EPISOD peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan telah berlalu lebih 30 jam dan episod baharu yang menjadi tumpuan ramai kini pastinya terarah kepada siapa bakal pengganti beliau.Di sebalik keghairahan... Klik di sini untuk terus membaca

EPISOD peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan telah berlalu lebih 30 jam dan episod baharu yang menjadi tumpuan ramai kini pastinya terarah kepada siapa bakal pengganti beliau.

Di sebalik keghairahan berteka-teki siapa bakal melangkah gah ke Putrajaya dengan membawa gelaran Perdana Menteri Malaysia kesembilan, perkara paling utama adalah memilih calon yang mampu membentuk kerajaan yang stabil dan solid.

Mengapa kerajaan solid itu penting, kerana kita tidak mahu berdepan kemelut politik tidak berkesudahan yang akhirnya membawa imej buruk kepada negara.

Adakah majoriti mudah akan berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR? Atau dengan mesej Istana Negara agar ahli politik bersatu mewujudkan 'politik baharu', ia bermaksud akan ada kerajaan perpaduan?

Yang pasti, sebagai salah satu parti yang paling tua dan terbesar di Malaysia, semua orang kini ternanti-nanti siapakah calon PM daripada UMNO.

Dengan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menyatakan tidak terlintas untuk menamakan dirinya sendiri sebagai calon PM UMNO, tumpuan kini kepada tiga calon heavyweight lain.

Antara nama yang disebut-sebut antaranya ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li); Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Persoalannya siapakah calon terbaik UMNO dan kenapakah calon tersebut mempunyai kriteria ideal bukan sahaja untuk mengepalai Putrajaya, bahkan tugas lebih besar beliau mewujudkan politik aman dan nyaman seperti dititah Yang di-Pertuan Agong.

Malam ini dilaporkan semua 38 ahli Parlimen UMNO akan bermesyuarat mencari kata putusnya.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat Pengajian Kerajaan Kolej Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berpandangan, antara tiga nama yang dipetik, Ismail Sabri merupakan paling ideal diangkat calon perdana menteri.

Ahmad Marthada

Jelasnya, Ismail Sabri mempunyai beberapa kelebihan termasuklah diterima baik oleh parti-parti komponen lain, kedudukan sebagai Naib Presiden UMNO dan pengalaman dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Memiliki hubungan baik dengan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) seperti MCA, MIC, dan Pas serta Bersatu dari Perikatan Nasional (PN) yang dilihat menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri merupakan kekuatan utama untuk beliau sekiranya dicalonkan menjadi perdana menteri,” ujar Ahmad Martadha kepada Sinar Premium pada Selasa.

Jelasnya, adalah penting bagi sesiapa yang diutarakan sebagai calon perdana menteri UMNO untuk membuktikan mendapat sokongan parti komponen lain dan Ismail Sabri dilihat mempunyai kelebihan tersebut.

"Keduanya, pengalaman beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri merupakan aset berharga yang dapat membuktikan kepada rakyat bahawa beliau mampu melaksanakan tugas sebaiknya.

"Beliau juga pernah menjadi Menteri Kanan (Keselamatan) yang setiap hari tampil memberikan laporan harian berkaitan SOP pandemik Covid-19. Rakyat menilai semua itu.

"Seterusnya, kedudukan sebagai Naib Presiden UMNO yang merupakan antara jawatan tertinggi parti turut boleh mempengaruhi peluang beliau diangkat menjadi calon perdana menteri. Ini kerana UMNO merupakan parti yang menitik beratkan hierarki,” katanya lagi.

Kini, cabaran utama Ismail Sabri untuk mendapatkan sokongan majoriti, pastinya datang daripada kem UMNO menyokong Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri yang sebelum ini bukan rahsia lagi Ahli Parlimen Bera itu tidak senada dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO agar menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Dan perlu diingat, dalam percaturan politik Ismail Sabri adalah antara pemimpin UMNO yang masih mempunyai masa depan dan peluang yang cerah. Jika beliau mengetuai kerajaan, tidak mustahil 'tangga' untuk beliau mendaki kerusi nombor satu parti juga sangat besar.

Sementara itu, Ku Li pada Julai lalu pula pernah mengatakan kesediaan menjadi Perdana Menteri interim sekiranya tiada calon yang layak.

Namun menurut Ahmad Marthada, Ku Li mungkin tidak sesuai kerana belum ada tanda sokongan dari Ahli Parlimen UMNO lain kepada beliau setakat ini.

"Di samping itu, parti-parti komponen lain dalam PN seperti Pas dan Bersatu juga tidak memberikan sekarang reaksi apabila nama beliau pernah disebut sebelum ini untuk menjadi Perdana Menteri interim.

"Mana-mana Ahli Parlimen pasti lebih melihat kepada keupayaan melaksanakan kerja dan Ku Li telah lama tidak memegang sebarang jawatan dalam Kabinet kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, perlu diingat Ku Li pada usia 84 tahun adalah pemimpin veteran yang sangat disegani, malah mempunyai pengalaman hebat dalam bidang ekonomi.

Menyentuh tentang Hishammuddin pula, Ahmad Marthada berkata, Ahli Parlimen Sembrong itu memiliki kelebihan disenangi oleh rakan-rakan dalam kerajaan PN walaupun tidak lagi mempunyai jawatan dalam UMNO.

"Walaupun tiada jawatan dalam parti namun Hishammuddin merupakan seorang menteri senior dan berpengalaman dalam Kabinet. Malah juga antara tokoh utama penubuhan kerajaan PN,” katanya.

Saintis politik, Profesor Wong Chin Huat pula berpendapat dalam persaingan tiga penjuru itu, kelebihan terletak kepada Ismail Sabri dan Hishammuddin kerana kedua-duanya merupakan menteri UMNO yang paling kanan dalam kerajaan Muhyiddin sebelum ini.

Chin Huat

"Sekiranya salah seorang daripada mereka mendapat sokongan daripada kesemua 115 ahli Parlimen PN yang asal atau sekurang-kurangnya 111 maka mereka sudah tentu pengganti Muhyiddin,” ujar Chin Huat.

Namun katanya lagi, kedua-dua figura ini jelas ditolak oleh pucuk pimpinan parti UMNO kerana tidak mengikut arahan parti, maka mereka kehilangan sekurang-kurangnya 15 undi dalam kem anti-Muhyiddin UMNO.

"Malah dengan berita bahawa Muhyiddin akan terus memimpin Bersatu dan memegang 35 undi yang lain (31 daripada Bersatu dan 4 orang ahli parlimen bebas pro-Muhyiddin), undi-undi ini juga tidak mungkin pergi ke mereka tanpa syarat.

"Tanpa kedua-dua blok ini, maka mereka jauh lebih lemah daripada Muhyiddin dan tiada peluang,” katanya lagi sambil menambah tiada sesiapa dalam kalangan 105 ahli parlimen pembangkang yang asal akan menyokong Ismail atau Hishamuddin.

Mengulas ringkas tentang Ku Li, Chin Huat berkata, kelebihan tokoh politik veteran itu adalah usianya telah mencecah 84 tahun dan tiada pengikut.

"Ini bermaksud kalau beliau pegang jawatan Perdana Menteri untuk lebih kurang setahun, maka beliau akan mengkosongkan kerusi untuk petanding-petanding lain untuk mengambil alih selepas PRU15.

"Kelemahan ini menjadi kekuatannya untuk menarik sokongan sekalipun daripada kem PH jika jalan untuk Anwar tetap buntu,” katanya.

Pada akhirnya, keputusan siapa yang menjadi calon perdana menteri bagi menggantikan Abah yang kini merupakan Perdana Menteri sementara adalah terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Klik di sini untuk terus membaca