SHAH ALAM - Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai tidak jujur dan seolah-olah cuba menggagalkan usaha semua parti politik untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan sekiranya beliau masih berhasrat kembali... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai tidak jujur dan seolah-olah cuba menggagalkan usaha semua parti politik untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan sekiranya beliau masih berhasrat kembali dilantik sebagai Perdana Menteri.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, beliau terkejut apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) seolah-olah memberi bayangan beliau mampu kembali dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan setelah mendakwa masih mempunyai sokongan terbesar ahli Parlimen melalui koalisi PN.

Jelas beliau, setelah Muhyiddin membuat keputusan meletak jawatan, semua parti politik berasa lega memandangkan Ahli Parlimen Pagoh itu membuka peluang kepada parti-parti dalam blok kerajaan dan pembangkang untuk membina konsensus persefahaman baharu bagi menyelesaikan kemelut politik negara ketika ini.

"Kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum ini menjadi penghalang kepada semua pihak untuk mencapai konsensus bagi menyelesaikan krisis Covid-19 yang meliputi isu kesihatan, ekonomi dan politik sebelum ini secara bersama.

"Hal ini kerana beliau berdepan dengan penolakan ahli-ahli Parlimen dalam parti yang menyokong beliau sendiri sebelum ini selain kesemua parti tidak bersetuju dengan corak kepimpinan kerajaan PN yang dilihat gagal mengatasi isu Covid-19 yang semakin parah.

"Bagi saya, semua pihak termasuk Muhyiddin sendiri kena 'move on' dengan satu kepimpinan baharu yang mampu membentuk sebuah kerajaan perpaduan amat diperlukan pada saat kritikal kini," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Muhyiddin mengaminkan doa sebelum meninggalkan pejabatnya di Putrajaya pada hari terakhir beliau bertugas sebagai Perdana Menteri pada Isnin.
 - Foto Bernama

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin yang dilihat tidak menolak kemungkinan kembali memegang jawatan tertinggi dalam negara itu melalui satu sidang media khas bersama beberapa pengarang media arus perdana di Putrajaya pada Isnin.

Perdana Menteri sementara itu berkata demikian di tengah-tengah Yang di-Pertuan Agong pada Selasa akan memulakan langkah mengenal pasti sokongan terhadap beberapa calon bagi mengisi jawatan Perdana Menteri.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong menitahkan 220 ahli Dewan Rakyat untuk membuat akuan bertulis dengan menamakan calon pilihan sebagai perdana menteri.

Mereka diberi masa sehingga jam empat petang Rabu untuk mengemukakannya kepada Istana Negara.

Mengulas lanjut berkenaan konsensus antara parti-parti politik untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, bekas Ahli Parlimen Batu itu optimis semua pihak boleh mengenepikan sebarang persengketaan politik sesama mereka demi kepentingan negara.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi mengulangi pendirian sebarang cadangan mengangkat semula Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baharu hanya akan menyebabkan krisis politik negara semakin parah.

"Saya terkejut bila dengar ada ura-ura pihak tertentu untuk mencaturkan strategi mengembalikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Saya fikir janganlah ditambah cadangan Muhyiddin hendak kembali jadi Perdana Menteri sebagai tambahan konsensus mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang bersifat gencatan politik, kerana beliau sememangnya ditolak semua pihak," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca