SHAH ALAM - Suhu panas politik negara sejak episod peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 16 Ogos lalu boleh dikatakan sedikit reda hari ini dan kini segalanya terletak di atas kebijaksanaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Suhu panas politik negara sejak episod peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 16 Ogos lalu boleh dikatakan sedikit reda hari ini dan kini segalanya terletak di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi mengumumkan siapa Perdana Menteri kesembilan.

Setakat ini, pecutan akhir menuju Putrajaya mengesahkan dua nama, iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Namun, pada siang tadi hanya 114 ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengesahkan sokongan sekali gus memberi gambaran bahawa Ahli Parlimen Bera itu sudah melepasi majoriti mudah 111 sokongan.

Bagaimanapun, pengesahan siapa Perdana Menteri dijangka hanya akan diketahui selepas Yang di-Pertuan Agong bermesyuarat bersama Raja-Raja Melayu esok.

Apa yang telah kita ketahui setakat ini?

1. 114 ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong

Seramai 114 ahli Parlimen yang menamakan dan menyokong Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Sesi bertujuan mengesahkan surat akuan sokongan kesemua ahli Parlimen tersebut bermula seawal jam 10 pagi sehingga 4.20 petang

Ia dilakukan secara berperingkat merangkumi lima sesi melibatkan ahli Parlimen daripada UMNO seramai 37 orang, Bersatu (31), Pas (18), GPS (18), MCA (2), MIC (1), PBRS (1), PBS (1), Star (1) dan Bebas (4)

2. Nama Ku Li tiada dalam senarai 114 ahli Parlimen

Nama Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) tidak berada dalam senarai pemimpin yang menghadap Agong.

Difahamkan oleh sumber terdekat, Ku Li tidak menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri kesembilan kepada Istana Negara.

Ku Li sebelum ini antara pemimpin yang lebih menyokong kepada idea penubuhan kerajaan perpaduan berbanding satu kerajaan baharu yang juga dilihat masih goyah dengan majoriti tipis.

3. Parti Perikatan Nasional (PN) sepakat pilih Ismail Sabri

PN hari ini akhirnya membuat pengumuman rasmi menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ke-9.

Kenyataan media itu dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan semua 50 Ahli Dewan Rakyat daripada parti gabungan PN, iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat Bersatu, 18 Pas dan 1 STAR telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara pada 18 Ogos, menyatakan sokongan sebulat suara kepada Ismail Sabri.

4. 4 ahli Parlimen Bebas juga sokong Ismail Sabri

Empat ahli Parlimen Bebas juga turut menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri.

Undi mereka sangat penting untuk membolehkan Ismail Sabri melepasi angka majoriti mudah 111 sokongan.

Mereka ialah Steven Choong (Tebrau), Larry Soon (Julau), Jugah Anak Muyang (Lubuk Antu) dan Xavier Jayakumar (Kuala Langat).

5. Majlis Raja-Raja Melayu bermesyuarat esok

Satu Mesyuarat khas Raja-Raja Melayu akan diadakan pada Jumaat (esok) di Istana Negara bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan kerajaan.

Pengumuman rasmi mengenainya dijangka dibuat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari sama.

6. Tian Chua bidas Ahmad Maslan

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Istana Negara hanya memanggil kumpulan parti yang menang perlumbaan membentuk kerajaan baharu bagi mengesahkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri baharu.

Ahli Parlimen Pontian itu turut menjelaskan jemputan Istana Negara itu bermaksud Ismail Sabri telah mendapat sokongan mencukupi untuk dipilih sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Namun, kenyataan tersebut dibidas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang yang mendakwa Ahmad seolah-olah cuba mendahului keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan siapa calon perdana menteri seterusnya.

Klik di sini untuk terus membaca