KUMPULAN WhatsApp yang dahulunya aktif membincangkan mengenai keadaan Covid-19 dalam negara makin bertambah rancak dengan isu-isu politik apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Ada yang bersetuju kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijatuhkan dan ada juga bermatian-matian mahu kerajaan PN terus kekal memerintah.
Semuanya tidak berganjak dengan hujah masing-masing dan tidak mahu kalah setiap kali berdebat.
Pelbagai bukti, fakta dan video ditonjolkan untuk menguatkan pandangan bahawa apa yang disuarakan mereka adalah benar belaka.
Bagi sesetengah ahli kumpulan WhatsApp, tidak perlu mengambil serius dengan setiap perdebatan berkenaan kerana ia tidak akan mampu mengubah senario politik semasa.
Tetapi bagi mereka yang mudah terkesan, ia menimbulkan satu tekanan kerana medium komunikasi yang pada asalnya ditubuhkan atas sebab lain menjadi medium untuk bercakap politik.
Dalam sibuk berhujah, sebenarnya sama ada suka atau tidak, rakyat sebenarnya terpaksa akur kerana seramai 220 ahli Parlimen sudah membuat keputusan untuk memilih teraju baharu negara.
Seperti yang dilaporkan media, ahli Parlimen daripada GPS, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ke Istana Negara bermula jam 10 pagi pada Khamis untuk mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Oleh kerana hanya kumpulan calon PM yang menang sahaja dipanggil ke Istana Negara, maka rakyat sudah dapat mengagak perikatan mana yang akan mengemudi negara selepas ini.
Daripada luahan hati rakyat, rata-ratanya berharap akan terbentuk kerajaan yang stabil sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 supaya negara dapat bergerak ke hadapan untuk menyelesaikan banyak isu rakyat.
Tidak perlu lagi ada usaha untuk saling menjatuhkan kerana gerakan seumpama itu akan membantutkan usaha memulihkan Malaysia daripada pandemik terburuk yang tidak pernah dilalui sebelum ini.
Perdana Menteri baharu dan barisan kabinet yang dilantik pula hendaklah melihat banyak cabaran di hadapan yang perlu diselesaikan dan bukannya dibuai perasaan gembira dan menganggap masa untuk berbulan madu kerana dapat memerintah negara.
Banyak isu yang memerlukan penyelesaian segera misalnya pendidikan murid-murid semenjak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Apa pendekatan yang akan diambil oleh pimpinan baharu untuk memastikan tiada keciciran dalam pendidikan serta kualiti murid-murid kita tidak merudum.
Bagaimana hendak mengembalikan minat murid-murid terhadap pembelajaran setelah lama terkurung di rumah.
Dari sudut ekonomi pula, apa perancangan kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur dan tidak berterusan menarik keluar wang masing-masing.
Bagaimana inisiatif untuk membawa Malaysia keluar daripada keadaan pasaran yang tidak menentu.
Banyak lagi yang perlu diberi perhatian antaranya isu pengangguran, harga barang, keselamatan dan macam-macam lagi masalah rakyat. Semuanya perlu kepada penyelesaian segera dan tidak wajar ditangguhkan lagi.
Kerajaan pimpinan baharu ini perlu mengambil peluang untuk bekerja bersungguh-sungguh kerana mereka mempunyai kelebihan dari aspek pemulihan kes Covid-19.
Seperti yang semua sedia maklum, kadar vaksinasi rakyat Malaysia adalah antara tertinggi di dunia dan mengatasi Jepun, Korea Selatan dan Australia.
Hasil usaha keras dan bersungguh-sungguh kerajaan PN sebelum ini, Program Imunisasi Covid-19 (PICK) berada di landasan tepat dalam usaha negara untuk mencapai mencapai herd immunity menjelang Oktober ini.
Sehingga 16 Ogos 2021, sejumlah 33.9 juta dos dibekalkan untuk tujuan pemvaksinan dan daripada 19,740 kes baharu yang dilaporkan pada 16 Ogos lalu, hanya 1.5 peratus kes berada pada kategori tiga hingga lima iaitu mereka yang memerlukan rawatan rapi kerana jangkitan paru-paru, memerlukan oksigen dan ventilator.
Sama-sama kita berdoa Malaysia bertambah baik selepas ini. Ameen.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian