BARU-baru ini saya bersembang video dengan seorang teman rapat, Azam. Kami gunakan Liqaa, sebuah aplikasi sembang yang dibina oleh anak tempatan.
Sedang saya berbual, saya perasan sesusuk tubuh yang duduk termenung di belakang teman saya. Lantas saya bertanya kenapa anaknya, Azeem kelihatan monyok?
Tanpa berlengah, Azam memanggil Azeem untuk bersembang dengan saya. Kebetulannya, perbualan saya dengan Azam sudah ke penghujung.
Meskipun tampak Azeem berjalan sambil mengheret kakinya, dia duduk dan menghadiahkan sebuah senyuman tawar kepada saya sebagai tanda hormat kepada orang tua.
Dipendekkan cerita, Azeem kelihatan sedih kerana sudah dua minggu teman wanitanya menghilang diri tanpa meninggalkan jejak. Akaun laman sosialnya di Facebook, Instagram dan Tiktoknya telah dipadam.
Bila Azeem cuba mengirim WhatsApp, mesejnya turut disekat dan telefon tidak berjawab. Dalam keadaan PKP dan larangan merentas daerah, Azeem tidak boleh merentas dari Selangor untuk ke Kedah mencari kekasihnya.
‘Ghosting!’ Jadi ‘hantu.’ Itulah istilah yang diguna bagi seseorang yang memutuskan hubungan lalu menghilangkan diri tanpa meninggalkan kesan. Ia biasa terjadi dalam perhubungan rapat, khususnya sepasang kekasih.
Ghosting berlaku apabila si pelaku tidak mahu meneruskan perhubungan tetapi tidak sampai hati untuk menyatakan hasratnya memutuskan hubungan.
Barangkali juga ia berlaku kerana si pelakunya berasa dia tiada kuasa atau berdaya lagi menjernihkan keadaan untuk meneruskan perhubungan.
Keadaan Azeem ini lantas mengingatkan saya kepada apa yang berlaku kepada orang Melayu pada hari ini berhubung dengan senario politik.
Di permukaan, kita dapati masih ramai yang memberi ulasan, komen dan kritik terhadap apa yang berlaku. Mesej, foto dan video masih bersimpang-siur di media sosial.
Rata-rata mereka ini adalah ahli-ahli parti atau simpatisan politik. Ada juga yang riuh kerana menyokong personaliti yang mereka sukai.
Dari pagi hingga ke malam, ribuan mesej dan komen menular di mana-mana kumpulan sembang.
Gambaran
Namun, kita nampak lebih ramai lagi orang Melayu di luar sana yang telah berhenti mengambil bahagian dalam mengulas dan bersembang mengenai keletah dan kerenah ahli-ahli politik Melayu.
Ramai yang kini memandang sepi dengan apa yang terjadi mutakhir ini. Mereka lebih berminat untuk berkongsi hal-hal semasa seperti Covid-19, berita kemalangan, berita kesusahan dan kemiskinan, malah kisah-kisah artis yang telah berhijrah.
Cerita-cerita kegilaan politik nampaknya tidak menjadi pilihan dan minat.
Sembang rambang saya dengan beberapa orang yang aktif dalam isu-isu politik rata-ratanya berkata mereka sudah tidak kuasa lagi untuk bercakap dan berdebat siapa yang bakal berkuasa.
Bagi mereka, walau siapa pun yang menduduki kerusi kepimpinan negara, ia tidak akan mengubah agenda besar negara dalam melawan Covid-19.
Dalam keadaan sekarang, tiada pemimpin yang akan dapat memberi gambaran tentang masa depan negara siap dengan pelan dan rancangannya.
Ini kerana, pemimpin mana pun yang akan menjadi ketua, tempoh masa mereka memimpin hanya sekejap sebelum PRU berikutnya berlangsung.
Saya tidak terkejut, sekiranya selama ini begitu banyak kempen berjalan untuk memilih seseorang menjadi wakil rakyat, pada kempen PRU akan datang, kempen untuk menolak seseorang calon akan berlaku.
Ia akan digerakkan oleh kumpulan yang berasakan hanya itulah kuasa yang mereka ada untuk membersihkan golongan yang mereka pilih memimpin mereka.
Apa jua yang berlaku pada tempoh terdekat hingga ke PRU akan datang tidak akan dipedulikan kerana mereka tiada kuasa untuk ambil tahu lagi.
Jika anda rajin menelusuri laman-laman sosial seperti Facebook, anda akan temui pelbagai isyarat yang mereka sudah bersedia melancarkan perang saraf.
Cuma kini, mereka menghalakan serangan perang saraf mereka melepasi sempadan hingga ke Israel sebagai lapangan sasar.
Tunggulah bila mereka menoleh untuk memantau situasi dalam negara bila tiba masanya.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca