau juga menjadi perancang utama kerajaan sementara dan menjadi Menteri Kewangan yang berpengaruh ketika zaman pemerintahan Hamid dari tahun 2002 hingga 2004 dan berkempen kuat menentang gejala rasuah.

Dikenali sebagai seorang yang penuh bersemangat dan bertenaga, Ghani memperkenalkan mata wang baharu negaranya, memperkenalkan satu sistem cukai dan menggalakkan golongan ekspatriat Afghanistan kembali ke tanah air.

Bagaimanapun, beliau mempunyai reputasi yang boleh mencetuskan permusuhan dengan pihak lain.

"Beliau tidak pernah membenarkan sesiapa pun untuk mendekatinya terlalu rapat, suka mengasingkan diri," menurut tulisan daripada penulis veteran, Ahmed Rashid yang mengenalinya hampir tiga dekad seperti dilaporkan oleh AFP.

Menurutnya, adalah malang, perasaan marah dan penampilan sombongnya menjadikan beliau sebagai seorang tokoh yang dibenci.

Semasa pemerintahannya juga, AS ketika di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump memeterai satu perjanjian dengan Taliban di Doha, Qatar pada tahun lalu yang menyaksikan pengunduran askar-askar Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menjelang Mei 2021 dari Afghanistan.

Namun, Presiden AS ketika ini, Joe Biden melanjutkan lagi tempoh pengunduran tentera AS dari negara tersebut sehingga 31 Ogos depan.

Ghani yang berketurunan Pashtun dilaporkan melarikan diri ke Oman bagi mengelak pertumpahan darah di Kabul selepas Taliban memasuki ibu kota tersebut pada Ahad lalu dan beliau dipercayai akan menuju ke AS.

Namun, sebagai tokoh akademik dan pakar dalam bidang negara-negara yang gagal dalam pentadbiran, kerajaan pimpinannya turut gagal untuk berfungsi dengan baik setelah ditumbangkan oleh pergerakan Taliban yang menawan satu demi satu ibu negeri wilayah di negaranya sejak Ogos lalu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca