SHAH ALAM - Speaker Parlimen perlu memberi jaminan kepada semua ahli Parlimen bahawa surat akuan sokongan calon Perdana Menteri baharu yang bakal dihantar mereka kepada Istana Negara pada Rabu, akan terpelihara dari aspek kerahsiaan dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Speaker Parlimen perlu memberi jaminan kepada semua ahli Parlimen bahawa surat akuan sokongan calon Perdana Menteri baharu yang bakal dihantar mereka kepada Istana Negara pada Rabu, akan terpelihara dari aspek kerahsiaan dan ketelusan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, beliau mengesahkan sudah menerima notis daripada Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun yang menjalankan perintah titah Yang di-Pertuan Agong agar 220 ahli Parlimen menyerahkan satu surat akuan sokongan calon Perdana Menteri baharu kepada Istana Negara, selewat-lewatnya 4 petang Rabu.

Jelas beliau, terdapat dua kebimbangan yang timbul setelah notis berkenaan menegaskan 220 ahli Parlimen hanya dibenarkan untuk menyerahkan surat akuan sokongan berkenaan melalui faks, email dan salinan PDF yang dikirimkan melalui aplikasi WhatsApp kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

"Dalam notis berkenaan, turut dinyatakan ahli-ahli Parlimen tidak dibenarkan menghantar surat akuan sokongan melalui serahan tangan disebabkan Istana Negara masih di dalam kawasan Fasa Pertama dan juga untuk mengelakkan penularan Covid-19 di kawasan itu.

"Bahkan peringatan mana-mana surat akuan yang tidak mematuhi syarat dikehendaki Istana Negara atau lewat dihantar, tidak akan diambil kira juga menimbulkan persoalan kepada saya.

"Berdasarkan kaedah-kaedah ini, saya bimbang terhadap kemungkinan berlaku 'kebocoran' isi kandungan surat akuan sokongan yang dikemukakan kami kelak, lebih-lebih lagi penggunaan aplikasi media sosial terdedah kepada ancaman digodam pihak tidak bertanggungjawab," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas surat notis daripada Speaker Parlimen yang meminta semua ahli Parlimen membuat surat akuan sokongan bagi memuktamadkan sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri pilihan, untuk diserahkan kepada Istana Negara.

Dalam notis itu, semua Ahli Parlimen diminta menyerahkan SD mereka menjelang 4 petang Rabu.

Surat berlogo Parlimen Malaysia ditandatangani Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta semua Ahli Dewan Rakyat membuat surat akuan memilih calon Perdana Menteri yang kesembilan.

Walaupun tiada format yang ditentukan untuk surat akuan sokongan, ahli Parlimen dimaklumkan ia perlu merangkumi perincian hanya seorang calon, dengan perisytiharan sokongan Ahli Parlimen yang jelas dan tanpa syarat.

Surat akuan itu juga harus memasukkan tarikh, tandatangan Ahli Parlimen dan seorang saksi atau cap rasmi, jika saksi itu adalah peguam bela, peguam cara, pesuruhjaya sumpah atau notari awam.

Penyerahan secara fizikal tidak dibenarkan kerana Istana Negara masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara dan untuk mengelakkan penularan Covid-19 di kawasan istana.

Ahli Parlimen turut diingatkan untuk menjaga kerahsiaan surat akuan sokongan mereka sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan.

Mengulas lanjut, Santiago meminta Speaker Parlimen mengadakan perbincangan segera dengan semua ahli Parlimen supaya satu tarikh dan masa khas untuk tujuan serahan terus surat akuan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong dapat dilaksanakan di lokasi bersesuaian di luar Istana Negara.

Jelas beliau, perkara ini penting bagi memastikan aspek kerahsiaan kandungan surat akuan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen, dapat terus dipelihara dan tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya juga bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong membenarkan satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membolehkan usul pengundian calon-calon Perdana Menteri yang dikemukakan ketua-ketua parti dibuat.

"Bagaimanapun, perkara itu terserah kepada budi bicara dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda untuk menentukan kaedah pemilihan Perdana Menteri baharu yang terbaik,"katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut mengesahkan menerima notis daripada Speaker Parlimen pada tengahari Selasa.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kaedah penyerahan surat akuan sokongan calon Perdana Menteri baharu kepada Istana Negara melalui kaedah ditetapkan, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan menyerahkan perkara itu kepada parti untuk diputuskan.

"Kita baru terima surat (notis daripada Speaker Parlimen).

Saya akan ikut keputusan parti (mengenai kaedah menyerahkan surat akuan sokongan kepada Istana Negara), tetapi perkara ini belum lagi dibincangkan," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari daripada Pas, beliau turut mengesahkan menerima notis berkenaan daripada Speaker Parlimen dan menegaskan semua ahli Parlimen parti itu sudah menerimanya menerusi email.

Klik di sini untuk terus membaca