KERJANYA kelihatan mudah, tetapi tidak semua orang boleh melakukannya.
Dan disebabkan mereka yang melakukannya tidak memakai blazer, berbaju kemilap-kemilau, tidak membawa tas tangan yang mahal-mahal, jalannya pula jarang goyang-goyang dan cunggit-cunggit, maka mereka tidak dianggap penting.
Dalam terma sekarang, bukan orang barisan hadapan.
Tetapi cuba mereka tiada selama dua atau tiga bulan, besar kemungkinan kebanyakan pejabat akan berbau macam reban, atau setidak-tidaknya bersepah dan berserabut macam rumah yang ditinggalkan kerana penghuninya baru berpindah ke tempat lain.
Tidak kira apa namanya, tukang bersih, tukang cuci, tukang kemas pejabat atau dalam bahasa Inggerisnya mungkin disebut janitor, custodian, cleanser atau cleaner, mereka adalah tenaga penting di sebalik sesebuah pejabat. Peranan itu telah mereka mainkan sejak lama dahulu.
Kajian sejarah menunjukkan istana firaun-firaun Mesir ribuan tahun dahulu banyak bergantung pada perkhidmatan hamba-hamba yang ditugaskan menjadi jurubersih dan jurukemas.
Kerana pentingnya peranan mereka, firaun-firaun dari Dinasti Pertama kerajaan Mesir Purba (3100 S.M– 2900 S.M) mensyaratkan semua pembantu, termasuk jurubersih dan jurukemas ini ditanam hidup-hidup jika tuan mereka meninggal dunia.
Tujuannya supaya mereka dapat terus berkhidmat kepada tuan berkenaan di alam yang satu lagi!
Seingat saya, sehingga akhir tahun 1990-an kebanyakan pejabat sama ada kerajaan atau swasta mempunyai tukang cuci atau jurubersihnya sendiri. Yang saya maksudkan di sini adalah pejabat yang besar saiznya.
Pejabat-pejabat kecil jarang menggaji pekerja untuk tugasan ini. Jika ada pun mereka mungkin menggunakan perkhidmatan secara sambilan. Seminggu dua atau tiga kali jurukemas itu datang.
Rakan saya, seorang kontraktor kecil misalnya, menggunakan khidmat isterinya sahaja untuk mengemas dan membersih pejabat.
Selain itu, isterinya juga adalah penyambut tamu merangkap kerani merangkap akauntan dan merangkap pembancuh minuman.
"Untung guna khidmat isteri sendiri ni. Kalau tak bayar gaji pun dia taklah sibuk hendak mengadu ke pejabat buruh,” katanya.
"Yang lebih untung lagi, boleh selalu minta pinjam duit,” tambahnya.
Saya tidak pasti apakah nama rasmi bagi jawatan tukang cuci atau jurubersih pejabat ini. Tetapi mereka selalunya disebut ‘mak cik cleaner’ atau ‘kakak cleaner’.
Ada juga yang secara bergurau memanggilnya ‘mak cik/kakak sedut’. Ini kerana antara tugas jurubersih adalah menggunakan alat penyedut (vacuum cleaner) bagi menyedut habuk di permaidani lantai atau mana-mana tempat lain yang berkenaan.
Perkara yang mungkin tidak disedari oleh ramai orang ialah mak cik atau kakak cleaner ini mempunyai lesen yang sangat besar dari segi pergerakan dalam sesebuah pejabat.
Mereka boleh berada hampir di mana sahaja, termasuk kawasan-kawasan yang mungkin diklasifikasikan sebagai tempat larangan.
Bilik bos, bilik mesyuarat, bilik operasi, bilik segala bilik, semuanya boleh masuk. Jadi silaplah jika ada orang yang menyangka tugasan mereka hanya berkisar di sekitar bilik air.
Kerana lesen besar yang mereka miliki itu jugalah ‘mak cik-mak cik dan kakak-kakak cleaner’ dituntut memiliki sifat amanah dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Mereka juga harus pandai menyimpan rahsia-rahsia pejabat.
Amatlah malang bagi mana-mana pejabat yang mempunyai jurubersih jenis bermulut longkang dan kuat membawang.
Bayangkanlah apa sahaja yang berlaku dalam pejabat berkenaan diceritakan kepada orang.
Kelazimannya pula apabila disebut tentang ‘diceritakan’, ia membabitkan perkara-perkara yang kurang elok kerana kelazimannya juga perkara-perkara yang elok kurang menarik untuk dijadikan bahan cerita.
Seorang sahabat pernah menceritakan kepada saya bagaimana mak cik cleaner di tempat kerjanya akan menjadi sangat rajin setiap kali masuk membersih dan mengemaskan bilik sahabat berkenaan.
"Dia bukan hendak mengampu aku, tetapi menunggu peluang untuk mendengar buah butir perbualan aku di telefon.
Kalau tiada sebarang panggilan, dia akan keluar cepat dari bilik itu. Tetapi jika ada panggilan, dia akan memasang telinga.
Jangan hairan jika pada masa itu, vakum di tangannya hanya bergerak-gerak di tempat yang sama.
"Rajinlah konon, padahal mengintip.”
"Apa yang diintipnya? Kau bukannya kerja untuk CIA atau FBI.”
"Dia tahu aku banyak girlfriend. Kalau kebetulan dia dapat dengar, selang sejam dua, habislah satu pejabat tahu apa yang aku bualkan.”
Berdasarkan pengalaman saya, mak cik atau kakak cleaner spesies itu tidak ramai. Yang ramai adalah jenis yang sangat dedikasi dengan pekerjaannya.
Tidak ada isu panjang tangan, curi tulang dan sebagainya. Malah ramai yang menjadi tempat kakitangan lain, terutama yang masih bujang bermanja.
Apabila teringin hendak makan sesuatu, kepada merekalah tempat mengadu. Kalau ada rezeki, esok lusa mereka bawakan.
Dan selalunya rezeki itu ada kerana mereka jarang menghampakan keinginan orang lain.
Ada dalam kalangan mak cik cleaner bukanlah orang susah. Mereka ini bekerja hanya untuk mengisi masa lapang dan mendapat pendapatan tambahan. Tetapi yang susah juga sebenarnya ramai.
Saya masih ingat dalam satu majlis jamuan di pejabat seorang kawan, mak cik cleaner yang berada berdekatan saya kelihatan serba salah apabila saya ternampak dia memasukkan beberapa potong piza ke dalam bekas plastik.
"Nak bawa balik bagi anak-anak, Datuk. Mereka tak pernah rasa.” ALLAH sahaja yang tahu bagaimana hibanya perasaan saya ketika itu.
Sebenarnya yang menyumbang kepada kesusahan hidup kebanyakan jurukemas dan jurubersih ini adalah kita sendiri. Masyarakat. Kita mengukur status sesuatu pekerjaan bukan kerana kepentingannya, tetapi dengan kategori kerjanya. Asalkan kerja kolar biru, semuanya dipandang lekeh.
Di Amerika Syarikat sebagai contoh janitor tidak dipandang rendah. Upah kerjanya dibayar setimpal dengan kepentingannya.
Gaji purata mereka sejam adalah AS$15 atau RM64.50. Jika di kota-kota besar seperti New York, Massachusetts, dan Connecticut, bayarannya lebih tinggi.
Secara umum seorang janitor di negara Uncle Sam itu bergaji sekitar AS$35,000 setahun atau kira-kira RM150,000 – mungkin sama dengan pendapatan seumur hidup seorang jurukemas dan jurubersih di negara ini.
Menjelang tahun 2000-an, penggunaan khidmat jurubersih secara individu mula berkurangan. Ia perlahan-lahan diambil alih oleh syarikat-syarikat yang menjalankan perkhidmatan sama.
Ini bermakna sesebuah pejabat tidak perlu lagi membayar gaji atau upah kerja bulanan kepada seorang atau beberapa orang jurubersih, sebaliknya hanya perlu membuat bayaran kepada penyedia perkhidmatan mengikut kadar ditetapkan.
Kaedah ini dikatakan lebih menguntungkan pihak yang menerima perkhidmatan.
Keperluan terhadap perkhidmatan jurukemas dan jurubersih juga berkurangan selepas memasuki abad ke-21 ini berikutan perubahan cara hidup.
Jika dahulu mereka bukan sahaja menjalankan kerja-kerja pembersihan tetapi juga mengendalikan kertas dan fail, sama ada disusun, dibuang atau dimusnahkan, kini tugasan itu menjadi tidak perlu kerana teknologi menyebabkan penggunaan kertas telah menjadi sangat minimum.
Suatu masa nanti jangan hairan jika ada jurukemas dan jurubersih sendiri tidak tahu kertas itu apa!
Begitulah pantasnya dunia berubah. Yang tidak berubah hanya kegilaan terhadap kuasa. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia
Klik di sini untuk terus membaca