TANDA pagar #kerajaangagal dan #duadarjat adalah antara penyumbang kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bagaimana kerajaan baharu boleh 'menterbalikkan’ kedua-dua punca ketidakpuasan rakyat itu? Ia... Klik di sini untuk terus membaca

TANDA pagar #kerajaangagal dan #duadarjat adalah antara penyumbang kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimana kerajaan baharu boleh 'menterbalikkan’ kedua-dua punca ketidakpuasan rakyat itu?

Ia menjadi cabaran besar kepada mana-mana kerajaan baharu, lebih-lebih lagi jika kerajaan baharu dan kerajaan lama sama komposisinya kecuali dengan perdana menteri yang baharu.

Jika kerajaan baharu terus gagal melawan wabak, memulihkan ekonomi dan membendung gejala 'dua darjat’, bukan sahaja parti-parti kerajaan baharu akan dihukum pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), malah Malaysia akan dilanda pembinasaan yang mungkin mengambil masa satu dekad atau satu generasi untuk dipulihkan.

Yang akan dipertikaikan bukan sahaja keabsahan kerajaan baharu tetapi juga keabsahan sistem politik tanah air iaitu demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan.

Dalam kehampaan terhadap kemelut politik yang sedang berlarutan, dua idea sering dibangkitkan sama ada dalam bentuk cadangan atau persoalan.

Idea pertama adalah memindahkan kuasa pemerintahan daripada wakil rakyat kepada pakar-pakar yang sedikit sebanyak bermodelkan Majlis Gerakan Nasional (Mageran) yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum 1969.

Akan tetapi, tanpa mandat rakyat dan pertimbangan politik, keputusan pakar-pakar dan teknokrat-teknokrat yang baik sekalipun mungkin akan ditentang rakyat. Penguatkuasaan keputusan terpaksa bergantung kepada angkatan tentera dan polis.

Maka, yang dibuang bukan sahaja demokrasi tetapi juga kerajaan ‘civilian’ (orang awam, bukan tentera).

Idea kedua sering muncul dalam bentuk soalan – kenapa kita tidak boleh memilih perdana menteri secara langsung?

Jawapannya – kalau ketua kerajaan boleh dipilih secara langsung, beliau bukan lagi perdana menteri tetapi menjadi presiden berkuasa eksekutif yang menjadi ketua negara dan ketua kerajaan.

Maka, sistem raja berperlembagaan akan diganti oleh republik dengan demokrasi berpresiden.

Demi memelihara sistem raja berperlembagaan dan kerajaan ‘civilian’, kita perlukan bukan sahaja perdana menteri baharu dan kerajaan baharu tetapi juga paradigma baharu dalam mengatur politik.

Apakah masalah paradigma politik sejak kemerdekaan dan tidak banyak diubah sekalipun di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan?

Masalahnya, pemusatan kuasa di atas pimpinan politik teratas dan birokrat tertinggi yakni KSU-KSU (ketua setiausaha), DG-DG (ketua pengarah) dan sebagainya.

Parlimen tidak dipercayai, bukan sahaja ahli-ahli Parlimen pembangkang, malah ahli Parlimen kerajaan yang bukan menteri atau timbalan menteri (backbenchers).

Kerajaan negeri juga tidak dipercayai sedangkan negeri negara-negara persekutuan lain seperti Australia, Kanada dan Jerman menjaga sekolah serta hospital. Dengan pemusatan kuasa, kejayaan dan kegagalan pentadbiran negara terpulang kepada kebijaksanaan perdana menteri, para menteri dan birokrat tertinggi.

Demi melindungi kuasa besar daripada pesaing, pembangkang termasuk pencabar kuasa perdana menteri dalam parti dianaktirikan, malah dianiaya dalam pilihan raya dan mahkamah.

Punca utama ‘dua darjat’ adalah kuasa besar Jabatan Peguam Negara untuk menentukan siapa didakwa dan siapa boleh dilepaskan.

Apabila ‘pemenang sapu semua’ (winner takes all), bagaimana parti tidak berserpih dan petanding kuasa tidak melawan secara memotong kerongkong (cut throat)?

Untuk mengakhiri #kerajaangagal dan #duadarjat, kerajaan baharu mesti berkongsi kuasa pembuatan dasar dengan pembangkang dan kerajaan negeri serta menubuhkan sebuah jabatan pendakwa raya yang tidak dikawal oleh kerajaan melalui Peguam Negara.

Perdana Menteri baru berseri-seri,

Jika Rakyat tidak sengsara.

Ajaklah pembangkang dan kerajaan negeri,

Berganding bahu mentadbir negara.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca