AFGHANISTAN pernah mempunyai sebuah kerajaan sosialis yang mendapat sokongan dari Kesatuan Soviet yang kini dikenali sebagai Rusia pada tahun 1978 hingga 1992.
Ketika itu negara tersebut ditadbir oleh Parti Demokratik Rakyat (PDPA) yang melaksanakan pembaharuan ekonomi dan sosial kepada rakyat tempatan.
Negara itu juga pernah mendapat tajaan projek-projek dari Kesatuan Soviet yang mengamalkan pemerintahan komunis seperti projek-projek infrastruktur, loji tenaga, sumber-sumber air dan pengangkutan pada awal tahun 1900an.
Ketika itu, British yang berpangkalan di India cuba melebarkan kekuasaannya di Afghanistan dan menentang pengaruh Kesatuan Soviet.
Keadaan itu menyebabkan tiga peperangan berlaku antara Afghanistan dengan British iaitu pada tahun 1839 hingga 1842, 1878 hingga 1880 dan 1919.
Satu perjanjian keamanan kemudian telah ditandatangani dengan British bagi mengiktiraf kemerdekaan Afghanistan selepas peperangan berlaku antara kedua-dua pihak.
Perjanjian itu ditandatangani di Rawalpindi yang kini di dalam negara Pakistan pada 8 Ogos 1919.
Sejak itu, pengaruh Kesatuan Soviet mula menular di Afghanistan dan pada tahun 1960an, negara komunis tersebut pernah menaja institut pendidikan seperti Pusat Sains dan Kebudayaan Afghanistan.
Justeru, pengaruh negara komunis di negara berkenaan telah berlaku sejak tahun 1960an lagi apabila ribuan pelajar Afghanistan belajar di sekolah-sekolah teknikal dan universiti di Kesatuan Soviet baik lelaki atau perempuan.
Dana RM169 bilion
Bagaimanapun, PDPA yang memerintah Afghanistan pada tahun 1970an dan melakukan perubahan sosio-politik dengan membahagikan tanah, memberikan hak-hak kebebasan kepada golongan wanita, memperbaiki sistem penjagaan kesihatan, perumahan, kebersihan dan pendidikan telah mengejutkan penduduk di kawasan luar bandar.
Situasi itu telah mewujudkan penentangan antara kerajaan sosialis dengan penduduk di negara itu di kawasan luar bandar termasuk golongan agamawan tradisonal.
Ketika inilah Amerika Syarikat (AS) dikatakan mula campur tangan di negara berkenaan apabila memberikan dana, latihan dan material kepada kumpulan-kumpulan ekstremis bagi menentang kerajaan sosialis Afghanistan.
Dalam buku berjudul The Untold Story of Afghanistan, Zbigniew Brzezinski iaitu Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS kepada Presiden Amerika ketika itu, Jimmy Cater pernah mengaku bahawa AS telah memberikan dana kepada golongan mujahidin.
Ia merupakan sebahagian daripada Operasi Siklon yang dilakukan beberapa bulan sebelum Kesatuan Soviet campur tangan dan membantu kerajaan sosialis Afghanistan.
Adalah dianggarkan bahawa lebih 10 tahun, AS dan sekutunya menyediakan lebih AS$40 bilion (RM169.52 bilion) kepada golongan apa yang digelarkan sebagai ekstremis agama dalam perang menentang Kesatuan Soviet.
Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan sekutu-sekutunya serta Pakistan dilaporkan merekrut, memberikan bantuan dan melatih hampir 100,000 mujahidin dari 40 buah negara Islam termasuk melibatkan Osama bin Laden yang kemudian menjadi ketua rangkaian Al-Qaeda.
Setelah terperangkap dalam pertempuran di Afghanistan, tentera Kesatuan Soviet mula berundur dari negara itu pada tahun 1989 tetapi kerajaan sosialis kekal popular memerintah selama tiga tahun lagi sebelum tumbang manakala kumpulan mujahidin pula bertempur sesama sendiri.
Kumpulan-kumpulan ekstremis itu dikatakan berpecah-belah dan bertebaran di negara tersebut dan sehingga wujudnya kumpulan Al-Qeada dan Daesh.
Pada tahun 1996, Taliban yang organisasinya lebih tersusun berbanding mujahidin kemudian menguasai Afghanistan dan melaksanakan tafsiran ketat mengenai undang-undang Islam dengan golongan wanita tidak dibenarkan bekerja.
Taliban juga mengamalkan dasar yang tidak anti-AS dan Menteri Luar pergerakan itu, Wakil Ahmed Muttawakil pernah memberitahu diplomat AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Amerika akan diserang tetapi amaran tersebut tidak dipedulikan.
Selepas serangan 11 September 2001, Taliban kemudian menjadi musuh AS dengan rekod-rekod hak asasinya digunakan bagi mewajarkan serangan ke atas pergerakan tersebut pada lewat tahun yang sama.
Pergerakan Taliban akhirnya kalah kepada Amerika dan tentera Uncle Jack menguasai negara berkenaan sejak itu.
Namun, selepas 20 tahun, Amerika Syarikat dan sekutunya, akhirnya mengambil tindakan berundur daripada bumi Afghanistan yang dijangka berakhir pada 11 September ini.
Dan sejak pengumuman itu, Taliban sedikit demi sedikit mula mengorak langkah untuk menawan kembali banyak wilayah dan kawasan-kawasan strategik di Afghanistan.
Lebih tragis, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani pada Isnin telah melarikan diri dan meninggalkan negara ini ketika Taliban semakin menghampiri Kabul, sebelum sepenuhnya memasuki bandar ini dan menawan istana presiden.
Ashraf juga mengakui ‘Taliban sudah menang’ selepas kumpulan militan itu memasuki Kabul. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca