SHAH ALAM - Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan kenyataannya menyeru akar umbi parti itu untuk menyokong pencalonan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri baharu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan kenyataannya menyeru akar umbi parti itu untuk menyokong pencalonan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri baharu adalah satu pendirian parti Bersatu.

Sebaliknya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Dr Muhammad Faiz Na'aman menegaskan keputusan sebenar pendirian parti itu dalam menentukan calon Perdana Menteri baharu adalah terletak di tangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Muhammad Faiz Na'aman

Jelas beliau lagi, beliau membuat seruan itu susulan terdapat segelintir penyokong Bersatu yang menyuarakan rasa tidak berpuas hati sekiranya berita parti itu bakal mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu adalah sahih.

"Sejak tiga hari lalu, Muhyiddin sendiri mengarahkan pucuk kepimpinan dan ahli-ahli Parlimen parti supaya menutup mulut dan memberi ruang kepada beliau sendiri untuk mengumumkan pendirian sebenar Bersatu kelak.

"Justeru, seruan saya agar semua pihak menyokong pencalonan Ismail Sabri adalah sekadar pandangan peribadi, hanya sekiranya parti memutuskan memilih bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai calon Perdana Menteri baharu.

"Seruan itu juga dibuat bagi membolehkan akar umbi lebih memahami bahawa tidak semua pemimpin UMNO bersekongkol dengan kluster mahkamah dengan Ismail Sabri dilihat 'memiliki hubungan istimewa' dengan Muhyiddin," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bakal memberikan sokongan kepada Ismail Sabri untuk dipilih sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Muhyiddin.

Pada Selasa, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan 42 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah sebulat suara memilih Ahli Parlimen Bera itu sebagai calon Perdana Menteri baharu, mengenepikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, portal Malaysiakini melaporkan kesemua 31 ahli Parlimen Bersatu telah diarahkan oleh Muhyiddin untuk menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu.

Perkara itu didedahkan ahli MPT parti itu, Datuk Eddin Syazlee Shith yang menegaskan kepimpinan Bersatu sebelum ini berpendirian bahawa Presiden Bersatu akan memutuskan pilihan Perdana Menteri bagi pihak ahli-ahli Parlimen parti itu.

Eddin Syazlee Shith

"Kami semua setuju bahawa kita akan menyokong Ismail Sabri. Itulah arahan yang diberikan oleh presiden kepada kami," kata Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah.

Mengenai siapa yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri, Eddin berkata dia difahamkan bahawa Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kemungkinan calon berkenaan.

"Ini berdasarkan hierarki. Hamzah adalah setiausaha agung kami," katanya.

Bagaimanapun, sumber MPT Bersatu yang dihubungi Sinar Premium mengenepikan cadangan Eddin Syazlee yang disifatkan beliau sebagai 'belum lagi pasti'.

Mengakui Bersatu akan memberikan sokongan kepada Ismail Sabri, sebarang perbincangan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak pernah dikemukakan dalam mesyuarat MPT.

"Saya pun cuba mendengar khabar angin yang mengatakan pucuk kepimpinan Bersatu mencalonkan tiga nama bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya diwujudkan kerajan baharu melibatkan Bersatu kelak.

"Nama-nama itu adalah Peja (Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu); Hamzah selaku setiausaha agung dan terakhir Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Pengarah Pilihan Raya PN.

"Namun, sama ada siapa dilantik atau jawatan itu benar-benar akan diberikan Bersatu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat MPT," katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli MPT Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof turut mengunci mulut dan menyerahkan keputusan pemilihan calon Perdana Menteri baharu kepada Muhyiddin

Mohd Redzuan

Bagi Ketua Angkatan Bersatu Muda (Armada) Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal pula, sebarang keputusan parti untuk memilih calon Perdana Menteri baharu terletak di tangan Muhyiddin.

Wan Ahmad Fayshal

"Saya jangka pengumuman mengenainya akan dibuat Presiden (Bersatu), berkemungkinan petang ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca