MINYAK menjadi sumber penting kepada kekayaan Venezuela selepas negara bekas negara jajahan Sepanyol itu menemui 'emas hitam' pada tahun 1914.
Negara tersebut yang merupakan pengasas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dikatakan mempunyai simpanan minyak yang terbesar di dunia dengan anggaran kira-kira 300 bilion tong.
Minyak juga pernah mewakili kira-kira satu per empat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.
Pengeluarannya pernah mencecah sehingga 3.8 juta tong sehari pada tahun 1970-an, tetapi kini melibatkan ratusan ribu tong sehari sahaja.
Pelik tetapi itulah hakikat yang terjadi kepada Venezuela yang kaya dengan minyak tetapi disebabkan oleh krisis politik dan sekatan ekonomi yang dilakukan Amerika Syarikat (AS) menyebabkan negara itu mengurangkan jumlah pengeluaran minyak.
Pengurangan itu adalah berpunca daripada sekatan ekonomi yang dikenakan oleh AS ke atas negara tersebut sejak beberapa tahun lalu berikutan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh kerajaan Venezuela.
AS menuduh Venezuela tidak mahu bekerjasama dalam isu-isu mengenai keganasan dan masalah dadah.
Pengiktirafan Washington ke atas pemimpin pembangkang, Juan Guaido sebagai Presiden sementara berbanding rejim Presiden Nicolas Maduro yang memerintah kini turut memburukkan lagi keadaan di negara tersebut.
Negara 'Uncle Sam' itu dilaporkan turut mengenakan sekatan ke atas syarikat minyak dan gas milik kerajaan, PDVSA yang menyebabkan sukar untuknya mengeksport minyak mentah selepas Maduro dipilih sekali lagi menjadi Presiden pada pilihan raya tahun 2018.
Pemilihan itu turut dibantah oleh parti-parti pembangkang yang menganggap pilihan raya tersebut dipenuhi dengan penipuan.
Eksport minyak Venezuela yang mempunyai populasi lebih 28 juta penduduk itu merosot pada bulan Februari selepas AS mengenakan sekatan terhadap individu-individu dan 'rumah dagangan' yang menyokong rejim Maduro.
Minyak yang dahulunya menjadi sebahagian kekayaan negara itu kini telah bertukar menjadi 'mimpi ngeri' apabila penduduk Venezuela menerima kesan akibat pengurangan pengeluaran minyak secara mendadak itu.
Malah, 'emas hitam' itu pernah dijual dengan harga yang cukup murah dan hampir percuma kepada penduduk negara itu suatu ketika dahulu tetapi kini mereka mengalami kesukaran untuk memperolehinya.
Seorang petani, Alfonso Morales, 28, merungut dengan menyatakan dia terpaksa bergantung kepada lembu jantan untuk membajak tanahnya berbanding traktor sebelum ini selepas sukar mendapatkan bekalan diesel.
Dia memberitahu AFP bahawa membajak dengan menggunakan haiwan tersebut memerlukan masa sehingga empat hari berbanding penggunaan traktor selama lima jam sahaja.
Morales masih ingat ketika minyak di negara itu dijual terlalu murah dan hampir percuma.
Namun, kini kos minyak di pasaran gelap bagi membawa sayur-sayuran dari Merida ke Caracas yang sejauh kira-kira 700 kilometer ialah kira-kira AS$300 (RM1,271) baru-baru ini.
Menggunakan traktor untuk membajak tanah pertanian kini menjadi mahal disebabkan harga bahan bakar itu yang tinggi dan penggunaan lembu jantan dilihat semakin banyak digunakan di kawasan pertanian di pergunungan Andes.
Kesatuan pertanian Venezuela, Fedeagro menyatakan kacang-kacang tidak dapat dituai ekoran jentera-jentera pertanian mengalami masalah untuk mendapatkan bekalan minyak.
Masalah pandemik Covid-19 turut memburukkan lagi keadaan ditambah dengan sekatan AS telah mewujudkan krisis kemanusiaan, kekurangan barang-barang asas keperluan seperti makanan, air minuman dan bekalan perubatan.
Masalah kekurangan minyak itu menyebabkan sebahagian penduduk terpaksa memasak dengan menggunakan dapur kayu api dan bukan dapur gas.
Bagaimanapun, kerajaan AS baru-baru ini melonggarkan sekatan yang sebelum ini dilaksanakan di bawah pemerintahan bekas Presiden Donald Trump dengan membenarkan syarikat-syarikat Venezuela untuk mengeksport propana ke negara-negara Amerika Selatan.
Sekatan itu dilonggarkan di bawah pentadbiran AS, Presiden Joe Biden selepas kerajaan Maduro membenarkan bantuan asing memasuki negaranya dan memberi petunjuk untuk bekerjasama dengan Washington. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca