ISNIN 16 Ogos 2021 tercatat dalam lipatan sejarah politik negara sebagai tarikh peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia kelapan dan seluruh jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN). Setelah menempuh... Klik di sini untuk terus membaca

ISNIN 16 Ogos 2021 tercatat dalam lipatan sejarah politik negara sebagai tarikh peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia kelapan dan seluruh jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setelah menempuh asakan bertali arus dari segenap penjuru seteru politiknya, Muhyiddin atau Abah akhirnya akur melepaskan jawatan tertinggi negara itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan rentetan penarikan sokongan 15 ahli UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ini sekali gus menandakan 'gugurnya' perjuangan Muhyiddin bagi mempertahankan jawatan Perdana Menteri dan juga hayat kerajaan PN untuk sekurang-kurangnya berharap mereka dapat bertahan sehingga pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi selesai.

Namun begitu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Walaupun mungkin dicemuh seteru dan dikritik penyokong lawan, namun yang pasti bukan sedikit yang menangisi peletakan jawatan Presiden Bersatu itu semalam terutamanya menerusi komen-komen sewaktu perutusan beliau.

Bagi jutaan rakyat Malaysia yang tidak memihak kepada mana-mana parti, ramai yang memahami Muhyiddin mewarisi kerajaan pada salah satu detik yang paling sukar dalam sejarah negara. Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, ekonomi 'dihentikan' dan seluruh rakyat 'dikurung' di rumah. Sistem kesihatan hampir lumpuh, ekonomi meleset dan pengangguran meningkat.

Kejayaan awal memerangi Covid-19 telah menjulang nama Muhyiddin, tetapi ironinya peningkatan kes Covid-19 sehingga mencecah lebih 20,000 kes sehari juga telah menjadi 'senjata' paling tajam bagi lawan Muhyiddin untuk menjatuhkan beliau.

Yang pasti, dalam tempoh 17 bulan ini Muhyiddin dan kerajaan PN telah berperang habis-habisan sehingga 'gugur' di medan perang. Lebih tragis, mereka gugur saat kemenangan melawan Covid-19 semakin hampir apabila lebih 42 peratus daripada sasaran 26 juta rakyat, telah divaksin.

Sekiranya vaksinisasi berjaya menjadi perisai terbaik melawan Covid-19, penyambung tugas Muhyiddin selepas ini hanya perlu berusaha sedikit sahaja lagi untuk 'mengutip' hasil kejayaan.

Menurut Penolong Profesor Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, dari segi pentadbiran, adalah malang bagi kerajaan PN yang terpaksa menyalurkan tenaga mereka bagi menyelesaikan krisis berkaitan dengan pandemik Covid-19.

Kata Tunku Mohar, pada awalnya tampak seolah-olah kerajaan PN berjaya menangani krisis kesihatan tersebut apabila graf harian Covid-19 dapat dilandaikan pada Julai tahun lalu.

Namun begitu, kerajaan PN berhadapan dilema dalam mengimbangi kehidupan demi memastikan rakyat mampu menghidangkan nasi di atas meja keluarga mereka dengan ancaman Covid-19.

Politik Malaysia selepas 10 Mei lalu menyaksikan begitu banyak kejutan daripada tumbangnya kerajaan BN, runtuhnya kerajaan PH dan kini jatuhnya kerajaan PN.

"Pakej pemulihan dan rangsangan ekonomi, walaupun tidak semuanya gagal, tidak cukup untuk meredakan kepayahan rakyat, apabila sektor ekonomi dibuka menyumbang kepada peningkatan kes sehingga koronavirus kembali menyerang.


"Dalam pada itu,
 'harga' daripada tindakan menjatuhkan kerajaan negeri Sabah menerusi Pilihan Raya Negeri adalah sangat tinggi kerana ia mencetuskan arus baru jangkitan Covid-19 pada hujung tahun lalu.


"Kenaikan jumlah kes jangkitan Covid-19 ini memberi senjata kepada pihak pembangkang untuk terus mempersoalkan legitimasi kerajaan yang tidak dipilih rakyat itu," katanya.

Ujarnya lagi, 
sepanjang bergelar Perdana Menteri, Muhyiddin mempunyai peluang untuk mentadbir dengan baik namun masalah asas beliau adalah kerjasama dengan UMNO yang boleh dikira sebagai satu political suicide.

"Muhyiddin sepatutnya telah bersedia dengan kemungkinan ini. Inilah parti yang memecat beliau sebelum ini.

"Kini sebagai perdana menteri sementara, beliau mempunyai peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukannya sehingga seorang perdana menteri baru dilantik kelak," ujar Tunku Mohar kepada Sinar Premium pada Isnin.

Bagi Pakar Perlembagaan UIAM, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, peranan serta fungsi Muhyiddin sebagai perdana menteri caretaker tidak banyak berbeza dengan perdana menteri interim di mana kedua-duanya hanya bersifat sementara.

"Sebagai Perdana Menteri sementara, Muhyiddin bertanggungjawab memastikan segala urusan rutin pentadbiran negara dilaksanakan seperti biasa.

"Beliau tidak lagi boleh membuat sebarang keputusan atau dasar baharu contohnya berkaitan kewangan negara sebaliknya hanya boleh meneruskan dasar sedia ada," kata Khairil Azmin.

Jelasnya, walaupun tiada sebarang peruntukan berhubung perdana menteri sementara atau perdana menteri interim disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, namun ia bukanlah perkara yang luar biasa sebaliknya biasa berlaku.

"Di Australia, Kanada dan United Kingdom pun tiada peruntukan khusus mengenai kerajaan 'caretaker' kerana ia berpandukan kepada amalan atau konvensyen (amalan kebiasaan).

"Muhyiddin harus menjalankan tugasnya sebaik mungkin sebagai Perdana Menteri sementara dan urusan memilih Perdana Menteri baharu perlu diserahkan kepada budi bicara Seri Paduka Baginda seperti termaktub dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan," ujar beliau.

Tegasnya, siapa pun dilantik menjadi Perdana Menteri kesembilan selepas ini, individu itu harus mampu untuk membentuk satu kerajaan yang kukuh dan stabil demi untuk meyakinkan rakyat bahawa politik ini bukan sekadar untuk kepentingan diri sendiri.

"Mengambil pengajaran daripada kerajaan PN sebelum ini yang terpaksa berdepan musuh kelihatan (seteru politik) dan musuh ghaib (pandemik Covid-19) maka sebaiknya perdana menteri dan kerajaan baharu yang akan dilantik kelak menumpukan sepenuh usaha menangani krisis kesihatan ini serta memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas," katanya lagi.

Sememangnya dunia politik ini umpama permainan 'jack in the box' yang sentiasa memberi kejutan, namun rata-rata rakyat Malaysia rasanya sudah lali dengan bermacam-macam episod perebutan kuasa yang menyaksikan baton pentadbiran negara bertukar sebanyak tiga kali!

Bermula daripada kekalahan buat pertama kali parti Barisan Nasional (BN) yang memegang tampuk pemerintahan negara selama enam dekad di tangan koalisi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.

PH yang ketika itu dianggotai DAP, PKR, Amanah dan Bersatu kemudian memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh menggantikan Datuk Seri Najib Razak namun kegembiraan tidak bertahan lama buat veteran politik tersebut.

Pergeseran kuasa yang memuncak akhirnya menyaksikan Muhyiddin mengambil alih gelaran perdana menteri daripada Dr Mahathir yang meletak jawatan dan seterusnya membentuk kerajaan PN pada 1 Mac 2020.

Kini, jangka hayat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan sudah menemui noktah, namun persoalan siapakah perdana menteri baharu belum terjawab.

Siapakah bakal membawa bumi bertuah Malaysia ke landasan menuju masa depan yang lebih baik? Jawapannya, harus tunggu dan lihat.

Klik di sini untuk terus membaca