SHAH ALAM - Semua parti di negara ini jangan meletakkan pelbagai prasyarat yang bersifat peribadi serta terdorong emosi dalam merealisasikan usaha mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang bebas 'politiking'. Naib Presiden Parti Keadilan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semua parti di negara ini jangan meletakkan pelbagai prasyarat yang bersifat peribadi serta terdorong emosi dalam merealisasikan usaha mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang bebas 'politiking'.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang berkata, hal ini disebabkan semua parti, baik blok PN dan pembangkang, jika disemak kembali ciri-ciri perjuangan serta prinsip mereka dalam menangani krisis Covid-19 ketika ini adalah hampir sama.

Jelas beliau yang lebih dikenali Tian Chua, sebarang peletakan prasyarat berlandaskan emosi dalam menjayakan idea kerjasama politik dua blok dalam membentuk kerajaan perpaduan, hanya sekadar mengheret negara kepada kancah ketidakstabilan politik lebih parah.

Tian Chua

"Pertamanya, kita harus menghentikan pertelingkahan politik antara blok kerajaan dan pembangkang bagi membentuk kerajaan perpaduan.

"Kedua, semua parti perlu berjiwa besar untuk mengembalikan mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi paksi utama pentadbiran kerajaan perpaduan itu kelak.

"Sekiranya perkara ini mampu dijayakan oleh semua parti, senario itu akan mencerminkan kejayaan ahli-ahli politik untuk mengembalikan kestabilan politik negara di samping mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada mereka," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan satu persefahaman politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk seluruh rakyat Malaysia perlu dicapai semua parti di negara ini.

Presiden PKR itu berkata demikian selepas menghadiri sesi menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara, Kuala Lumpur bersama ketua-ketua parti lain secara serentak, petang Selasa.

Susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletak jawatan, timbul spekulasi bertiup kencang mendakwa Yang di-Pertuan Agong sedang mempertimbangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan membabitkan semua parti politik.

Mengulas lanjut, Tian Chua turut menegaskan semua parti harus mengambil semangat muafakat dan mengenepikan sebarang perselisihan peribadi sesama mereka pada saat krisis Covid-19 semakin memuncak ketika ini.

Bahkan, beliau mencadangkan sekiranya PH diberi mandat mengetuai kerajaan perpaduan, parti itu harus menjemput parti pembangkang termasuk Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) bagi mengisi jawatan-jawatan Kabinet yang penting.

"Pembentukan sebuah kerajaan perpaduan perlu berpandukan kepada kehendak rakyat.

"Sebagai contoh, walaupun PKR ketika ini dilihat menolak Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), sekiranya rakyat memerlukan beliau dalam pentadbiran negara maka kita harus berjiwa besar menerimanya.

"Begitu juga sekiranya kumpulan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan Zuraida (Datuk Zuraida Kamaruddin) mahu kembali ke pangkuan PKR, sepatutnya kita boleh terima mereka kembali dengan perselisihan peribadi diketepikan demi kepentingan negara.

"Sebaiknya kita jangan terlalu sempit pemikiran dengan bertindak mengikut emosi pada saat rakyat memerlukan pemimpin politik melaksanakan gencatan politik demi menyelamatkan Malaysia," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Batu itu turut menegaskan kerajaan perpaduan yang bakal ditubuhkan kelak perlu menerima semua pandangan parti-parti yang terlibat dengan peranan mereka mesti dimasukkan dalam kerangka besar pentadbiran negara.

"Saya turut mencadangkan agar tempoh masa pentadbiran kerajaan perpaduan ini sekiranya direalisasikan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, akan menghabiskan sisa penggal pentadbiran negara berbaki setahun setengah lagi," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca