SHAH ALAM - Majlis Profesor Negara (MPN) mencadangkan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan proklamasi darurat, seterusnya menubuhkan sebuah Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai solusi jalan keluar kepada krisis pentadbiran negara... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Majlis Profesor Negara (MPN) mencadangkan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan proklamasi darurat, seterusnya menubuhkan sebuah Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai solusi jalan keluar kepada krisis pentadbiran negara yang dihimpit pandemik Covid-19 ketika ini.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, sekiranya cadangan penubuhan Mageran direalisasikan Istana Negara, ia mesti dipengerusikan oleh tokoh kepimpinan negara yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Jelas beliau, sebaiknya tokoh yang dilantik mempengerusikan Mageran adalah terdiri individu yang mempunyai pengalaman pentadbiran luas, dihormati dan diterima semua pihak selain tidak mempunyai cita-cita menjadi Perdana Menteri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Ini adalah langkah sementara sehingga PRU15 sesuai diadakan bagi menubuhkan kerajaan mengikut lunas demokrasi berparlimen, sekali gus berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

"MPN yakin di bawah proklamasi darurat, pihak yang berkuasa boleh membuat beberapa ordinan penting bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merancang dan melaksanakan PRU15 dengan SOP yang bersesuaian dengan langkah pencegahan Covid-19.

"Jika SOP baru pilihan raya dapat dirangka dan bersedia dikuatkuasakan, maka Perdana Menteri interim atau Mageran yang ditubuhkan akan menjalankan tugasnya bagi tempoh terhad sehingga PRU15 dapat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan satu persefahaman politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk seluruh rakyat Malaysia perlu dicapai semua parti di negara ini.

Presiden PKR itu berkata demikian selepas menghadiri sesi menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara, Kuala Lumpur bersama ketua-ketua parti lain secara serentak pada petang Selasa.

Susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletak jawatan, timbul spekulasi bertiup kencang mendakwa Yang di-Pertuan Agong sedang mempertimbangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan atau interim membabitkan semua parti politik.

Tambah Raduan lagi, MPN turut berpandangan kepimpinan kerajaan baharu dibentuk melalui Mageran mesti mengusahakan pembinaan semula permuafakatan politik nasional demi kestabilan politik jangka masa panjang negara.

Jelas beliau lagi, permuafakatan politik nasional ini mesti melibatkan semua kelompok utama masyarakat dan pemegang taruh dalam negara termasuklah kepentingan masyarakat di Sabah dan Sarawak.

"Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana Malaysia memerlukan satu 'konsensus nasional' dicapai demi membangunkan semula satu 'consociational democracy' yang mantap, sekali gus melahirkan satu 'koalisi perdana negara' yang mewakili semua kepentingan dan kelompok-kelompok utama negara.

"Hal ini penting bagi menangani semua unsur yang boleh mengganggu gugat kestabilan politik nasional.

"Inilah teras bagi kestabilan politik jangka masa panjang untuk Malaysia yang masyarakatnya terdiri rakyat berbilang etnik dan kaum serta perihal kepentingan dalam rangka memupuk kesepaduan nasional yang lebih kukuh," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca