SHAH ALAM - Perdana Menteri baharu yang bakal dilantik disaran meneruskan cadangan penawaran kerjasama rentas parti secara bipartisan bersama parti-parti pembangkang sebagaimana dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri baharu yang bakal dilantik disaran meneruskan cadangan penawaran kerjasama rentas parti secara bipartisan bersama parti-parti pembangkang sebagaimana dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, tujuh tawaran mega dikemukakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kepada parti-parti pembangkang bagi mewujudkan sokongan dua pertiga kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara bipartisan sebelum ini, adalah formula penting bagi memastikan kestabilan politik negara.

Jelas beliau lagi, titah Yang di-Pertuan Agong secara jelas mahukan semua parti politik bersatu untuk mewujudkan politik aman dan nyaman dan dalam situasi politik semasa, kaedah terbaik mencapainya adalah menerusi kerjasama bipartisan.

"Saya minta kerajaan baharu meneruskan cadangan tujuh tawaran mega dikemukakan Muhyiddin kepada parti pembangkang bagi mewujudkan kerjasama merentasi parti secara sokongan bipartisan demi kepentingan rakyat.

"Sekiranya tawaran ini disambut parti-parti pembangkang secara berjiwa besar, kerajaan baharu mampu mencapai sokongan majoriti dua pertiga.

"Melalui kaedah itu, Perdana Menteri baharu boleh meneruskan cadangan Muhyiddin supaya meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menetapkan tempoh perkhidmatan seorang Perdana Menteri tidak boleh melebihi dua penggal selain peruntukan tahunan untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang akan diberikan sama rata dengan ahli-ahli Parlimen kerajaan," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cabaran dihadapi kerajaan baharu yang bakal dibentuk kelak susulan Yang di-Pertuan Agong menitahkan keabsahan Perdana Menteri baharu perlu ditentukan segera menerusi undi percaya di Parlimen secepat mungkin.

Pada Rabu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Istana Negara menjemput sejumlah 114 ahli Parlimen bagi mengesahkan verifikasi SD menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu.

Jelas Ahmad lagi, ahli-ahli Parlimen yang dijemput terdiri daripada parti itu, Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Pas dan empat calon bebas.

Ahli Parlimen Pontian turut menjelaskan jemputan Istana Negara hanya merujuk kepada parti-parti yang memenangi perlumbaan membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan PN.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai rombongan untuk menaiki bas menuju ke Istana Negara dari Menara Dato' Onn, WTC hari ni.
 - Foto Bernama

Mengulas lanjut, Abdul Latiff yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkeyakinan peluang kerajaan baharu untuk meraih sokongan sekurang-kurangnya 147 ahli Parlimen bagi membentuk majoriti dua pertiga adalah realistik.

Hal ini berdasarkan sokongan sekurang-kurangnya 14 ahli Parlimen terdiri Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) mampu dicapai sekiranya kerajaan baharu mampu memenuhi tuntutan politik mereka.

"Saya difahamkan Anwar tidak dipanggil kerana beliau didakwa cuma mendapat angka sokongan 92 ahli Parlimen sahaja dengan Pejuang, Warisan dan PSB bersikap 'abstain' terhadap beliau.

"Meskipun parti-parti diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ini turut menolak calon Perdana Menteri daripada PN dan BN, mereka sebenarnya adalah kawan sekiranya kerajaan baharu pandai pujuk.

"Kalau kerajaan baharu boleh penuhi tuntutan politik mereka, sekurang-kurangnya tambahan sokongan 14 ahli Parlimen pembangkang akan diperoleh.

"Selain itu, sekiranya satu mufarakah atau kerjasama rentas parti boleh dibuat dengan ahli-ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) dan sebahagian ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sendiri, kerajaan baharu berkemungkinan mampu mencapai majoriti dua pertiga,"katanya.

Tambah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu lagi, dalam suasana krisis luar biasa yang menyaksikan negara bertukar tiga Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun, kerajaan baharu kena bersikap 'give and forget' dan jangan terlalu berkira-kira sewaktu mengemukakan solusi politik 'menang-menang' kepada semua parti.

"Paling penting, semua pihak perlu berkorban untuk menjaga kestabilan kerajaan serta menguatkan institusi Perdana Menteri itu sendiri.

"Yang penting semua pihak perlu bersatu hati menangani musuh utama negara iaitu pandemik Covid-19. Pandemik ini tidak kenal siapa Perdana Menteri dan siapa pun Timbalan Perdana Menteri," katanya.

INFOGRAFIK

7 tawaran Muhyiddin kepada ahli Parlimen pembangkang supaya kerajaan PN kekal berfungsi sebelum ini:

1) Mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja

2) Rang Undang-undang Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen

3) Jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen seimbang

4) Bersetuju melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik

5) Satu rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirunding terlebih dahulu dengan semua ahli Parlimen.

6) Satu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen

7) Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan setara dengan Menteri Kanan

Bagaimanapun, tawaran Muhyiddin itu ditolak semua parti pembangkang dengan beliau kemudiannya meletak jawatan Perdana Menteri kelapan.

Klik di sini untuk terus membaca