KEMELUT politik di Malaysia hampir ke penghujung apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Isnin lalu untuk mengemukakan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri apabila keadaan jelas menunjukkan beliau telah... Klik di sini untuk terus membaca

KEMELUT politik di Malaysia hampir ke penghujung apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Isnin lalu untuk mengemukakan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri apabila keadaan jelas menunjukkan beliau telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen di atas permintaan Perdana Menteri. Namun, Seri Paduka juga mempunyai kuasa di bawah Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai beberapa opsyen yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah itu tetapi akhirnya kuasa untuk memilih ahli-ahli Parlimen dan seterusnya membentuk kerajaan berada di tangan pengundi melalui pilihan raya umum (PRU).

Sekiranya Parlimen dibubarkan, PRU harus diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut. Kenyataan Istana Negara jelas menunjukkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah pilihan terbaik ketika negara masih berperang dengan pandemik.

Muhyiddin kini dilantik sebagai Perdana Menteri sementara untuk menjalankan tugas-tugas pentadbiran sehingga perdana menteri baharu dilantik. Tiada undang-undang khas atau peraturan khusus berkaitan Perdana Menteri atau kerajaan sementara di Malaysia.

Secara dasarnya jawatan sementara itu hanya untuk tujuan kelancaran pentadbiran dan Perdana Menteri sementara tidak boleh melakukan apa-apa keputusan atau polisi yang akan mengikat perdana menteri baharu, tidak membuat apa-apa pelantikan yang signifikan atau memasuki sebarang perjanjian yang boleh menjadikan kerajaan dan perdana menteri baharu terikat.

Kerajaan dan perdana menteri sementara adalah salah satu ciri utama dalam sistem pentadbiran demokrasi. Sebab itulah Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) pernah mencadangkan agar peraturan atau undang-undang khas berkaitan kerajaan sementara diwujudkan bagi memastikan kelancaran pentadbiran apabila berlakunya kelompangan dalam kerajaan.

Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tatacara pelantikan perdana menteri sementara semasa Parlimen terbubar. Oleh sebab tiada undang-undang khusus bagi keadaan apabila Parlimen masih berfungsi, pelantikan Perdana Menteri sementara dibuat berdasarkan kepada konvensyen atau kelaziman yang dipersetujui semua pihak.

Pelantikan Perdana Menteri sementara bukanlah kali pertama berlaku di Malaysia. Tun V Sambanthan pernah dilantik menjadi Perdana Menteri sementara pada 3 Ogos 1973 apabila Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Dr Ismail Abdul Rahman meninggal dunia dan perdana menteri berada di luar negara. Tun Dr Ling Liong Sik pernah dilantik Perdana Menteri sementara pada 4 Februari 1988 sehingga 16 April 1988 selepas UMNO diharamkan atas perintah mahkamah pada 4 Februari 1988.

Dalam keadaan Malaysia masih bergelut dengan Covid-19, struktur kepimpinan dalam kerajaan amat diperlukan. Namun akan sampai masa polisi-polisi negara perlu diwujudkan dan persetujuan menteri-menteri diperlukan. Ketiadaan kabinet akan mengganggu kelancaran perkhidmatan kerajaan yang boleh beri impak negatif kepada rakyat.

Semasa Perdana Menteri ketujuh meletak jawatan pada Mac 2020, Perdana Menteri sementara menjalankan tugas selama dua minggu sehingga perdana menteri kelapan dilantik. Pelantikan Perdana Menteri adalah berdasarkan sokongan majoriti yang diperoleh oleh seseorang ahli Dewan Rakyat.

Dalam keadaan semasa, masih terdapat teka-teki siapa yang mendapat sokongan majoriti, keputusan tersebut harus ditunjukkan secara jelas di dalam Parlimen dan bukannya melalui akuan bersumpah atau sebagainya.

Dalam sistem demokrasi yang ideal, wakil-wakil rakyat sepatutnya mendapatkan pandangan pengundi di kawasan masing-masing untuk menentukan sokongan kepada calon perdana menteri baharu. Malangnya budaya politik di Malaysia adalah suara dan inspirasi rakyat tidak dititikberatkan selepas PRU.

Rakyat telah lesu akibat pandemik. Drama politik yang berlanjutan tidak membantu menjamin kestabilan negara. Keutamaan untuk pastikan kelangsungan hidup rakyat, bukannya kesinambungan kuasa politik golongan elit negara.

* Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya

Klik di sini untuk terus membaca