SAYA percaya ramai yang pernah dengar dan boleh nyanyikan lagu Enjit-Enjit Semut semasa kita kanak-kanak dahulu.
Malah, hingga sekarang kita masih mengingati lagu berkenaan walaupun tidak sepenuhnya.
Namun, semasa kita kecil amat jarang kita mendengar kupasan moral daripada lagu berkenaan baik secara formal atau tidak formal.
Apa yang nyata, lebih ramai yang beranggapan lagu tersebut sebagai hiburan semata-mata.
Walhal, intipati dan maksud sebenar yang ingin disampaikan adalah melebihi daripada maksud hiburan.
Sebetulnya, lagu Enjit-Enjit Semut adalah berasal dari wilayah Jambi Indonesia.
Lagu ini dinyanyikan secara bersama-sama oleh kanak-kanak sambil cubit-mencubit belakang lengan kawan mereka mengikut susunan dari atas hingga ke bawah.
Lagi ramai yang bermain, maka lagi tinggi susunan tangan yang mencubit.
Bagi mereka yang sakit dicubit, biasanya akan naik ke atas untuk mencubit orang lain yang berada di bawah dan begitulah seterusnya.
Pun begitu, bagi masyarakat Jambi pada ketika itu telah dididik supaya tidak membalas sesuatu kejahatan dengan kejahatan berdasarkan lirik lagu berkenaan iaitu, "Injit-injit semut siapa sakit naik atas, Injit-injit semut walau sakit jangan dilepas”.
Sebaliknya di negara kita Malaysia, falsafahnya berbeza sedikit selaras dengan lirik lagu tersebut iaitu, "Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas, Enjit-enjit semut siapa sakit naik atas”.
Ini bermakna, jika kita rasa sakit, kita diseru agar mengelak daripada terus disakiti dengan naik ke atas dan mencubit orang lain pula.
Secara positifnya, perbuatan tersebut ada benarnya bagi tujuan mengelak diri kita daripada terus menjadi mangsa buli.
Namun, dengan membalas balik secara mencubit orang lain pula, adakah ia sesuatu amalan yang boleh dijadikan kelaziman?
Selain itu, kenapa dua negara yang hampir sama budayanya mempunyai perspektif berbeza terhadap membalas balik kesakitan?
Saya percaya, amat sukar kita hendak menjawab persoalan tersebut secara adil kerana budaya dan sensitiviti masyarakat adalah jauh berbeza.
Namun persoalan asas tetap sama iaitu; jika kita menyakiti orang lain, maka kita juga akan disakiti.
Selain itu, janganlah kita menyakiti orang lain melebihi daripada apa yang mereka sakiti dan tindakan yang paling baik adalah bertahan apabila kita disakiti dan tidak membalas balik mereka yang menyakiti.
Berkaitan hal itu, teringat saya kepada kisah Habil yang tetap tidak mahu membalas perbuatan saudaranya Qabil untuk membunuhnya selaras dengan firman ALLAH SWT:
"Demi sesungguhnya, jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada ALLAH, Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam. (Surah Al-Maidah, 5:28).
Sesungguhnya, bukan mudah untuk menelan kepahitan mereka yang menyakiti tanpa membalas balik.
Fenomena ini, boleh berlaku kepada sesiapa sahaja selagi kita masih memandang sempit nilai dan hakikat kehidupan di dunia ini.
Pada hemat saya, berusaha menjadikan diri kita dicintai oleh ALLAH SWT adalah penyelesaian hakiki bagi menangani nafsu amarah yang tidak terbatas.
Semoga kita terlindung daripada disakiti dan menyakiti setelah kita dicintai-Nya.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca