SHAH ALAM - Upah lumayan dipercayai antara penyebab utama aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini sukar dibanteras kerana sindiket menawarkan antara RM200 hingga RM400 bagi seorang PATI yang berjaya diseludup.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Upah lumayan dipercayai antara penyebab utama aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini sukar dibanteras kerana sindiket menawarkan antara RM200 hingga RM400 bagi seorang PATI yang berjaya diseludup.

Difahamkan bayaran yang diterima itu mengikut peranan dan perkhidmatan disediakan bermula sebagai mata-mata atau sapu air, ejen mencari orang, transporter hinggalah ke tekong darat.Tawaran upah lumayan mencecah ratusan ribu ringgit ini menyebabkan ada rakyat tempatan yang gelap mata sehingga sanggup bersekongkol dengan ketua sindiket daripada negara jiran.

Mendedahkan modus operandi penyeludupan PATI ke negara ini, Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, sindiket terbabit biasanya akan mengaut keuntungan semaksimum yang boleh daripada kegiatan tersebut.

DIMIN

"Sindiket dari negara seberang ini menyediakan kumpulan PATI yang ingin masuk ke Malaysia manakala sindiket di sini (Malaysia) akan menyediakan PATI yang hendak balik ke negara asal.

"Dengan cara ini sindiket boleh memaksimumkan perjalanan pergi dan balik bot yang akan sentiasa dipenuhi PATI,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, sindiket ini kebiasaannya beroperasi dengan merekrut ahli dalam kalangan kenalan mereka yang mempunyai akses terhadap sesuatu pekerjaan dan perkhidmatan.

"Tidak dinafikan terdapat orang tengah yang menjadi penghubung dalam aktiviti haram ini.

"Sememangnya pendapatan yang lumayan menjadi punca warga tempatan terlibat dengan aktiviti penyeludupan PATI ini,” jelasnya.

Orang suruhan

Mengulas lanjut, Dimin berkata, penyeludupan migran adalah jenayah rentas sempadan dan merupakan isu global.

"Pelbagai taktik licik digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan ini. Bagaimanapun dalam tempoh pandemik ini, modus operandi mereka sedikit berubah di mana sindiket ini akan lebih berhati-hati kerana ketua sindiket tidak terlibat secara terus dalam kegiatan yang dijalankan.

"Sindiket biasanya akan menggunakan orang tengah dalam setiap urusan. Penduduk tempatan dibayar sebagai orang suruhan bagi merekrut, mengangkut, memindah, melindungi, menyembunyikan atau menyediakan perkhidmatan untuk aktiviti penyeludupan ini.

"Sindiket berkenaan juga turut memberi upah kepada orang tengah tersebut bagi untuk melancarkan kegiatan mereka daripada dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, PATI akan menghubungi ejen ataupun ejen akan mencari orang yang ingin masuk dan keluar, seterusnya tugas akan beri kepada transporter untuk pergerakan ke rumah penampungan. Di rumah penampungan ini, PATI akan dijaga olah penjaga rumah di bawah penyeliaan tekong darat.

"Peranan tekong darat adalah mengkoordinasi dengan tekong laut untuk pergerakan boatman dalam pemilihan tempat pendaratan serta masa yang sesuai.

"Tekong darat juga bertanggungjawab dalam memastikan perjalanan keluar dan masuk PATI di sesuatu kawasan berjalan lancar dengan mengupah mata-mata atau sapu air untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat pihak penguat kuasa di sekitar,” katanya.

Antara PATI yang berjaya ditahan oleh anggota PGA.

Beliau berkata, selain menyogok warga tempatan dan asing atau pihak berkuasa untuk bersekongkol, sindiket ini juga akan menjadikan individu yang berpengaruh sebagai pengantara.

"Bukan semua boleh didampingi sindiket biar pun ada yang termakan dengan tawaran kumpulan haram terbabit,” ujarnya.Dalang

Dalam pada itu, Dimin berkata, sindiket-sindiket ini telah dikenal pasti dan kini dalam pemerhatian pihaknya.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kebanyakan ketua sindiket merupakan warga asing dan berstatus pemastautin tetap,” katanya.

Beliau percaya, selain faktor kedudukan geografi negara yang strategik bagi penyeludupan migran, permintaan yang tinggi turut memberi kesempatan kepada sindiket ini mencari pendapatan lumayan.

Ujarnya, biar pun banyak kejayaan kegiatan PATI berjaya ditumpaskan pihak berkuasa, namun sindiket PATI ini masih wujud disebabkan permintaan serta keuntungan yang diperoleh.

"Selain itu kesempitan hidup, faktor ekonomi dan tiada peluang pekerjaan di negara asal mendorong migran asing ini untuk masuk ke Malaysia.

"Ini memberi kesempatan kepada sindiket untuk memperoleh keuntungan."PATI sanggup membayar dengan harga tinggi untuk masuk atau keluar dari Malaysia tanpa menggunakan sebarang dokumen, pemeriksaan atau kawalan keselamatan,” jelas beliau.

Tambahnya, dengan penahanan beberapa ahli sindiket, dalang utama akan sentiasa merekrut ahli baharu untuk menggantikan ahli sindiket yang tertangkap.

Kenderaan milik sindiket disita.

Taktik sentiasa berubah

Dalam pada itu, Dimin turut mendedahkan, modus operandi sindiket PATI ini juga sentiasa berubah mengikut keadaan semasa bagi mengelakkan daripada ditahan pihak berkuasa.

Katanya, sindiket yang melibatkan hubungan dua hala membabitkan kumpulan yang berada di negara jiran dan tempatan ini juga menekankan aspek kepercayaan yang tinggi dalam kalangan mereka kerana ia melibatkan habuan yang lumayan dan disebabkan itu sindiket kebiasaannya merekrut ahli daripada saudara-mara atau pun kenalan rapat.

"Hal ini penting bagi mengelakkan penyelewengan wang serta kerahsiaan. Sindiket PATI ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan besar iaitu tekong laut dan tekong darat, di mana tekong laut dan tekong darat akan memainkan peranan seperti pemandu bot, awak-awak, transporter, ejen, jaga air, penjaga rumah transit serta penarik pantai.

"Setiap pergerakan akan diatur dengan teliti. Biasanya sindiket akan mengkaji jadual air pasang surut di kedua-dua tempat pendaratan selain pergerakan rondaan pasukan keselamatan,” katanya.

Dimin berkata, modus operandi mereka adalah dengan menggunakan bot nelayan atau bot tongkang untuk membawa sekitar 30 hingga 100 PATI, bergantung kepada saiz bot.

"Bot ini kemudiannya akan bergerak keluar hanya ketika air pasang dan akan tiba di lokasi mendarat juga ketika air pasang bagi memudahkan bot untuk berlabuh.

"Kawasan mendarat juga akan dipilih mengikut keadaan muka bumi iaitu dasar yang dalam serta tebing tinggi. Ini bagi mengelakkan penggunaan titi atau PATI berjalan di atas pantai yang akan mengambil masa lama sehingga akhirnya dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.

PATI ditangkap ketika cuba menyusup masuk Malaysia melalui persisiran pantai.

Selain itu, beliau berkata, sindiket juga akan mencari kawasan mendarat yang banyak kawasan bakau atau teluk agar bot mudah untuk bersembunyi.

Mengulas berkenaan banyak kegiatan penyeludupan PATI yang kerap ditumpaskan, Dimin berkata, risikan pihaknya mengesan ada sindiket yang menggunakan bot besar dan berlabuh di tengah perairan antarabangsa sebelum mereka menggunakan bot kecil atau bot laju untuk memindahkan PATI ke darat.

"Ada juga sindiket yang menggunakan bot kecil untuk terus bergerak dari negara jiran ke Malaysia. Taktik ini hanya mampu memuatkan jumlah PATI yang sedikit iaitu antara tujuh hingga 10 orang termasuk tekong.

"Bot kecil ini akan berhenti di kawasan pantai dan PATI akan dipaksa untuk turun dari bot dan berjalan di kawasan lumpur yang mencecah paras lutut dengan membawa beg pakaian masing-masing. PATI ini akan berjalan kira-kira 15 minit sebelum sampai ke pesisiran,” katanya.

Ujarnya, penarik pantai akan memberi isyarat dengan menggunakan lampu sebagai panduan kepada PATI untuk menghampiri kawasan mendarat.

"PATI yang tiba di pantai akan dikumpulkan sementara menunggu transporter yang berperanan menghantar PATI ini ke lokasi yang ditetapkan sindiket,” katanya.

Sementara itu, Dimin berkata, aktiviti penyeludupan migran adalah kesalahan yang mampu menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dan berkomplot dengan sindiket menyeludup migran demi mendapatkan habuan.

"Saya ingin menegaskan bahawa penglibatan penduduk tempatan yang membantu kemasukan PATI sama ada melalui laut atau darat merupakan satu perbuatan khianat dan jenayah. Penglibatan warga tempatan menyebabkan penyeludupan PATI sukar dibanteras.

"PDRM tidak akan bertolak ansur dalam kuat kuasakan tindakan undang-undang,” tegasnya.

Anggota PGA berjaya menahan PATI yang baru mendarat ke negara ini.

Tangkapan

Menurut beliau, PGA Batalion 5 tidak akan pernah jemu untuk melaksanakan tugas dalam memartabatkan kedaulatan undang-undang.

Dimin berkata, tidak dinafikan kegiatan jenayah rentas sempadan terutama aktiviti penyeludupan PATI mendatangkan impak buruk kepada negara.

"Sejak tahun 2019 hingga awal Ogos tahun ini, pihak berkuasa berjaya memberkas 100 orang PATI termasuk 28 wanita.

Katanya, untuk rekod, pada tahun 2019, seramai 12 PATI ditahan, disusuli 20 PATI pada tahun berikutnya dan pada tahun ini, setakat 7 Ogos, ada 68 PATI diberkas,” katanya.

Sepanjang tempoh terbabit juga, pihaknya berjaya menahan 13 warga tempatan termasuk seorang wanita terlibat bersekongkol dengan sindiket PATI.

"Mengikut pecahan yang direkodkan, pada tahun 2019, ada seorang lelaki ditahan disusuli tahun berikutnya membabitkan seorang wanita.

"Tahun ini setakat 7 Ogos, seramai 11 lelaki telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya

Beliau berkata, penglibatan warga tempatan dalam kegiatan terbabit sememangnya wujud susulan tangkapan, bukti-bukti serta maklumat risikan yang dijalankan.

Katanya, sindiket akan menawarkan wang sebagai upah dan warga tempatan juga sering dimanipulasi dengan janji dan kata-kata manis oleh pihak sindiket seolah-olah kegiatan yang mereka jalankan adalah tidak salah dan tidak berbahaya.

"Pemantauan berterusan serta tindakan tegas akan diambil bagi memastikan sempadan negara terus terpelihara dan berharap kerjasama orang awam melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.

"Orang ramai haruslah bekerjasama dengan penguat kuasa dalam memerangi kegiatan jenayah seterusnya memelihara kesejahteraan dan keselamatan negara. Polis dan masyarakat berpisah tiada. Kesedaran akan bahayanya jenayah rentas sempadan kepada negara amatlah perlu dititikberatkan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa orang awam menyalurkan maklumat berkenaan kegiatan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline 07-7225280 Pejabat Risik/gerakan PGA.

Klik di sini untuk terus membaca