KALAU kita telusuri permasalahan politik dalam negara secara halus dan penuh muhasabah diri, maka kita akan dapat mengenal pasti apakah permasalahan sebenar yang berlaku. Dengan kata lain kita akan dapat mengenal siapa atau dalang yang... Klik di sini untuk terus membaca

KALAU kita telusuri permasalahan politik dalam negara secara halus dan penuh muhasabah diri, maka kita akan dapat mengenal pasti apakah permasalahan sebenar yang berlaku.

Dengan kata lain kita akan dapat mengenal siapa atau dalang yang menyebabkan permasalahan ini berlaku.

Untuk mengenal pasti dan mengesan akan permasalahan ini, kita hendaklah sentiasa muhasabah diri.

Kalau boleh, perlu bersihkan hati, mempunyai fikiran terbuka dan pada masa yang sama cuba elakkan makan benda-benda haram.

Pada hemat saya, pada masa akan datang apabila telah dilantik Perdana Menteri dan kerajaan baharu, masalah yang berlaku tidak akan selesai.

Akan timbul kembali masalah-masalah seperti yang berlaku sekarang.

Cuba kita telusuri apa yang berlaku sepanjang pergolakan politik negara kita ini. Kita mulakan dengan kejatuhan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh UMNO setelah 60 tahun berkuasa tanpa digugat.

Akhirnya pada tahun 2018, BN tumbang. UMNO yang merupakan teraju utama dalam BN dengan sendirinya tumbang.

Tumbangnya UMNO adalah disebabkan oleh berlakunya penyelewengan.

Kes 1MDB menjadi perhatian dunia. Ramai orang bercakap mengenainya.

Apatah lagi netizen di media sosial sudah pasti tidak melepaskan peluang untuk memberi perspektif dan persepsi.

Kalau kita lihat, ia berpunca dari parti terbesar Melayu sendiri yang menyebabkan rakyat jelata marah dan memberontak lantas menjatuhkan mereka melalui Pilihan Raya Umum ke-14.

Maka kerajaan beralih pula kepada Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan PH yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dari parti Bersatu hanya dapat bertahan selama 22 bulan sahaja.

Kejatuhan mereka juga adalah disebabkan persepsi dan perspektif.

Isu-isu perkauman, isu raja-raja Melayu dan ketuanan Melayu juga telah diuar-uarkan menyebabkan tumbangnya PH.

Akibatnya Dr. Mahathir meletakkan jawatan dan menyebabkan kabinet terbubar

"Eh, Dr Mahathir pun dari UMNO juga dulu, " kata Pak Din menyampuk.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menanti dengan sabar untuk menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian.

Tindakan Dr Mahathir menyebabkan terjadinya peralihan kuasa yang diambil oleh Abah atau Tan Sri Muhyiddin Yassin pula.

"Eh, eh kejap, Anwar bekas dari UMNO juga,” tambah Pak Din.

Langkah Sheraton disebut-sebut. Buku-buku berkenaan langkah ini pun ada diterbitkan untuk memberi ulasan dan pandangan.

Maka wujudlah kerajaan Perikatan Nasional (PN) hasil gabungan beberapa parti antaranya Bersatu, UMNO dan Pas.

Sekali setelah beberapa bulan, kerajaan PN mendapat kritikan hebat.

Berlaku pergolakan di antara gabungan parti terutama UMNO yang mula berpecah kepada dua kumpulan.

Satu kumpulan yang menyokong dan satu lagi kumpulan yang tidak menyokong memaksa Abah meletakkan jawatan.

Sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan ditarik balik.

Seperti sebelum ini, isu-isu derhaka kepada raja, perkauman dan juga ketuanan Melayu dimainkan semula.

Pada akhirnya jatuhlah kerajaan PN dengan peletakan jawatan Abah sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos.

Sekali lagi negara di ambang ketidaktentuan dalam memilih siapakah yang memerintah selepas ini.

Kerajaan PN menjadi kerajaan yang paling singkat memerintah.

Datuk Seri Ismail Sabri juga menempah nama menjadi Timbalan Perdana Menteri yang paling singkat memegang jawatan.

Dan sekali lagi, kata Pak Din, "Eh UMNO lagi.”

Akhirnya pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Nampaknya tiada rezeki Anwar dan beliau perlu menunggu lagi untuk menjadi Perdana Menteri.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca