SHAH ALAM - Seorang pakar perlembagaan berpandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membentuk sebuah barisan kabinet baharu bersifat inklusif serta bipartisan, sekiranya beliau disahkan menjadi Perdana Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pakar perlembagaan berpandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membentuk sebuah barisan kabinet baharu bersifat inklusif serta bipartisan, sekiranya beliau disahkan menjadi Perdana Menteri kesembilan kelak.

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (ITKAS), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, hal ini kerana sekalipun beliau memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen berbentuk surat akuan bersumpah (SD), penentuan sebenar nasib Ahli Parlimen Bera itu adalah melalui proses keabsahan Perdana Menteri pada sidang Parlimen kelak.

Jelas beliau lagi, pembentukan sebuah kerajaan perpaduan yang merangkumi peranan semua parti politik di Malaysia juga mampu mencapai hasrat Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan kerajaan baharu dibentuk pada masa hadapan perlu bersifat inklusif iaitu tidak diterjemah dengan hanya satu parti atau gabungan parti semata-mata.

Wan Ahmad Fauzi turut bimbang sekiranya Ismail Sabri tidak mempertimbangkan sebuah kerajaan berbentuk inklusif atau perpaduan pada saat genting ketika ini, bekas Timbalan Perdana Menteri bakal berdepan kemungkinan kalah pada usul pengundian keabsahan terhadapnya.

Wan Ahmad Fauzi

"Titah Yang di-Pertuan Agong khususnya berkaitan 'menghulurkan tangan kepada orang yang kalah' dipercayai merujuk kepada amanah pemimpin yang dilantik untuk terus bekerjasama dengan semua parti politik dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

"Titah Seri Paduka Baginda juga memberi gambaran supaya mereka yang kalah tidak perlu berdendam dan hasrat ini saya lihat mampu tercapai sekiranya sebuah kerajaan yang bersifat inklusif atau kerajaan perpaduan terbentuk. Ia agar tiada pihak yang terlampau berebut jawatan Perdana Menteri.

"Justeru, Ismail Sabri, sekiranya dipilih sebagai Perdana Menteri baharu, perlu mempertimbangkan pembentukan kerajaan perpaduan atau Jemaah Menteri bersifat inklusif yang melibatkan parti-parti pembangkang bagi memastikan beliau mendapat sokongan kukuh pada usul pengundian keabsahan beliau selaku Perdana Menteri kelak," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin yang menyampaikan titah Yang di-Pertuan Agong pada Rabu.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menzahirkan pandangan supaya semua ahli Parlimen dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti politik dengan fokus kepada isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang berlaku dengan kadar segera.

Titah Seri Paduka Baginda, pembentukan sebuah kerajaan baharu yang inklusif juga perlu memastikan yang menang bukan menang kesemuanya, manakala yang kalah tidak kalah semua.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi turut menegaskan jumlah sokongan majoriti SD ahli-ahli Parlimen yang diperolehi mana-mana calon Perdana Menteri bukanlah satu ukuran bahawa individu berkenaan akan benar-benar mempunyai sokongan teruji.

Sebaliknya, beliau berpandangan angka sokongan SD itu sekadar panduan kepada Seri Paduka Baginda bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik berdasarkan mereka yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen, pada hemat baginda.

"Justeru, keabsahan juga menjadi perkara utama dalam titah Yang di-Pertuan Agong yang perlu dipertimbangkan dua blok politik terbesar untuk memastikan tiada lagi ahli Parlimen yang menarik diri.

"Ia tidak cukup untuk dilihat secara dalam parti sahaja, sebaliknya luar kerangka parti juga perlu dilihat dengan melibatkan keanggotaan dalam Kabinet," katanya.

Tambah Wan Ahmad Fauzi lagi, kaedah penentuan kerajaan baharu dihasratkan Yang di-Pertuan Agong turut menunjukkan pertimbangan bijaksana Seri Paduka Baginda dalam menyelesaikan krisis politik negara yang tidak berkesudahan.

"Hal ini kerana proses penentuan keabsahan Perdana Menteri sebaik sahaja dipilih Seri Paduka Baginda bukan sekadar memerlukan individu berkenaan menerima sokongan majoriti ahli Parlimen sahaja, bahkan susunan Kabinet baharu beliau perlu memuaskan hati semua pihak," katanya.

Sementara itu, saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat berpandangan Ismail Sabri hanya mampu memastikan kerajaan dipimpinnya stabil dan tidak berdepan ugutan daripada pihak tertentu sekiranya beliau memeterai satu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan semua parti pembangkang.

Jelas beliau, usaha memeterai perjanjian CSA ini juga bukan bermakna semua parti pembangkang berkenaan perlu dilibatkan dalam pembentukan Kabinet baharu.

Wong Chin Huat

"Selain itu, Ismail Sabri sekiranya dipilih sebagai Perdana Menteri, dapat memastikan kerajaan baharu dibentuk adalah stabil untuk memerintah secara berkesan, meskipun bagi tempoh sementara.

"Perjanjian CSA dengan pembangkang juga memberi kuasa kepada beliau untuk menyingkirkan mana-mana menteri yang tidak 'perform' tanpa bimbang keputusan itu memberi impak negatif kepada kedudukan kerajaan," katanya.

Selain itu, Chin Huat turut memberi bayangan kaedah memeterai perjanjian CSA dengan parti-parti pembangkang membolehkan kerajaan baharu dipimpin Ismail Sabri dapat kekal memerintah sehingga habis penggal pentadbiran kerajaan pada tahun 2023.

Hal ini kerana, beliau berpandangan sekalipun perjanjian CSA mempunyai had waktu, tempohnya tidak perlu terlalu singkat.

"Senario ini penting bagi memastikan kerajaan akan datang mesti mempunyai ruang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan tanpa dibelenggu kemungkinan berdepan pilihan raya.

"Dalam erti kata lain, pertandingan antara parti yang tidak sihat dapat ditangguhkan selama mungkin," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca