KEPUTUSAN siapa calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk dipilih secara sebulat suara sebagai calon Perdana Menteri kesembilan pada malam Selasa akhirnya membuka laluan pecutan terakhir hanya kepada dua orang tokoh sahaja iaitu Datuk Seri... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN siapa calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk dipilih secara sebulat suara sebagai calon Perdana Menteri kesembilan pada malam Selasa akhirnya membuka laluan pecutan terakhir hanya kepada dua orang tokoh sahaja iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan untuk memilih Naib Presiden UMNO itu mengatasi dua tokoh lagi iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein adalah satu keputusan yang besar dan signifikan.

Ini kerana dengan membuat keputusan itu, UMNO telah memastikan peluang calon mereka untuk dipilih sebagai perdana menteri lebih mantap dan cerah.

Mereka sedar jika hendak berjaya dalam percaturan ini mereka tiada pilihan lain melainkan bersatu hati dalam mengenegahkan seorang calon sahaja kerana jurang perbezaan majoriti adalah sangat-sangat nipis.

Perpecahan hanya akan membuka peluang kepada pihak yang satu lagi untuk menang dan membentuk kerajaan.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sedar akan risiko menjalinkan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP bagi membentuk kerajaan baharu.

Selain itu, Ismail Sabri juga dianggap calon terbaik dikemukakan BN kerana beliau turut mendapat sokongan padu daripada parti-parti blok PN diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sendiri.

Pengumuman Ismail Sabri sebagai calon tunggal UMNO dan BN juga adalah untuk memastikan Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan kembali menerajui negara selaku Perdana Menteri kesembilan kerana itulah yang cuba dielakkan oleh 15 wakil rakyat UMNO sebelum ini.

Pecutan ke garisan penamat

Bagaimanapun, Sinar Premium difahamkan Ahmad Zahid dan kumpulannya tidak ada halangan untuk pemimpin-pemimpin Bersatu kembali membentuk sebahagian daripada kabinet sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan.

Lebih menarik, melalui pengesahan pencalonan Ismail Sabri itu, pecutan terakhir bagi menentukan siapa yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia kini hanya tertumpu kepada Ahli Parlimen Bera itu dan Anwar.

Berdasarkan angka sokongan diperolehi kedua-dua calon itu ketika ini, atas kertas Ismail Sabri sepatutnya meraih sokongan 115 ahli Parlimen yang membentuk kerajaan PN sebelum ini.

Ini meninggalkan Anwar dengan baki 105 ahli Parlimen menerusi Parti Warisan Negara (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Muda (Muda), Parti Sarawak Bersatu (PSB), UPKO dan dua calon bebas.

Itu pun jika Pejuang membuat keputusan untuk menyokong Anwar dan tidak berkecuali.

Kerajaan perpaduan atau mageran

Bagaimanapun, jumlah 115 ahli Parlimen itu walaupun memadai untuk membentuk majoriti tipis tetapi mengambil kira saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar yang menang tidak menang semua dan yang kalah pula tidak kalah semua apakah ada kemungkinan untuk kita saksikan wujudnya nanti kerajaan perpaduan selepas ini.

Hal ini kerana kejatuhan kerajaan PN pada 16 Ogos lalu membuktikan betapa rapuhnya membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti yang tipis.

Sebuah kerajaan yang inklusif, sekurang-kurangnya mampu bertahan sehingga PRU15 pada saat negara ditekan dengan krisis Covid-19 yang sangat dahsyat.

Atas faktor itu, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan setiap parti di negara ini untuk mencari satu titik pertemuan bagi membentuk politik negara yang 'aman dan nyaman'.

Meskipun Anwar dalam sidang medianya selepas selesai menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara pada Selasa, seolah-olah menggambarkan titah baginda menunjukkan hasrat pembentukan sebuah kerajaan perpaduan, namun ia hanya boleh menjadi realiti jika adanya kompromi daripada kedua-dua belah pihak.

Namun, bagi sebilangan pemerhati politik tanah air, titah itu boleh juga dianggap sebagai isyarat kepada parti-parti politik tanah air bahawa Seri Paduka Baginda bersedia untuk membuat keputusan lebih drastik termasuk menubuhkan kerajaan berbentuk Mageran bagi menyelesaikan krisis politik yang tidak berkesudahan.

Menariknya, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyampaikan titah Yang di-Pertuan Agong bagi mengarahkan 220 ahli Parlimen untuk menghantar surat akuan sokongan (SD) calon Perdana Menteri pilihan masing-masing terus kepada Istana Negara.

Berdasarkan satu surat tular di media sosial, Azhar turut meminta semua ahli Parlimen berbuat demikian sebelum jam 4 petang Rabu dengan kaedah serahan perlu dilakukan secara email, faksimile dan salinan PDF melalui aplikasi WhatsApp.

Titah terkini Yang di-Pertuan Agong melalui Speaker Dewan Rakyat turut memberi bayangan jelas bahawa Istana Negara mungkin mencuba konvensyen pemilihan calon Perdana Menteri yang baharu dan lebih telus berbanding konvensyen dipraktikkan Seri Paduka Baginda selepas kejatuhan kerajaan PH.

Anwar masih boleh lakukan keajaiban

Berbalik kepada peluang dua calon Perdana Menteri baharu, di sebalik kelebihan berada di tangan Ismail Sabri untuk menewaskan Anwar, segala kemungkinan masih boleh berlaku pada saat genting ketika ini.

Ibarat perlumbaan acara basikal kierin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan wira negara, Datuk Azizulhasni Awang berjaya membuat pecutan menakjubkan pada 100 meter terakhir perlumbaan bagi memenangi pingat perak.

Keajaiban yang sama masih boleh berlaku kepada Anwar, lebih-lebih lagi sumber PKR memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu sebenarnya memiliki sokongan 'lebih paras mencukupi' bagi dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Tumpuan utama rakyat pastinya berfokus kepada arah mana sebenarnya sokongan Warisan, Pejuang, Muda, calon bebas dan paling penting fraksi 15 ahli Parlimen UMNO yang menolak Muhyiddin sebelum ini.

Berdasarkan situasi politik semasa, Warisan yang dipimpin bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara terbuka mengumumkan sokongan kepada Anwar untuk mengembalikan mandat pembentukan kerajaan PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, jika benar spekulasi bahawa adanya pertemuan Ismail Sabri dengan Warisan dan Pejuang sebelum ini dengan sebarang bentuk perjanjian yang lebih menguntungkan kedua-kedua parti itu, pastinya itu akan diambil kira sebaiknya oleh mereka untuk memihak pihak kepada yang lebih 'pemurah'.

Pada masa sama, siapa yang bakal mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri turut memainkan peranan penting untuk mana-mana parti membuat keputusan untuk berada di sebelah siapa.

Anwar dikatakan cenderung untuk memberikannya kepada Mohd Shafie, manakala Ismail disebut-sebut akan memihak kepada wakil yang dikemukakan oleh Bersatu.

Logik menyatakan jika Ismail diterima oleh fraksi PN sebagai calon Perdana Menteri, sudah tentulah calon timbalan datangnya dari Bersatu.

Bagi Pejuang pula, parti itu konsisten meminta sebuah Majlis Pemulihan Negara seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang bebas politik ditubuhkan bagi menyelesaikan krisis politik Malaysia.

Parti yang diterajui bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut difahamkan tidak akan sesekali menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Hal ini kerana episod perseteruan antara Dr Mahathir dan Anwar sangat jelas dengan impak perbalahan antara dua pemimpin itu turut menjadi faktor utama kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020.

Untuk Muda yang dipimpin satu-satunya ahli Parlimen mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta calon bebas, Dr Maszlee Malik, kedua-dua bekas pemimpin Bersatu ini difahamkan cenderung menyokong perjuangan PH dan dijangka akan menyokong Anwar.

Bolehkah UMNO fraksi Zahid masih boleh jadi kingmaker

Dalam pada itu, kumpulan UMNO 15 masih boleh berperanan sebagai 'kingmaker' disebabkan fraksi Zahid dan Najib bimbang dengan kedudukan Bersatu dalam kerajaan baharu dipimpin BN yang dianggap mereka sebagai 'liabiliti' kepada kedudukan mereka.

Ditambah dengan Ismail Sabri secara terbuka menyebelahi Muhyiddin berbanding patuh kepada arahan Ahmad Zahid untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN sebelum ini.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan juga bakal mempengaruhi impak pemilihan parti itu yang dijangka diadakan pada tahun 2023 kelak.

Secara jelas, kedudukan Presiden UMNO itu pastinya akan tergugat dengan Ismail Sabri yang disokong pemimpin-pemimpin UMNO anti Ahmad Zahid akan mengorak langkah untuk bertanding jawatan tertinggi parti berkenaan nanti.

Barang diingat jika Ismail terpilih sebagai Perdana Menteri, pengaruh dan kedudukan Ahmad Zahid dalam UMNO dengan sendirinya terancam dan terjejas. Sudah menjadi adat, orang akan berpaut kepada mereka yang ada kuasa dan jawatan. Itu adalah adat manusia.

Di mana DAP

Sikap dingin DAP yang menolak pemimpin 'kleptokrat' dalam UMNO mungkin menjadi rintangan kepada Anwar bagi mendapatkan sokongan daripada fraksi Ahmad Zahid.

Bahkan sikap terbuka beberapa pemimpin DAP seperti Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang lebih rela mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berbanding mengembalikan kerajaan 'kleptokrat', jelas memberi gambaran kebimbangan DAP terhadap kemungkinan fraksi yang diketuai Ahmad Zahid membuat 'deal' dengan Anwar.

Klik di sini untuk terus membaca