SHAH ALAM - Kejayaan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan parti-parti lain sekali lagi bersetuju membentuk kerajaan bersama, sekali gus mematahkan cubaan pihak yang mahu melaksanakan strategi pecah dan perintah terhadap... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kejayaan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan parti-parti lain sekali lagi bersetuju membentuk kerajaan bersama, sekali gus mematahkan cubaan pihak yang mahu melaksanakan strategi pecah dan perintah terhadap Muafakat Nasional (MN) serta Perikatan Nasional (PN).

Pandangan itu didedahkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki yang mendakwa terdapat pihak mahu 'menangguk di air keruh' serta cuba menggagalkan usaha penyatuan ummah dan integrasi nasional yang dibentuk melalui persefahaman MN dan PN.

Beliau yakin keputusan Pas, UMNO, Bersatu dan parti-parti lain yang mencapai persetujuan mencadangkan seorang Perdana Menteri baharu, Mohd Zuhdi akan turut membolehkan krisis politik negara kembali selesai.

"Kejayaan semua parti tersebut menyelesaikan pertikaian yang berlaku atas semangat penyatuan ummah dan integrasi nasional akan menggagalkan sama sekali pihak yang mahu 'menangguk di air keruh'.

"Usaha pihak tersebut untuk melaksanakan strategi pecah dan perintah khususnya terhadap Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional sekali lagi menemui kebuntuan," katanya pada Rabu.

Pandangan bekas Setiausaha Politik Menteri Air dan Alam Sekitar itu diutarakan setelah spekulasi bertiup kencang mengatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hampir pasti dilantik sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada Rabu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Istana Negara menjemput sejumlah 114 ahli Parlimen bagi mengesahkan verifikasi SD menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu.

Jelas Ahmad lagi, ahli-ahli Parlimen yang dijemput terdiri daripada parti itu, Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Pas dan empat calon bebas.

Ahli Parlimen Pontian turut menjelaskan jemputan Istana Negara hanya merujuk kepada parti-parti yang memenangi perlumbaan membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan PN.

Dalam pada itu, Mohd Zuhdi mencadangkan sebuah Majlis Presiden parti-parti kerajaan baharu diwujudkan bagi membolehkan kerjasama semua parti dalam kerajaan diperkukuhkan selain rundingan untuk membuat sesuatu keputusan besar dipermudahkan.

Hal ini kerana beliau berpandangan usaha mewujudkan semangat musyawarah sebagaimana termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional yang merentasi kaum, bakal menjadikan kerajaan PN 2.0 lebih kukuh daripada sebelumnya.

"Sebuah kerajaan yang kukuh meskipun hanya mempunyai kelebihan empat atau lima kerusi adalah amat penting untuk negara terus menghadapi pendemik Covid-19, yang sudah mula menunjukkan kejayaan kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, tokoh veteran Pas, Datuk Mustafa Ali berpandangan tiada masalah bagi Pas memilih sesiapa pun sebagai calon Perdana Menteri baharu, tidak kira dari UMNO atau Bersatu, asalkan semua parti itu bersatu dalam PN.

Tambah beliau, pada saat negara berdepan krisis terburuk dalam sejarah, tugas utama semua pemimpin politik adalah untuk menyelesaikan kebuntuan membentuk sebuah kerajaan baharu yang lebih stabil.

Jelas beliau, hanya melalui kombinasi kerjasama dan penyatuan hati semua parti-parti dalam PN dan MN akan memastikan kebuntuan membentuk kerajaan baharu dapat dirungkai.

"Saya rasa selagi mana mereka bersama dalam PN dan MN, sesiapapun yang akan dipilih sebagai Perdana Menteri sama ada daripada Bersatu atau BN, it's ok.

"Hal ini kerana parti-parti ini termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus bersama bagi memastikan calon Perdana Menteri baharu mendapat sokongan majoriti mencukupi.

"Tubuh dahulu kerajaan di bawah pimpinan sesiapa pun, asalkan kita semua bersatu, insya-ALLAH kerajaan akan kembali berjalan dengan lancar," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan baharu ini mampu bertahan dengan sokongan majoriti yang masih dianggap tipis, Mustafa yang juga bekas Setiausaha Agung Pas mengakui tiada kerajaan yang benar-benar tidak berhadapan langsung dengan konflik politik.

Bagaimanapun, beliau yakin isu kestabilan kerajaan baharu akan tercapai setelah usaha menubuhkan kerajaan baharu diselesaikan segera.

"Dalam politik, kerajaan yang mahu 'zero politic' itu memang tiada...Mesti ada masalah yang perlu diselesaikan kerajaan itu.

"Saya rasa untuk menyelesaikan isu kestabilan kerajaan, kena tubuh kerajaan dahulu, selepas itu banyak perkara yang boleh diselesaikan kerajaan itu.

"Paling penting, bila Yang di-Pertuan Agong memutuskan siapa jadi Perdana Menteri baharu, masalah politiking dalam kalangan pemimpin akan berkurangan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca