SETELAH 20 tahun, di bawah pentadbiran empat presiden dan setelah membelanjakan lebih AS$2 trilion (RM8 trilion) Amerika Syarikat (AS) diusir dari Afghanistan. Benarlah kata sejarawan bahawa Afghanistan is the graveyard of empires (tanah perkuburan empayar). Tidak ada ada satu kuasa walaupun sebesar mana yang kekal bertahan di Afghanistan.
Presiden Joe Biden terpaksa menerima hakikat bahawa AS tidak ada alasan untuk mempertahankan kedudukannya di negara itu. Beliau dikecam hebat oleh banyak pihak.
Keadaan huru hara pada hari-hari terakhir sebelum Taliban menawan Kabul tidak ubahnya keadaan panik pada 30 April 1975 apabila tentera AS meninggalkan Saigon (kini Ho Chin Minh City). Jumlah kematian tentera AS dalam Perang Vietnam adalah 50,220 orang tetapi di Afghanistan kira-kita 1,500 orang. AS terbabit dalam Perang Vietnam di tengah kemuncak Perang Dingin dengan Rusia. Di Afghanistan mereka sebenarnya tidak ada urusan.
Rusia yang menduduki Afghanistan pada tahun 1979 dimalukan dengan pengunduran tenteranya setelah 10 tahun. AS dimalukan setelah cuba bertahan selama 20 tahun.
Kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Apakah akan damai negara itu? Apakah akan berakhir perang saudara yang berlarutan puluhan tahun? Akan adakah kelompok lain yang akan mencabar Taliban? Apakah Taliban akan menandakan kemenangannya dengan melaksanakan apa yang ditakuti oleh masyarakat antarabangsa, bertindak atas dasar dendam ke atas mereka yang bekerja dengan AS atau yang pernah melawan mereka? Bagaimanakah nasib kaum wanita di negara itu? Apakah model Islam yang mereka bawa akan terus menjerumuskan Afghanistan pada zaman kemunduran?
Tindakan AS menyerang negara itu memang tidak bermoral dan tidak boleh dipertahankan. Presiden Bush (Jr) melancarkan serangan ke atas Afghanistan sebagai tindak balas serangan kumpulan Al-Qaeda terhadap New York pada 11 September 2001. Peliknya tidak ada seorang pun rakyat Afghanistan yang terlibat dalam serangan itu. Alasan AS oleh sebab Osama bin Laden bertapak di situ, orang yang dikatakan bertanggungjawab melatih pengganas, di antaranya penyerang menara kembar New York.
Ternyata 20 tahun pendudukan AS di Afghanistan tidak mengubah apa-apa. Kompleksiti masyarakat negeri itu tidak mereka fahami. Mereka dilihat sebagai penakluk seperti juga Rusia. Walaupun Setiausaha Pertahanan AS pada tahun 2003, Donald Rumsfeld mengatakan berakhirnya peperangan besar dan Presiden Bush dengan bangga mengisytiharkan mission accomplished (misi terlaksana) tetapi realitinya tentera AS hanya berkubu di kem tentera mereka sahaja.
Serangan ke atas Tora Bora, kawasan pergunungan yang kononnya menjadi tempat perlindungan Osama juga tidak membuahkan hasil. Tenyata Osama hidup bersama isteri-isterinya di Pakistan sehingga dia dibunuh pada 23 Jun 2011.
Saya pernah melihat sendiri derita bangsa Afghanistan dari dekat. Saya, Wan Omar Ahmad (Allahyarham) dan jurufoto Mohd Ali Zakaria dari majalah Dewan Masyarakat berjaya masuk ke Afghanistan pada hari Jumaat, 21 April 1989. Kami menunggu selama 10 hari di kota Peshawar, Pakistan mencari waktu yang sesuai untuk diseludupkan ke Wilayah Kunar.
Perjalanan dari Peshawar mengambil masa lebih 24 jam, melalui kawasan autonomi beberapa suku kaum yang menghuni tribal areas yang menjadi sempadan Pakistan-Afghanistan. Ini merupakan kawasan no man’s land. Selebihnya adalah jalan berbahaya, laluan curam dan ancaman tanah runtuh. Kami tidak masuk melalui Khyber Pass yang terkenal tetapi melalui laluan tikus untuk sampai ke kota Jalalabad.
Perang saudara sedang berlaku setelah pengunduran tentera Rusia. Presiden boneka yang diletakkan oleh Rusia, Muhammad Najibullah semakin rasa tertekan. Wilayah Kunar menjadi padang jarak padang tekukur ketika itu. Perjalanan kami dengan Land Cruiser penuh bahaya. Kami tinggal di khemah sementara Mujahiddin selain di rumah mayat.
Di Peshawar kami menemui beberapa orang pemimpin Mujahiddin dari pelbagai kaum, termasuk Perdana Menteri Kerajaan Interim Afghanistan ketika itu Prof Rabb Rasol Sayyaf. Kami juga menemui Gulbuddin Hekmateyar, pemimpin kumpulan Mujahiddin terkuat ketika itu, Hisbi Islami. Gulbuddin kini adalah orang buruan utama AS.
Peshawar adalah tempat berhimpunnya jutaan pelarian Afghanistan yang tinggal di penempatan yang dikenal sebagai Kachagari, Nasir Bagh, Munda, Badaber dan Michni. Mereka melarikan diri apabila Rusia menakluk negara itu pada tahun 1979. Di Peshawar juga kami melawat Universiti Jihad di mana anak-anak muda pelarian Afghanistan mendapat pendidikan formal selain dilatih dalam bidang ketenteraan.
Pejuang Mujahiddin ketika itu disanjung di mana-mana, dianggap pejuang kebebasan yang punya semangat kental. Mereka rata-rata tidak dilatih secara formal dalam bidang ketenteraan tetapi dengan iman dan komitmen mereka memperlihatkan semangat juang yang luar biasa. Kebangkitan rakyat atau qiam omumi mendefinisikan pejuang yang dilabelkan rag tag army. Mereka yang hanya berpakaian shalwar kameez dan topi yang dineal sebagai pakol menumpaskan tentera kedua terbesar dunia ketika itu, Rusia. Selepas Peristiwa 9/11, mereka semua dilabelkan "pengganas”.
Kami melihat sendiri kecekalan mereka di lapangan. Di tengah tembakan senapang dan mortar, mereka tidak berganjak sedikit pun. Mereka berkubu di tempat terbuka dengan kotak-kotak peluru di sekeliling mereka.
Ada kalanya kami dikejutkan untuk ikut mereka meronda pada waktu malam. "Let’s shoot some Russians,” pelawa seorang komandan yang dikenal sebagai Ubaidullah yang kami temui dekat bandar Nurgul tidak jauh dari Jalalabad. Beliau mungkin berniat lawak, tetapi wajah serius membuktikan pelawaannya harus diambil perhatian.
AS cuba menjadi polis dunia mengambil tindakan menyerang mana-mana negara yang mereka anggap ancaman. Seperti juga Iraq, keamanan tidak datang di Afghanistan. AS dengan kekuatan tenteranya tidak berjaya menundukkan rakyat Afghanistan. Kali ini mereka berdepan dengan gerakan yang bermula dari para pelajar (talib) yang kecewa dengan segala warlords yang tidak habis-habis bermusuhan dan berbunuhan sesama sendiri.
* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara dan mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu dan mantan Pengerusi Media Prima Berhad.
Klik di sini untuk terus membaca