SHAH ALAM - Kesepakatan untuk menghentikan politik lama dan mewujudkan bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat mampu direalisasikan menerusi pembentukan gabungan bersifat bipartisan. Menurut Timbalan Pengarah Institut... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kesepakatan untuk menghentikan politik lama dan mewujudkan bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat mampu direalisasikan menerusi pembentukan gabungan bersifat bipartisan.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Kartini Aboo Talib, gabungan bipartisan merujuk kepada gabungan di mana pihak kerajaan dan pembangkang boleh bergerak secara kolektif dalam mencapai satu matlamat yang sama.

"Gabungan yang dimahukan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah sebuah gabungan di mana parti-parti politik tidak lagi bertelagah sebaliknya bersedia untuk berkongsi kuasa.

"Politik aman dan nyaman ini diperlukan oleh kerana tiada mana-mana parti mempunyai majoriti jelas di Parlimen maka semua harus bekerjasama dan tidak membuli parti-parti kecil.

"Sebab itu saya melihat cadangan rangka persefahaman rentas parti yang ditawarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum meletak jawatan adalah sangat baik bagi mewujudkan gabungan yang bersifat bipartisan di mana penglibatan kerajaan dan bukan kerajaan boleh digerakkan bersama bagi membangun negara," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas maksud sebenar kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan, Yang di-Pertuan Agong menitahkan satu politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk seluruh rakyat Malaysia.

Perkara itu dititahkan ketika sesi menghadap Seri Paduka Baginda oleh ketua-ketua dan wakil parti di Istana Negara pada Selasa.

Kartini menambah, daripada rangka persefahaman ini juga boleh terbentuk dua pertiga majoriti di Parlimen dalam usaha untuk perubahan kepada undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan, pelaksanaan Undi 18 dan lain-lain.

"Semua rang undang-undang ini boleh terbentuk dengan adanya persefahaman rentas parti dan persetujuan majoriti dua pertiga boleh tercapai.

"Seterusnya, pembentukan gabungan bipartisan ini mungkin juga boleh membawa kepada pembentukan sebuah Kabinet yang lebih kecil namun bersih daripada blok kleptokrat," katanya lagi sambil menambah kepentingan utama adalah rakyat dan bukannya tamakkan kuasa.

Selain Anwar, pemimpin parti politik yang hadir menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Klik di sini untuk terus membaca