TEKA-TEKI siapakah bakal Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya pada empat hari lalu sudah terjawab apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah... Klik di sini untuk terus membaca

TEKA-TEKI siapakah bakal Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya pada empat hari lalu sudah terjawab apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan hari ini.

Dengan UMNO berjaya kembali memerintah dan menuju ke puncak kuasa di Putrajaya selepas tumbang pada Mei 2018, ramai melihat drama politik di peringkat Pusat ini menyamai skrip dalam Langkah Perak pada Januari lalu.

Skrip hampir sama kerana semua ahli parlimen UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti mana ADUN Perak menarik sokongan kepada Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sama ia semua ini adalah kebetulan atau sudah adalah satu percaturan politik, yang pasti keputusan akhirnya, UMNO kembali ke puncak kuasa dan apa yang tragis ia hasil sokongan Bersatu yang telah 'dikhianati' sebelum itu.

Maka tidak hairanlah, desas-desus kemungkinan Ismail Sabri bukan sahaja akan melantik semula Menteri daripada Bersatu bahkan mungkin memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada parti itu untuk memenangi hati parti dengan logo 'bunga raya' itu.

Bagi parti teras Melayu-Islam iaitu Pas, banyak dakwaan mengatakan parti itu sebolehnya tidak akan membiarkan Pakatan Harapan (PH) untuk naik dan rela menerima Perdana Menteri baharu daripada UMNO.

Adakah niat murni itu terhasil daripada kukuhnya pendirian mereka terhadap gagasan Muafakat Nasional UMNO-Pas yang telah dimeterai pada tahun 2019 atau akan ada jawatan yang menanti pemimpin-pemimpin Pas di dalam kabinet seperti kerajaan terdahulu?

Kita juga melihat sejarah berulang kembali di mana Langkah Perak dan Langkah Sheraton yang membawa kemelut politik Malaysia terjadi apabila beberapa parti politik bergabung dan cuba membentuk kerajaan baharu dengan mendakwa memiliki majoriti kerusi di Dewan Rakyat tanpa melalui pilihan raya.

Susulan itu, banyak negeri seperti Kedah, Perak, Johor dan Melaka mengalami perubahan dalam kerajaan negeri kerana Perikatan Nasional memperoleh majoriti dalam dewan-dewan undangan negeri. Sabah bagaimanapun bertukar kerajaan negeri melalui Pilihan Raya Negeri September lalu.

Anbumani Balan

Kebetulan atau percaturan

Pakatan Harapan pula sekali lagi tidak bernasib baik apabila mereka disingkirkan akibat tidak cukup majoriti walaupun memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum 2018 dan berkuasa selama 22 bulan. Impian Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan penantian selama 20 tahun itu juga terpaksa dikuburkan.

Penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan turut berpandangan bahawa ‘keghairahan’ di peringkat pusat menyingkirkan Muhyiddin amat kuat dari aspek 'tekanan politik' yang diberikan oleh sekumpulan pemimpin UMNO.

Tambahnya, perbezaan tindakan yang dilakukan di Perak itu dilihat seperti secara tiba-tiba manakala di peringkat Pusat dibuat secara terancang. Mungkin pemimpin politik yang menang dalam perebutan itu nampak yakin dengan kekuatan masing-masing.

"Mungkin ada yang bersorak dengan kemenangan 'percaturan' kali ini, namun realiti sebenar akan terbukti di PRU-15 nanti di mana baik Langkah Sheraton, Langkah Perak atau Langkah Royale Chulan tidak menjanjikan suara rakyat dan sekadar ‘syok politik’ semata-mata," katanya.

Persoalannya kini adalah adakah kerajaan gabungan ini akan berjaya atau sekali lagi tumbang seperti kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan itu kerana hanya pemimpin yang bertukar, namun kompisisi serta pentadbiran masih sama.

Apa yang menjadi kegusaran rakyat ketika ini adalah adakah gabungan parti-parti kali ini akan berjaya dalam bekerjasama untuk mentadbir Malaysia tanpa sebarang pengkhianatan, lompat parti atau perebutan jawatan dan kuasa.

Ramai turut mendakwa kerajaan yang akan dihasilkan ini seolah-olah bayangan kerajaan Perikatan Nasional 2.0 yang rapuh walaupun Ismail Sabri mempunyai pengalaman mentadbir negara dalam krisis Covid-19 dan tahu selok-belok krisis negara.

Kata orang tua, 'nasi sudah menjadi bubur' dan percaturan UMNO sudah menjadi realiti apabila Ismail Sabri sah menjadi Perdana Menteri pada hari ini. Rakyat dikehendaki untuk bersifat terbuka dan memberi peluang kepada Perdana Menteri baharu untuk memulihkan ekonomi dan pelbagai masalah negara.

Ini juga merupakan cabaran terbesar Ismail Sabri untuk menawan kembali kepercayaan rakyat di samping mengekalkan persahabatan yang baik antara gabungan parti yang telah menyokongnya agar mimpi ngeri Muhyiddin tidak berulang buat Ismail Sabri.

Klik di sini untuk terus membaca