SHAH ALAM - Peluang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat menjadi perdana menteri kesembilan dilihat agak tipis ketika ini. Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-undang, Kerajaan dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peluang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat menjadi perdana menteri kesembilan dilihat agak tipis ketika ini.

Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ia susulan semua gabungan Perikatan Nasional (PN) menyokong pencalonan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk jawatan tersebut.

Menurutnya, keadaan itu juga sekali gus menyaksikan PN mempunyai cukup majoriti untuk bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

"Peluang Anwar ini kalau kita lihat daripada dulu lagi bahawa memang agak sukar untuk menjadi Perdana Menteri kerana tiada sokongan dan macam-macam senario lagi.

"Mungkin (katakan) golongan kluster mahkamah boleh menyokong, tetapi DAP, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak mahu bekerjasama (dengan kluster mahkamah).

"Jadi perolehan jumlah sokongan itu akhirnya dia memang tidak akan mudah mendapat sokongan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai peluang Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Dr Ahmad Marthada Mohamed

Jelasnya, meskipun tidak mendapat data yang jelas berhubung berapa Ahli Dewan Rakyat yang menyokong Ketua Pembangkang itu, namun berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dibuat khususnya daripada Warisan dan Pejuang memperlihatkan adalah sukar untuk beliau menjadi Perdana Menteri.

"Kalau kita lihat Pejuang tidak menyatakan sokongan yang jelas kepada Anwar. Begitu juga dengan Warisan.

"Sokongan yang jelas diterima beliau (Anwar) datang daripada ahli Parlimen DAP, PKR sendiri dan Parti Amanah Negara (Amanah)," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Marthada berkata, peluang yang dilihat tidak berpihak kepada Anwar itu dikukuhkan lagi apabila 'kluster' 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN telah menyatakan sokongan kepada pencalonan Ismail Sabri.

"Cumanya dikhabarkan ada seorang ahli Parlimen UMNO yang tidak menyokong Ismail Sabri, tetapi dari segi majoritinya masih berpihak kepada Ahli Parlimen Bera itu," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca