SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh mewakili 38 suara ahli Parlimen UMNO ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa. Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh mewakili 38 suara ahli Parlimen UMNO ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ini kerana ahli Parlimen UMNO telah berpecah kepada dua kem.

Beliau menegaskan, bagi parti yang ada perbezaan dalaman dari sudut sokongan kepercayaan, suara ketua parti berkenaan tidak dianggap mewakili keseluruhan ahli-ahli Dewan Rakyat dalam parti mereka.

Dua kem itu adalah 23 ahli Parlimen UMNO yang menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini dah 15 ahli Parlimen yang mengambil tindakan sebaliknya.

"Ahli-ahli Dewan Rakyat yang tidak sehaluan dengan ketua itu boleh menyembah maklum kehendak mereka sama ada secara individua atau secara berkumpulan.

"Misalnya, dalam UMNO, selepas Presidennya mengumumkan penarikan balik sokongan kepada bekas Perdana Menteri (Muhyiddin), wujud dua kumpulan.

"Majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat tidak bersama dengan Presidennya.

Dalam hal ini suara Presiden UMNO tidak mewakili keseluruhan 38 ahli Dewan Rakyat dari UMNO," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Dr Muhammad Fathi

Semua ketua-ketua parti atau wakil telah dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Difahamkan pertemuan itu akan diadakan pada jam 2 petang di Istana Negara.

Menurut seorang ahli Parlimen yang enggan dikenali, terdapat kemungkinan Seri Paduka Baginda mahu mendapatkan padangan daripada semua ketua-ketua parti.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

"Kemungkinan besar kaedah pertemuan bersama setiap ahli Parlimen tidak dilaksanakan kerana risiko jangkitan COVID-19, namun prinsip Perlembagaan yang meletakkan rujukan utama kepada suara ahli Parlimen berbanding suara parti tidak boleh diketepikan dalam amalan demokrasi," tambah Muhammad Fathi.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pemimpin parti perlu bersikap jujur dalam menyembah maklum pandangan ahli-ahli Parlimen dari parti masing-masing.

"Kita juga yakin dengan kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong dalam memastikan keputusan yang dibuat benar-benar menepati kehendak ahli-ahli Parlimen sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca