SHAH ALAM - Sudah sampai masanya parti-parti politik di negara ini memikirkan secara serius penubuhan kerajaan perpaduan sekiranya tidak ada blok dalam kalangan parti politik atau pemimpin yang berjaya mendapat majoriti di Dewan Rakyat.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sudah sampai masanya parti-parti politik di negara ini memikirkan secara serius penubuhan kerajaan perpaduan sekiranya tidak ada blok dalam kalangan parti politik atau pemimpin yang berjaya mendapat majoriti di Dewan Rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, kerajaan perpaduan mungkin boleh menjadi formula terbaik untuk meredakan suhu politik yang mendidih ketika ini seterusnya memimpin masa depan politik yang berhemah dan bermoral.

Menurutnya, ia juga boleh menjadi titik tolak penyatuan dalam kalangan ahli-ahli politik yang selama ini mendominasi sehingga sukar untuk memberikan tumpuan kepada agenda rakyat yang sebenar.

"Bila sebut kerajaan perpaduan, bermaksud kita bersedia memberikan keutamaan kepada hal kenegaraan daripada hal berkaitan ideologi politik.

"Cuma dalam keadaan sekarang, siapakah yang akan mengemudi kerajaan perpaduan tersebut dan saya rasakan kearifan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memikirkan seorang yang dirasakan berkelayakan serta memenuhi ciri-ciri perlembagaan.

"Pada masa sama, memastikan calon itu adalah calon yang boleh membawa kesemua wakil rakyat bersama dengan agenda untuk memulihkan negara sebelum pilihan raya umum,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau menjelaskan, dalam kerajaan perpaduan sepatutnya akan melibatkan semua wakil parti politik, walaupun mungkin ada yang menolak kerana tidak boleh bersama, namun semua parti politik harus diundang untuk menganggotainya.

Melalui formula itu katanya, tidak ada parti yang dibelakangkan dan tidak ada yang mendominasi.

Paling penting katanya, adalah bersedia untuk berkorban dan berkompromi serta mempunyai kejujuran bagi memastikan ia tidak menjadi pentas politik sesama mereka.

"Dalam keadaan seperti kebuntuan politik, barang kali istana boleh menyarankan kepada semua parti politik dan pemimpin untuk mengetepikan perbezaan pendirian parti buat seketika. Jadi, cadangan itu mungkin datang dari istana dan istana boleh memikirkan seorang figura yang dirasakan boleh memainkan peranan tersebut.

"Sosok tubuh politik itulah yang dianggap mampu untuk membawa semua secara bersama dan mesti ada kewibawaan dari segi angka serta pengiktirafan dari segi kepimpinan.

"Saya percaya dalam dua tiga hari ini, negosiasi, tawar-menawar dan mencari solusi akan berlaku. Andai kata tiada mana-mana pihak mendapat angka ajaib untuk menubuhkan kerajaan, maka kerajaan perpaduanlah pilihan terbaik buat masa ini,” katanya.

Ditanya individu yang sesuai untuk mengetuai kerajaan perpaduan ini, beliau menamakan beberapa figura yang boleh dipertimbangkan, antaranya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (UMNO-Bera), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO-Sembrong), Tengku Razaleigh Hamzah (UMNO-Gua Musang) dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi).

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan penubuhan kerajaan perpaduan jika Seri Paduka Baginda nampak masih tiada majoriti yang dicapai.

Jelasnya, Malaysia boleh mengambil pendekatan sebagaimana Britain yang menubuhkan war cabinet atau Kabinet Perang semasa krisis Perang Dunia Kedua.

"Apa yang berlaku ialah kedua-dua parti Buruh dan Konservatif bekerjasama, malah parti minoriti diberikan jawatan sebagai perdana menteri. Pada Ketika itu, pemimpin mereka iaitu Neville Chamberlain dari Parti Konservatif dan Sir Winston Churchill dari Parti Buruh mengambil pendekatan bekerjasama.

"Disebabkan tekanan perang, mereka boleh bersatu. Kenapa kita tidak tiru semangat ini dengan meletakkan ke tepi politik dan cuba bekerjasama kerana pandemik Covid-19. Cuba selesaikan masalah ini bersama, kemudian barulah bubar Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum,” ujarnya.

Jelas beliau, penubuhan kerajaan perpaduan ini boleh mengambil kerangka Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada tahun 1969 dengan melantik seorang ahli Parlimen yang dipersetujui untuk mengetuai dengan syarat, semua parti mempunyai wakil.

Kesemua wakil ini katanya, diberikan portfolio dan perlu memastikan keutamaan mereka adalah menyelesaikan kes Covid-19, ekonomi dan politik untuk tempoh tertentu sebelum pilihan raya diadakan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan, penubuhan kerajaan perpaduan adalah langkah terbaik bagi mengatasi kebuntuan politik buat masa ini.

Bagaimanapun, jumlah penglibatan kabinet perlu diminimum, sekitar 10 orang sahaja dengan memfokuskan kepada isu kesihatan dan ekonomi manakala perdana menteri akan mengambil alih isu keselamatan dan luar negara.

"Bagi saya, ini cara terbaik dan Yang di-Pertuan Agong boleh bertitah semua pihak dan parti politik untuk bekerjasama bagi tempoh tertentu sehingga PRU.

"Bagaimanapun, semua parti di negara ini mesti ada wakil, dengan ahli Parlimen yang boleh diterima semua pihak.

"Siapa yang layak, kita serah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. Selepas satu tempoh, apabila pilihan raya umum, mereka boleh bertarung kembali secara gentleman,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca