SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang membidas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang seolah-olah cuba mendahului keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan siapa calon Perdana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang membidas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang seolah-olah cuba mendahului keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan siapa calon Perdana Menteri kesembilan.

Jelas Tian Chang atau lebih dikenali Tian Chua, jemputan Istana Negara terhadap 114 ahli Parlimen yang menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu hanya sekadar satu proses verifikasi surat akuan bersumpah (SD) yang dikemukakan mereka.

Justeru, beliau menegaskan hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa memutuskan siapa calon Perdana Menteri baharu yang benar-benar layak dan mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

"Jemputan Istana Negara kepada parti-parti atau ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri hanyalah sekadar satu proses verifikasi terhadap SD mereka, bukan secara terang dan jelas mengatakan kumpulan ini sudah menang.

"Yang kata mereka pihak yang menang cuma Ahmad Maslan sahaja dan beliau sepatutnya jangan mendahului Yang di-Pertuan Agong dalam memutuskan perkara penting ini.

"Memang betul 114 ahli Parlimen dipanggil membuat verifikasi sokongan SD, siapa tahu mungkin ada dalam 20 ahli Parlimen ini sebenarnya bukan benar-benar menyokong Ismail Sabri," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad yang mengesahkan Istana Negara telah memanggil parti-parti yang memenangi perlumbaan membentuk kerajaan baharu bagi mengesahkan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri baharu.

Ahmad juga memaklumkan parti-parti lain yang dipanggil ke Istana Negara bermula jam 10 pagi terdiri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Barisan Nasional (BN), Pas, calon bebas dan Parti Solidariti Tanahairku (STAR).

Mengulas lanjut, Tian Chua sekali lagi menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak menafsirkan sejauh mana peluang mana-mana calon Perdana Menteri, sama ada Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih Yang di-Pertuan Agong.

"Peluang sudah diberikan kepada kedua-dua calon sehingga petang semalam (Rabu). Lebih baik kita serah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan bijaksana," katanya.

TIAN CHUA

Sementara itu, Naib Presiden DAP Kebangsaan, M Kulasegaran turut bersependapat dengan Tian Chua.

Jelas beliau, jemputan Istana Negara kepada 114 ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri bukanlah satu keputusan muktamad bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu sudah memenangi perlumbaan menjadi Perdana Menteri kesembilan.

"Kita belum tahu lagi keputusan sebenar daripada Yang di-Pertuan Agong.

"Proses yang dibuat Istana Negara hari ini (Khamis) hanyalah verifikasi sokongan terhadap Ismail Sabri, bukan mengesahkan beliau sudah jadi Perdana Menteri baharu.

"Jadi, apa pun masih boleh berlaku ketika ini," katanya.

Tambah Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, DAP menyokong penuh pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri baharu dan beliau yakin Presiden PKR itu turut mendapat sokongan 'grand coalition' daripada parti-parti pembangkang termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan).

Klik di sini untuk terus membaca