SEMENTARA Tan Sri Muhyiddin Yassin menyiapkan dirinya pada pagi Isnin, 16 Ogos 2021 untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, tentera Taliban baru saja menduduki Istana Presiden Afghanistan di Kabul beberapa jam sebelumnya.
Dua peristiwa dalam dua buah negara yang berlainan ini juga mempunyai kelainan yang nyata.
Muhyiddin menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan setelah pelantikan beliau pada 29 Februari 2020.
Sekali gus beliau menjadi perdana menteri paling singkat memerintah negara bertuah yang malang ini.
Penentang kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggelarnya sebagai ‘kerajaan pintu belakang’.
Pada awal Mac 2020, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin Pas yang merupakan sebahagian daripada PN menangkis gelaran ini dan mengatakan bahawa ia adalah ‘kerajaan tebuk atap’. Namun, bukan psikosis (sebutan: si-ko-sis) siasah di Malaysia yang hendak saya komen kali ini.
Sebaik sahaja Kandahar (pusat Taliban hingga 20 tahun dahulu) rebah di tangan Taliban pada 12 Ogos 2021, kemaraannya ke Kabul jantung negara Afghanistan, tidak dapat disekat lagi.
Dari 5 Ogos hingga 12 Ogos, lebih 11 daripada 34 ibu kota provinsi telah menyerah kalah tanpa pertumpahan darah atau dikalahkan secara pertempuran.
Pada Ahad, 15 Ogos 2021 berakhirlah hayat Republik Islam Afghanistan (RIA) apabila Taliban menawan Kabul.
Sekali gus semua wilayah Afghanistan berada dalam tangan kerajaan Emiriah Islam Afghanistan.
Sewaktu Taliban memasuki Istana Presiden, Ashraf Ghani, Presiden RIA serta tim kepimpinannya baru sahaja melarikan diri.
Dilaporkan pada sekitar jam 3 petang waktu Malaysia Isnin 16 Ogos, pesawat terbang yang dinaiki mantan presiden ini tidak dibenarkan mendarat di Tajikistan.
Peristiwa ini mengingatkan saya akan kenestapaan Mohammad Reza Pahlavi, Shahanshah (Raja Segala Raja) Iran dan keluarganya yang terpaksa mengemis dari sebuah negara ke sebuah negara, lari dari revolusi Iran pada Januari 1979.
Akhirnya setelah diterima oleh Mesir, Shahanshah meninggal dunia di Kaherah di bawah jagaan Presiden Anwar Sadat pada Julai 1980.
Masa itu saya berada di hujung kursus Fakulti Perubatan Universiti Kaherah.
Berbalik kepada Istana Presiden di Kabul. Sebagai bukti, gambar serta video para pemimpin yang dikelilingi oleh pejuang Taliban kelihatan duduk dan berdiri di sebuah bilik Istana Presiden sudah ditularkan ke seluruh dunia.
Ia berlatarbelakangkan sekeping lukisan berfrem yang menunjukkan para pejuang Afghan satu era yang lepas.
Satu gambar lain pula menunjukkan sekumpulan Taliban duduk bersila dan berkaki ayam sambil makan di atas kerusi dan karpet mewah. Mereka berjuang untuk Islam, watan dan tidak rasuah.
Sekumpulan ‘askar rakyat’ yang tidak mempunyai pakaian kalis peluru di dada berjaya mengalahkan askar yang dilatih CIA serta mewarisi kelengkapan canggih daripada AS dan NATO.
Cuba kita tanya kepada mereka apakah yang tersemat di dada mereka itu.
"Terima kasih kepada tentera kita dan sekutu kita serta pejuang Afghanistan yang berani, rejim Taliban sedang sampai ke hujungnya,” demikian kata-kata George W Bush dalam rakaman video Disember 2001.
Kelihatan secalit senyuman di wajah serius presiden AS itu; diikuti dengan tepukan gemuruh. Kini dua dasawarsa kemudian pada Ogos 2021, setelah empat presiden AS kesemuanya,
Taliban memasuki ibu kota Afghanistan sedang diplomat Amerika Syarikat dievakuasi dari Kabul dengan helikopter dan pesawat. Déjà vu evakuasi dari Saigon Januari 1973?
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial
Klik di sini untuk terus membaca