PADA satu hari, 20 tahun lalu tepatnya pada 2001, kalimah Allahuakbar, Allahuakbar dilaungkan berulang kali dalam suasana riuh rendah dengan bunyi hon kenderaan bersahut-sahutan dan sorakan kegembiraan para penduduk di kota Peshawar pada hari kelima saya dan juru foto Utusan Malaysia, Azalezah menjejakkan kaki di kota itu pada awal Oktober 2001.
"Kedatangan anda membawa rahmat, sudah lima tahun hujan tidak turun di sini,’’ kata seorang pemuda Pashtun bernama Sayyed ketika saya bertanyakan kenapa penduduk terlalu gembira sangat.
Walaupun hujan hanya turun tidak sampai 10 minit, tapi kesan yang ditinggalkan menyebabkan jalan-jalan sekitarnya penuh berlumpur.
Di Peshawar, saya dan kira-kira 100 wartawan luar negara yang lain menginap di sebuah hotel bertaraf tiga bintang.
Tentunya misi utama mereka seperti mana tekad saya adalah untuk mendapatkan seberapa banyak berita menarik dan lebih mencabar dan Peshawar menjadi lokasi transit sebelum para wartawan asing menunggu peluang untuk memasuki Afghanistan yang ketika itu masih dilanda peperangan. (Difahamkan lima wartawan asing itu terbunuh selepas berjaya memasuki Afghanistan)
Hari-hari yang dilalui di kota tersebut seperti mana diarahkan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd, adalah menghidu, mencari dan memburu seberapa banyak berita menarik kemanusiaan untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia.
Pesan bos besar, "Marzuki, you jangan pula membahayakan diri ketika berada di sana.’’
Kota duka
Sebagai kota yang menempatkan jutaan pelarian perang Afghanistan, Peshawar boleh diibaratkan sebuah kota duka.
Sebahagian besar daripada mereka tinggal di penempatan yang dikenal sebagai Kachagari, Nasir Bagh, Munda, Badaber dan Munchi.
Tidak menghairankan jika terdapat terlalu ramai penduduk miskin, pengemis dan anak-anak gelandangan berkeliaran di kota menunggu simpati daripada orang ramai untuk menyedekahkan makanan.
Di tepi-tepi jalan, candu yang dibungkus dengan daun sireh dijual pada harga RM1 begitu mudah diperoleh.
Bagi mengisi hari-hari di kota itu, banyak pihak telah saya temui termasuk menemubual beberapa pemimpin masyarakat dan warlord-warlord Pashtun yang mencari perlindungan di Peshawar.
Semua mereka amat menghormati Malaysia dan hal ini memudahkan tugas saya untuk berjumpa dan mewancarai mereka.
Penulis difahamkan daripada maklumat daripada pemimpin-pemimpin berkenaan, terdapat lebih 2,000 sekolah pondok di Peshawar dan kebanyakan maulana yang memimpin sekolah pondok ada yang memiliki pasukan bersenjata sendiri, masya-ALLAH.
Setelah agak lama berada di Peshawar, tiba-tiba timbul rasa mahu mencari berita lebih mencabar iaitu dengan memasuki Afghanistan.
Setelah membulatkan tekad, saya bersama jurugambar Utusan menaiki bas dari Peshawar ke Islamabad untuk mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri Pakistan.
Menyedihkan sekali setelah berjam-jam menaiki bas henti-henti yang sesak dengan penumpang, nyawa macam di hujung tanduk kerana bas dipandu terlalu laju dan pertama kali saya terpaksa melepas hajat kecil di tepi lebuh raya, permohonan memasuki Afghanistan ditolak atas faktor keselamatan.
No Man's Land
Saya belum berputus asa dan sekembalinya ke Peshawar, saya mengemukakan permohonan untuk memasuki Afghanistan kepada Duta Taliban, malangnya turut ditolak atas alasan yang sama iaitu keselamatan.
Pada masa yang sama, wartawan-wartawan asing turut mempelawa saya menyertai mesyuarat bagi membincangkan cara menceroboh sempadan Pakistan untuk memasuki Afghanistan.
Saya tidak hadir mesyuarat kerana kebetulan pada hari berkenaan bertemu dengan seorang pemandu kereta sewa berbangsa Pashtun, Meraj Gul Khan, 43, menawarkan diri untuk membawa saya ke kawasan autonomi dikenali sebagai No Man’s Land atau Tribal Areas kerana abang iparnya, Abdul Salam adalah warlord yang berpengaruh.
Keesokkan harinya, dari Markas Misi Kemanusiaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), kami berangkat ke arah sempadan.
Jurufoto Utusan ketika itu tidak ikut kerana telah berada di Quetta, sebuah lagi kota yang menempatkan ratusan ribu pelarian.
Misi saya kali ini disertai oleh seorang jurufoto bebas, Hambali Yaakob yang memujuk rayu untuk ikut serta walaupun tidak sampai sejam beliau menjejakkan kaki ke Peshawar kerana menyertai misi bantuan kemanusiaan bersama syarikat CNI.
Sebelum perjalanan untuk melepasi sempadan Pakistan, Meraj telah meminta saya dan Hambali untuk memakai topi bentuk roti nan orang Pushtun, duduk diam-diam, jangan berkata apa-apa ketika melalui sekatan tentera. Memang hebat, dengan mulut kumat-kumit membaca sesuatu, kereta dipandu oleh...tidak ditahan oleh pihak tentera.
Selepas melepasi sempadan Pakistan, kereta yang dinaiki melalui jalan tanpa turapan tar dengan rumah-rumah penduduk terletak berjauhan antara satu sama lain, semuanya bertembok tinggi dan sesetengahnya ada kesan tembakan di dinding tembok.
Sebelum singgah untuk bertemu abang iparnya itu, Meraj membawa saya dan Hambali ke rumahnya dan dijamu dengan roti nan dan kuah dhal bukannya di dalam rumah tetapi di bawah pokok di luar rumah yang bertembok tinggi.
Hanya lubang kecil kelihatan di pintu pagar tembok. Dalam hati saya membuat kesimpulan nakal, kaum lelaki Pashtun memang kuat cemburu, tak bagi peluang tetamu mengintai apa yang ada di dalam rumah termasuk penghuni wanita di dalamnya.
Selesai berjamu selera, kami dibawa ke rumah Abdul Salam dan setiba ke rumahnya memang persekitarannya macam markas tentera.
Ada ramai pengikut berkumpul di rumahnya dan ada antara mereka lengkap bersenjata.
Abdul Salam kemudian mengarahkan orangnya mengajar saya menembak menggunakan AK47 iaitu senjata buatan Rusia di atas bukit.
Jauh di seberang sana ketika peluru dari AK47 dilepaskan, saya perhatikan ramai tentera Pakistan berkawal di atas bukit seberang.
Setelah selesai menemu bual Abdul Salam, kami mohon diri untuk meninjau kawasan sambil merakam apa-apa yang menarik sepanjang perjalanan termasuk kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis senjata api dan candu.
AK47 di kepala
Ketika melalui satu kawasan padang berpasir kira-kira 10 kilometer dari kediaman Abdul Salam, detik-detik cemas bermula.
Sebelum itu, Hambali bertanyakan kepada Meraj, "Can I take photo..’’ dan dibalas olehnya, "No problem-no problem..’’
Hambali kemudian menghulurkan kamera videonya yang agak besar menghala ke arah sekumpulan 20 orang pemuda yang sedang solat di padang tersebut. Difahamkan pemuda-pemuda itu sedang solat tahlil kerana beratus-ratus penduduk perkampungan itu yang pro Taliban terkorban dalam peperangan.
Sejurus kemudian, saya terdengar beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kereta Toyota lama tahun1960-an yang saya naiki dan pemuda-pemuda itu pula berlari dengan senjata di tangan mengarah ke arah kami.
Meraj bertindak berani menghentikan kereta dan dia kemudian keluar bagi menenangkan keadaan.
Dalam situasi cemas itu, beberapa pemuda menolak saya dan kemudian salah seorang menonyoh-nonyoh dengan kuat beberapa kali di kepala saya dengan senjata AK47 dengan jari bersedia untuk melepaskan tembakan walaupun saya memekik sekuat hati "Allahuakbar’’ berulang kali.
Bayangkan keadaan saya ketika itu, hanya wajah dua anak yang masih kecil tiba-tiba terlitas di fikiran.
Mungkin mereka menyangka saya yang merakam gambar kerana waktu itu sebuah kamera terselit di tali pinggang. Peralatan kamera Hambali pula sempat disembunyikannya di bawah tempat duduk dalam kereta.
Disangka perisik AS
Kamera yang baru saya beli dengan harga RM900 di KLIA sebelum bertolak ke Pakistan telah dirampas, dihempas ke tanah dan dipijak-pijak.
Tiga gulung filem yang mengandungi rakaman pelbagai peristiwa dan diri sendiri di dalam saku seluar saya pun turut dirampas.
Hambali turut menghadapi situasi sama, hanya dia tidak diacukan senjata di kepala kerana mungkin orangnya kecil.
Melihat kepada situasi semakin tak terkawal dan pemuda-pemuda tersebut makin bertindak ganas, Meraj memekik kuat ke arah mereka dalam bahasa Pashtun, "Jika kamu bunuh wartawan Malaysia, seluruh kampung kamu akan dimusnahkan oleh pengikut abang iparnya.’’
Mendengar amaran tersebut, alhamdulillah kami dilepaskan.
Kejadian itu berlaku pada bulan Ramadan dan saya merasakan pemuda-pemuda itu menyangkakan kami perisik Amerika Syarikat (AS) kerana di kiri kanan kereta yang saya naiki dilekatkan bendera Malaysia yang mirip bendera negara Uncle Sam selain penyokong Taliban tidak suka gambar dan persekitaran kawasan mereka dirakamkan.
Kamera video yang besar dihala ke arah mereka mungkin disangka meriam mortar.
Keadaan tidak berhenti di situ, bangsa Pashtun memang dikenal sebagai bangsa yang amat menghormati tetamu seperti mana pemimpin tertinggi Taliban, Mullah Omari sanggup berperang dengan tentera AS dan sekutunya hanya mahu melindungi tetamunya bernama Osama bin Laden.
Begitulah juga sikap ditunjukkan oleh Meraj.
Selepas kejadian itu, dia kelihatan mahu berpatah balik untuk memberitahu abang iparnya untuk menyerang balas.
Bayangkan perasaan saya ketika itu. Banyak penduduk tidak berdosa akan terbunuh jika berlaku serangan balas.
Saya berusaha memujuk Meraj untuk kembali ke Peshawar dengan membohonginya bahawa saya ada urusan penting dan segera untuk diuruskan.
Dia akur tetapi dalam perjalanan ke Peshawar, dia asyik singgah bertemu kawan-kawannya.
Saya bertanya kepadanya, "Kenapa kerap berhenti bertemu kawan-kawan..’’ dan tanpa disangka, pemandu dan penterjemah yang saya upah dengan bayaran pakai dolar AS, boleh meninggikan suara dengan nada marah, "Jangan masuk campur, saya amat merasa malu kerana awak sebagai tetamu telah dihina dengan teruk..,’’
Setibanya di Peshawar, saya terus memujuk dan kemudian mengajaknya ke kedai menjual pakaian dan berusaha menenangkan hatinya yang sedang marah dengan membeli pakaian raya untuk anak-anaknya kerana seminggu dua lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.
Selepas membeli-belah, kami kembali ke markas Abim.
Sebelum beredar, saya terus memujuknya untuk tidak memberitahu kepada abang iparnya mengenai apa yang berlaku.
Dia kemudian memberitahu syarat antaranya kampung didiami oleh pemuda-pemuda itu kena memilih gadis paling cantik untuk dikahwinkan dengan saya atau memberi pampasan 10 ekor kambing.
Oleh kerana syarat kahwin dengan 'gadis Pashtun paling cantik’ kampung itu memang tawaran amat menarik, saya saja-saja (Jangan salah faham, saya tak berhasrat nak kahwin pun) terus bertanya, "Jika saya kahwin dan gadis terbabit pula enggan diceraikan bila tugas saya di Peshawar tamat, apa akan terjadi..’’
Soalan ini yang sukar dijawab, hanya dia memberitahu, "Memang akan ada tindak balas daripada ahli keluarga gadis.’’ Memang mengerikan, lelaki-lelaki mereka kebanyakan miliki senjata AK47.
Jika 20 tahun lalu ketika saya pertama kali menjejakkan kaki di Peshawar, Taliban hampir dikalahkan oleh tentera AS dan sekutunya, Nato tapi selepas 20 tahun kemudian, Taliban kembali menubuhkan kerajaan setelah berjaya menawan Afghanistan.
Dan jika ALLAH SWT tidak melindungi saya ketika berdepan dengan detik cemas itu, mungkin 20 tahun lalu saya menemui ajal di sempadan Afghanistan.
Dan, 20 tahun berlalu juga, saya sendiri tidak menyangka akan diterima menjadi warga Karangkraf khususnya Sinar Harian. Yang pasti, ajal maut dan rezeki ketentuan Tuhan.
*Marzuki Yusoff ialah bekas Pengarang Prosesan Kanan Utusan Malaysia yang kini bertugas sebagai Penyunting Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca