SHAH ALAM - Hari ini tepat jam 4 petang, masa yang diberikan kepada semua ahli Dewan Rakyat menghantar Surat Akuan nama calon Perdana Menteri pilihan mereka secara rasmi telah tamat. Ia selepas notis dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hari ini tepat jam 4 petang, masa yang diberikan kepada semua ahli Dewan Rakyat menghantar Surat Akuan nama calon Perdana Menteri pilihan mereka secara rasmi telah tamat.

Ia selepas notis dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Selasa agar kesemua ahli Dewan Rakyat mengemukakan surat akuan berkenaan secara bertulis dan disahkan benar.

Sehingga kini, siapa pilihan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan masih menjadi tanda tanya.

Setakat jam 9 malam ini, apa yang telah kita tahu?

1. PM terpilih menerusi SD perlu kemuka usul undi percaya di Parlimen

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Perdana Menteri dilantik hendaklah segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin melalui kenyataan berkata, titah Seri Paduka Baginda itu selaras seperti diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

2. Anwar dapat sokongan 102 ahli Parlimen pembangkang

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini dapat mengumpulkan 102 sokongan ahli Parlimen pembangkang.

Ia terdiri daripada PKR dengan 35 sokongan, DAP (42), Parti Amanah Negara (11), Parti Warisan Sabah (8), Parti Pejuang Tanah Air (4) dan Parti Bersatu Sabah (2).

Ahli Parlimen Port Dickson ini hanya memerlukan sembilan sokongan untuk mendapatkan majoriti 111.

3. Ismail Sabri dapat 60 sokongan

Ahli Parlimen Bera yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setakat ini mendapat 60 sokongan iaitu daripada BN (UMNO, MCA, MIC, PBRS) sebanyak 42 dan Pas, 18 sokongan.

UMNO tampil menjelaskan sebab di sebalik keputusan parti itu memilih Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri kesembilan berbanding Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Mohamad Hasan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ahmad Zahid yang juga presiden parti dan pengerusi Barisan Nasional (BN) telah memutuskan untuk menarik diri daripada dicalonkan untuk jawatan tersebut.

4. 58 ahli Parlimen belum dedah sokongan

Sebanyak 58 ahli Parlimen setakat ini masih tidak mendedahkan siapa calon Perdana Menteri yang menjadi sokongan mereka.

Mereka terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan 31 ahli Parlimen; Gabungan Parti Sarawak (GPS) (18), STAR (1); UPKO (1); Parti Bersatu Sabah (1) dan Bebas (6).

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith hari ini mendedahkan sokongan partinya terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah solid tetapi tiada kenyataan rasmi daripada Bersatu berkenaan sokongan itu.

Bercakap kepada beberapa portal, Eddin Syazlee turut mendakwa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan dilantik sebagai Menteri Mentor dalam kerajaan baharu yang akan dibentuk jika mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong.

5. GPS kunci mulut

Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan pemilihan Perdana Menteri ke-9.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kuasa itu diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

6. MP pembangkang di Sabah tumpu Anwar sebagai calon PM

Ahli Parlimen parti pembangkang di Sabah mengesahkan bahawa sokongan calon Perdana Menteri tertumpu kepada satu calon saja iaitu Anwar.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang juga Setiausaha DAP Sabah berkata, semua ahli Parlimen pembangkang menyokong Anwar.

Sementara itu, Parti Warisan Sabah (Warisan) turut mengesahkan telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai calon Perdana Menteri seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman menerusi ciapan dalam akaun Twitter miliknya.

7. Pas nyatakan sokongan terhadap UMNO

Kemelut politik yang berterusan membabitkan UMNO dengan Perikatan Nasional yang turut dianggotai Pas menimbulkan prasangka bahawa Muafakat Nasional yang memasuki usia 22 bulan telah terkubur tanpa nisan.

Bagaimanapun hari ini, di sebalik kemelut politik yang berlaku Pas membuktikan parti Melayu Islam itu tetap istikomah berpegang teguh dengan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan bahawa kesemua 18 ahli Parlimen Pas menyokong pencalonan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Klik di sini untuk terus membaca