PENCALONAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan ketika ini menjadi buah mulut masyarakat. Ada yang gembira apabila drama politik negara sudah menuju episod akhir, namun tidak kurang juga mempersoalkan tindakan tersebut seolah-olah tidak ada beza dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0.
Parti yang sama, gabungan yang serupa dan barisan wajah pemimpin juga tidak berbeza. Seperti kata orang utara, 'pi mai pi mai tang tu'.
Ramai yang bimbang, jika angka diperoleh Ismail Sabri juga hanya sekitar 114 sokongan, Ahli Parlimen Bera itu juga berpaut di dahan yang rapuh. Jangan kata ribut taufan, mungkin hanya angin kencang sudah boleh mematahkan dahan itu.
Ia telah berlaku kepada kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin apabila hanya bertahan 17 bulan sekali gus menjadi kerajaan tersingkat dalam sejarah negara. Dan situasi yang sama bila-bila masa sahaja boleh berlaku kepada kerajaan PN2.0 di bawah Ismail Sabri.
Malah lebih penting ketika ini, selepas menyaksikan satu demi satu drama politik negara, adakah PN2.0 boleh mendapat dan menawan kepercayaan rakyat kembali.
Bagi bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, tidak dinafikan pelantikan Ismail Sabri itu seolah-olah gambaran roda putaran kerajaan PN 2.0 di mana kemungkinan untuk jawatan ahli kabinet terdahulu dikekalkan.
"Isu itu tidak dinafikan kerana Ismail Sabri naik hasil sokongan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Oleh itu, apabila adanya pembentukan kerajaan, apa jua keputusan kena ikut pada parti yang terlibat.
"Sekiranya PN naik balik, UMNO akan meletakkan nama pada Perdana Menteri dan calon-calon Menteri dari kalangan UMNO begitu juga dengan Pas dan Bersatu. Ismail Sabri tidak boleh ubah itu dan sekiranya berubah pun hanyalah sekadar ‘portfolio’ sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, agak sukar jika rakyat mengharapkan sebuah kerajaan baharu yang terdiri daripada jemaah Menteri dan ahli kabinet baharu kerana adanya campur tangan, pencaturan politik dan sokongan mereka yang melantik jawatan Perdana Menteri itu kepada Ismail Sabri.
"Jika harapan rakyat adalah mengharapkan majoriti untuk semua ahli kabinet PN meletakkan jawatan dan tukar kepada kerajaan baharu secara keseluruhan agak sukar. Sekarang ini, kita harus lihat dari perspektif bagaimana Ismail Sabri mencaturkan politik sama ada mampu mengemudi negara atau tidak.
"Selain Covid-19, hal ehwal ekonomi yang menjadi kebimbangan ketika ini adalah kita tidak lihat dalam sistem pemulihan ekonomi yang dirancang oleh Perdana Menteri bergerak dengan cepat termasuklah masalah ekonomi rakyat. Jika Ismail Sabri dapat mengubah dengan pendekatan yang lebih praktikal seperti menarik pelabur luar dan menyediakan peluang pekerjaan dalam masa enam ke tujuh bulan, kredibiliti beliau akan meningkat,” jelasnya.
Tawaran CSA kepada pembangkang
Mohamad Khir yang juga merupakan tokoh veteran UMNO itu berpandangan Perdana Menteri boleh menawarkan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) secepatnya kepada ahli pembangkang supaya tidak ada lagi krisis politik dan pergaduhan yang bersifat sempit (narrow) bagi membentuk kerajaan yang lebih kuat.
"Saya merasakan jika Perdana Menteri kelak dapat menawarkan CSA pada awal-awal pelantikannya, kita dapat mengurangkan politiking dalam parti. Ia juga bertujuan supaya tidak ada kelompok-kelompok yang bergaduh dalam parlimen akan datang.
"CSA patut ditawarkan pada kumpulan yang tidak ada dalam kerajaan sama ada hendak menubuhkan lebih banyak jawatankuasa peringkat parlimen atau komposisi semua parti yang akan menyebabkan keadaan politik lebih stabil. Semua bergantung sama ada beliau berani atau tidak dan paling penting tawaran ini harus dibuat sekarang dan bukan semasa kerajaan sudah tumbang,” katanya.
Selain itu, beliau juga berpandangan bahawa kerajaan yang mempunyai campur tangan dan pengalaman dari pelbagai golongan umur berbeza serta wujudnya kerajaan perpaduan kelak merupakan ideologi yang baik.
"Negara perlu gabungan pemimpin dari segi pengalaman mereka yang tua mahupun muda. Paling bagus bagi saya adalah kerajaan perpaduan di mana setiap parti ada wakil namun ia sukar untuk dicapai kerana negara ini lebih kepada perjuangan parti daripada rakyat. Perkara ini harus kita akui.
"Ketika ini, rakyat resah kerana Covid-19 dan mengharapkan ekonomi negara dapat dipulihkan di mana ramai penganggur kini adalah antara mereka yang berpendidikan. Semua ini akan menjadi masalah yang lebih berat jika tidak mempunyai solusi yang cepat,” katanya.
Jelas beliau, jika hendak menghentikan perbalahan dalam parlimen, maka mereka harus menumpukan permohonan daripada rakyat dan kerajaan mesti bekerjasama dengan semua parti.
Cabaran Ismail Sabri
Dalam pada itu, politik, Datuk Anbumani Balan berkata, 114 sokongan tidak menggambarkan keadaan yang aman dan tidak mustahil berlakunya kerajaan PN 2.0 malah 3.0 jika kepimpinan yang lemah masih berlaku.
"114 sokongan tidak menjamin apa-apa kestabilan kedudukan. Untuk mencapai keadaan yang stabil, semua pihak haruslah mengetepikan kepentingan politik dan mengadakan satu aku janji untuk negara dan rakyat. Jika kempimpinan lemah, kita nampak jawatan Perdana Menteri umpama jenaka politik.
"Walaupun dikatakan mendapat majoriti sokongan berdasarkan nombor tersebut, keadaan ugut-mengugut antara satu sama lain masih berlaku. Situasi yang dialami kini amat luar biasa di mana perdagangan politik berlaku apabila melihat segelintir ahli politik masih mengejar nombor sahaja,” katanya.
Selain itu, harus diingatkan bahawa nombor tersebut bukanlah sokongan semata-mata namun akan memberi ancaman kepada Ismail Sabri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 jika terdapat desakan daripada golongan tertentu.
"UMNO harus memberi lebih kebebasan kepada Ismail Sabri jika beliau menjadi Perdana Menteri untuk buat keputusan. Beliau juga harus menjadi lebih tegas untuk mengelak desakan serta tekanan daripada pimpinan tertinggi UMNO atau mana-mana parti untuk tidak menjadikan sokongan ini sebagai tiket hijau mereka mendapatkan jawatan tertentu.
"UMNO terdahulu diberikan kedudukan walaupun kalah teruk dalam PRU-14 dan dijenamakan semula di mana sepatutnya mereka menggunakan peluang itu membaiki kelemahan Barisan Nasional untuk mara ke hadapan. Rakyat memantau dan jika mereka hanya mahu menyelamatkan orang tertentu dalam politik, implikasi ini akan memberi kesan mendalam terhadap UMNO,” katanya.
Seterusnya, beliau berkata, negara kini berada dalam keadaan ‘political disaster’ dan tidak bagus untuk Malaysia apabila banyak situasi lobi-melobi dalam politik dan akhirnya rakyat menjadi mangsa.
"Kita tidak pasti bila Perdana Menteri akan dilantik dan keadaan sangat kritikal di mana situasi Covid negara sekarang seharusnya mempunyai seorang pemimpin yang memantau dan membuat keputusan. Kita berada di tahap pemulihan namun tiba-tiba kerajaan jatuh.
"Jadi apabila kerajaan PN runtuh namun mengembalikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, apakah perbezaannya? Kalau wujud kerajaan baharu 2.0, saya berpandangan akan berlaku lagi satu lagi kekacauan politik menjelang PRU-15. Tak mustahil kita kembali ke peringkat awal yang sama,” katanya.
Anbumani Balan berkata, cabaran dan tindakan terbaik bagi Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kelak adalah mencipta kerajaan stabil untuk masa depan rakyat serta negara dan tidak hanya memikirkan kepentingan politik kumpulan-kumpulan tertentu atau beliau juga akan jatuh dalam masa terdekat.
"Perdana Menteri seterusnya perlu segera kemuka usul undi percaya di Dewan Rakyat. Ini suatu cabaran menanti buat Ismail Sabri di mana beliau harus melaksanakan kerjasama pelan reformasi politik untuk negara secepatnya.
"Pastikan kabinet dan Menteri berfungsi dan sistem komunikasi terurus serta terancang. Selepas mentadbir lebih setahun dalam negara, saya yakin beliau lebih memahami intipati dan situasi negara untuk mengambil peluang ini dengan melakukan penambahbaikan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca