SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih berkeyakinan sebuah Majlis Pemulihan Negara (MPN) berbentuk seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran) masih mampu direalisasikan meskipun seorang Perdana Menteri baharu akan dilantik... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih berkeyakinan sebuah Majlis Pemulihan Negara (MPN) berbentuk seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran) masih mampu direalisasikan meskipun seorang Perdana Menteri baharu akan dilantik kelak.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, hal ini kerana Perdana Menteri baharu itu bakal berdepan cabaran besar untuk mendapatkan undian mencukupi setiap kali keputusan Jemaah Menteri kerajaan baharu itu dibawa ke dalam sidang Parlimen.

Jelas beliau lagi, Pejuang masih berpandangan kaedah penubuhan MPN dengan bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya adalah solusi terbaik bagi menyelesaikan krisis pandemik Covid-19, ekonomi dan sosial yang membelenggu negara ketika ini.

"Ya, saya berkeyakinan masih ada ruang dan peluang untuk sebuah MPN berbentuk Mageran diwujudkan sekalipun seorang Perdana Menteri baharu dipilih Yang di-Pertuan Agong kelak.

"Hal ini kerana cabaran Perdana Menteri baharu itu kelak adalah untuk mendapatkan undian mencukupi setiap kali keputusan Kabinet di bawa ke Parlimen.

"Selain itu, pilihan Perdana Menteri baharu melalui sokongan majoriti surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen itu tetap perlu disahkan dalam sidang Parlimen melalui undi percaya," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal disahkan sebagai Perdana Menteri kesembilan, sekali gus mengenepikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Spekulasi itu bertiup kencang setelah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Istana Negara menjemput sejumlah 114 ahli Parlimen bagi mengesahkan verifikasi SD menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu.

Jelas Ahmad lagi, ahli-ahli Parlimen yang dijemput terdiri daripada parti itu, Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Pas dan empat calon bebas.

Ahli Parlimen Pontian turut menjelaskan jemputan Istana Negara hanya merujuk kepada parti-parti yang memenangi perlumbaan membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan PN.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun menegaskan empat ahli Parlimen Pejuang kekal berpendirian untuk mengekalkan mandat rakyat yang telah diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Selain itu, beliau turut menjelaskan Pejuang tidak akan sesekali menyokong sebuah kerajaan baharu sekiranya dipimpin Ismail Sabri yang turut mengandungi ahli-ahli Parlimen 'kluster mahkamah'.

"Proses pengesahan undi di Istana Negara diperlukan sebelum keputusan boleh dibuat Yang di-Pertuan Agong untuk perkara tersangat penting iaitu pemilihan seorang Perdana Menteri.

"Keempat-empat ahli Parlimen Pejuang memutuskan untuk mengekalkan mandat rakyat yang telah rakyat berikan pada PRU14 dan menolak kluster mahkamah," katanya.

Ditanya sama ada Pejuang akan mempertimbangkan penyertaan sebuah kerajaan perpaduan atau perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) sekiranya dikemukakan kerajaan baharu, Mukhriz berpandangan kedua-dua opsyen itu bukan keutamaan Pejuang.

"Kerajaan perpaduan pernah dicadangkan oleh Dr Mahathir sewaktu akhir perjawatannya sebagai Perdana Menteri tahun lepas dan idea itu kini tidak akan memberi impak diharapkan rakyat sekiranya usaha-usaha tersusun menangani krisis tidak didahulukan melalui MPN.

"Begitu juga dengan cadangan CSA yang saya fikir bukan keutamaan kami. Yang lebih diutamakan adalah usaha-usaha berfokus negara bagi menyelesaikan krisis Covid-19, ekonomi dan sosial.

"Saya ulangi, solusi terbaik adalah melalui penubuhan MPN dengan Dr Mahathir sebagai pengerusinya," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca