SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menyerahkan soal pemberian jawatan penting kerajaan terhadap parti itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri kesembilan yang bakal dilantik serta ketua-ketua parti membentuk kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menyerahkan soal pemberian jawatan penting kerajaan terhadap parti itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri kesembilan yang bakal dilantik serta ketua-ketua parti membentuk kerajaan baharu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, beliau merasakan Perdana Menteri baharu dan ketua-ketua parti akan membuat satu keputusan terbaik bagi memantapkan pengurusan negara dalam fasa rakyat berjuang menangani ancaman krisis Covid-19.

Katanya, beliau secara peribadi tidak tahu-menahu dengan kesahihan berita Bersatu bakal diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilantik sebagai menteri mentor yang menjadi amalan negara Singapura.

"Saya tidak tahu (pemberian jawatan menteri mentor dan TPM), saya tidak melibatkan diri dalam perkara itu.

"Tapi saya rasa mereka akan membuat keputusan yang terbaik untuk memantapkan pengurusan negara dalam fasa kita berjuang menangani krisis Covid-19.

"Terserah kepada kebijaksanaan Perdana menteri baharu dan ketua-ketua parti (membentuk kerajaan baharu) untuk membuat keputusan berkenaan," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kehadiran 31 ahli Parlimen Bersatu ke Istana Negara bagi tujuan mengesahkan verifikasi sokongan calon Perdana Menteri pilihan parti itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.

Pada Rabu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Istana Negara menjemput sejumlah 114 ahli Parlimen bagi mengesahkan verifikasi SD menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu.

Jelas Ahmad lagi, ahli-ahli Parlimen yang dijemput terdiri daripada parti itu, Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Pas dan empat calon bebas.

Ahli Parlimen Pontian turut menjelaskan jemputan Istana Negara hanya merujuk kepada parti-parti yang memenangi perlumbaan membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan PN.

Sebelum ini, terdapat spekulasi mengatakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dilantik sebagai menteri mentor sebagaimana amalan kerajaan Singapura, manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri pula diisi oleh Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mengulas lanjut mengenai kehadiran 31 ahli Parlimen Bersatu di Istana Negara, Mohd Redzuan mengesahkan semua ahli Parlimen parti itu secara konsensus mengikut keputusan Bersatu bagi mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dan kesemua ahli Parlimen Bersatu telah mengesahkan sokongan SD yang dihantar kepada Istana Negara pada Rabu.

"Jadi, kehadiran kami ke Istana Negara tadi adalah sebahagian proses memperakui SD sokongan masing-masing di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Itu sahaja.

"Prosesnya pun cukup mudah, ia berjalan mengikut SOP ketat dengan setiap ahli Parlimen perlu mengadakan ujian calitan RTK-antigen di hadapan pintu Istana Negara sebelum proses verifikasi dijalankan.

"Alhamdulillah, keputusan ujian semua ahli Parlimen Bersatu negatif," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca