SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Istana Negara telah memanggil parti-parti yang memenangi perlumbaan membentuk kerajaan baharu bagi mengesahkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Istana Negara telah memanggil parti-parti yang memenangi perlumbaan membentuk kerajaan baharu bagi mengesahkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri baharu pada Khamis.

Pengesahan itu disampaikan Ahli Parlimen Pontian itu melalui mesej kiriman WhatsApp kepada Sinar Premium sebentar tadi.

Hal ini susulan Sinar Premium menerima berita penularan satu mesej tular yang mengatakan semua ahli Parlimen UMNO bakal bergerak daripada Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur ke Istana Negara menaiki bas pada jam 10 pagi Khamis.

Ahmad juga memaklumkan parti-parti lain yang dipanggil ke Istana Negara bermula jam 10 pagi terdiri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta terakhir adalah Pas.

"(Pertemuan Istana Negara dan parti-parti menang bermula) 10 pagi melalui GPS, 11 pagi (Bersatu), 2 petang (UMNO), tiga petang (UMNO/BN) serta 4 petang (Pas).

"Ya (mesej tular berkenaan disahkan), yang menang.

"Itu yang difahamkan (pihak Istana Negara) kepada saya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu mesej tular yang memaklumkan bermula jam 10 pagi, ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN bakal bertolak ke Istana Negara dari WTC, Kuala Lumpur dengan menaiki bas.

Mesej itu yang dipercayai dikirimkan oleh Ahmad Maslan sendiri, turut menyatakan hanya kumpulan parti yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad dalam kiriman WhatsApp berkenaan turut menjelaskan jemputan Istana Negara itu bermaksud Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO telah mendapat sokongan mencukupi untuk dipilih sebagai Perdana Menteri kesembilan.

"Hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi di Istana Negara. Bererti Ismail Sabri dengan izin ALLAH adalah calon PM yang menang.

"Ini tentu juga berkat kesepaduan bersama diketuai oleh Presiden (Ahmad Zahid Hamidi), timbalan presiden (Mohamad Hasan) dan Najib Abdul Razak (MP Pekan), ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan semua ahli Parlimen kita.

"Moga ALLAH memberkati perjuangan mulia untuk rakyat ini," kata Ahmad memetik mesej kiriman tular WhatsApp berkenaan pada Rabu.

Sementara itu, sumber BN memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa jumlah ahli Parlimen BN yang akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Khamis adalah seramai 41 orang.

Berikutan itu, Ismail Sabri yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri didakwa memiliki jumlah sokongan keseluruhan ahli Parlimen sebanyak 114 orang.

Sinar Premium turut dimaklumkan terdapat seorang ahli Parlimen BN yang dipercayai berkecuali dalam mengemukakan SD sokongan calon Perdana Menteri baharu.

"Terdapat kemungkinan ahli Parlimen BN yang berkecuali itu adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

"Ini kerana tokoh veteran UMNO itu lebih cenderung memilih UMNO mengemudi sebuah kerajaan interim atau berbentuk Majlis Gerakan Negara (Mageran), berbanding mengembalikan sebuah kerajaan seakan-akan Perikatan Nasional (PN) 2.0," kata sumber berkenaan.

Pada Selasa, semua Ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9 kepada Istana Negara.

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang Rabu untuk mengemukakan surat akuan bertulis (SD) mereka.

Klik di sini untuk terus membaca