SELEPAS 17 bulan menjadi Perdana Menteri, akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.
Sejak Januari lalu, beliau sentiasa diasak dan berterusan ditekan untuk membuktikan keabsahan majoritinya di Parlimen.
Namun, kali ini beliau terpaksa berundur dan akur tidak lagi mempunyai majoriti setelah kem Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi (UMNO 15) menarik sokongan mereka terhadapnya.
Persoalan seterusnya sudah tentulah, siapa bakal mengganti? Mengikut Perkara 43(2) perlembagaan, melantik Perdana Menteri adalah berdasarkan siapa yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti di Parlimen.
Maknanya ia adalah hak mutlak Baginda dan bukannya keputusan mana-mana parti.
Semalam, Seri Paduka Baginda memperkenan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu selepas selesai Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara selepas hampir dua jam bersidang.
Dengan Covid-19 yang masih mengancam nyawa serta dampak buruknya kepada ekonomi, politik dan kesejahteraan negara, Malaysia jelas memerlukan seseorang yang cekap dan tangkas untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Maka siapapun orangnya, itulah permasalahan pertama yang perlu dibereskan seusai mengangkat sumpah jawatan.
Dengan keputusan Seri Paduka Baginda melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, maka status quo akan kekal. Yang berganti hanyalah Perdana Menteri sahaja.
Tetapi yang menguasai pentadbiran masih kelompok sama.
Jadi kalau status quo kekal, apakah kita akan mengalami sebarang pembaharuan? Barangkali tidak banyak.
Mungkin tidak ada yang signifikan akan berlaku. Pembentukan kabinet yang besar, pengagihan jawatan GLC dan ‘penawaran’ lain dijangka akan terus berlaku.
Paling menakutkan, pemimpin yang cekap dan tangkas sepertimana yang didambakan mungkin masih terus sendu.
Bukankah mereka yang sama juga memerintah kita 17 bulan? Cukuplah hashtag tular #KerajaanGagal dan #DuaDarjat menjadi sebuah memento.
Janganlah pula diwarisi oleh kerajaan seterusnya. Sebab itu penggantian Perdana Menteri sahaja memang tidak cukup.
Pentadbiran yang bagus bukan sahaja memerlukan pemimpin yang cekap dan tangkas tetapi juga sebuah pasukan yang mantapPersoalan
Kini tiga persoalan berikut begitu menarik untuk diperhatikan selepas pelantikan Ismail Sabri.
Pertama, bagaimana dengan kes-kes mahkamah pemimpin UMNO? Itu antara pemali Bersatu selepas dijatuhkan kem UMNO 15, katakan tidak kepada kleptokrat.
Justeru, ia perlu diurus dengan teliti. Umpama menarik rambut dalam tepung, salah tarik hilang kerusi.
Bukan senang nak jaga hati, maklumlah berkaitan majoriti. Sebab dalam politik tiada istilah seri.
Kedua, politik dalaman UMNO. Dengan pemilihan parti yang bakal menjelma, apakah Ismail Sabri akan ‘langgar’ Presiden?
Sebagai Perdana Menteri, beliau ada ‘kelebihan’ kalau mahu bertanding jawatan Presiden.
Dalam sejarah UMNO, sukar untuk mengalahkan Perdana Menteri.
Tanyalah Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tengku Razaleigh Hamzah.
Kelebihan Perdana Menteri sebagai ‘pusat kuasa’ dan punca penaungan dilihat terlalu ampuh untuk ditewaskan.
Jadi Presiden parti tanpa jawatan Perdana Menteri ibarat Hang Tuah tanpa Taming Sari.
Dan ketiga, masa depan Perikatan Nasional (PN).
Dengan UMNO mengepalai kerajaan, apakah PN akan kekal atau wujud BN 2.0 yang disegarkan semula sebagai satu grand coalition sepertimana sebelumnya?
Apakah politik konsosiasional ‘abang besar’ juga turut kembali?
Kalau itu berlaku, adakah Bersatu akan ditelan oleh UMNO sepertimana Semangat 46 dahulu?
Status quo atau BN 2.0 bukanlah permasalahannya.
Yang penting sekarang ini orang politik sepatutnya bergabung bersama memikirkan rancangan melawan Covid-19 yang berkesan.
Duduk semeja mencari langkah-langkah untuk memulihkan ekonomi negara dan bertekad untuk komited melakukan reformasi institusi.
Cukup-cukuplah. Lagipun tinggal kurang dua tahun sahaja sebelum mandat berakhir.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca